Mansuhkan PTPTN, tuntut pendidikan percuma

Megat Hidayat, 11 Apr 2012

 

Walaupun terdapat tekanan daripada pihak kerajaan, anak muda dan mahasiswa akan tetap meneruskan himpunan bagi menggesa pihak kerajaan memansuhkan PTPTN dan menuntut disediakan pendidikan percuma kepada seluruh rakyat Malaysia, tegas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhamad Safwan Anang @ Talib.”

 

Sejarah telah mencatatkan bagaimana hebatnya gerakan dan aktivisme mahasiswa sekitar sekitar 60an sehingga 70an sebelum terciptanya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 (AUKU)yang dicipta oleh mantan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad. Umum sedia maklum bahawa aktivisme ketika itu amat agresif karena tekanan sang penguasa serta kesedaran disebabkan fakulti akal anak muda ketika itu cerah. Ketika itu juga mahasiswa bangkit dengan pelbagai isu rakyat dengan kata yang diperkenalkan oleh Presiden Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) ‘Mahasiswa jurubicara masyarakat.” Aktivisme mereka diikuti oleh beberapa siri demonstrasi termasuk peristiwa Tasek Utara, Kes tanah Telok Gong dan demo Baling yang harus dipertanggungjawabkan atas undang-undang drakonian AUKU yang telah membunuh ‘roh’ kampus dan anak muda.

 

Pindaan AUKU ini dikatakan dendam pikiran Dr. Mahathir Menteri Pendidikan ketika itu bersama Ungku Aziz yang merupakan Naib Canselor Universiti Malaya selepas demonstrasi Baling yang disertai bukan sahaja mahasiswa daripada UM, tetapi daripada Kolej Mara, UKM dan Politeknik Ungku Aziz. Ketika itu ramai telah ditangkap dibawah Internal Security Act (ISA) termasuk akademia seperti Syed Hussin Ali. Malangnya, pindaan AUKU memperlihat kelembapan aktivisme dan suasana akademik di kampus.

 

Namun, selepas lebih kurang empat dekad ‘roh’ mahasiswa dibunuh, mereka telah bangkit untuk membebaskan akademik pada 31 Disember 2011 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Namun begitu, himpunan kebebasan akademik tersebut berakhir dengan tragedi berdarah apabila beberapa siswa cedera dek keganasan dan kezaliman anjing sang penguasa. Pelbagai peristiwa berlaku sekitar tahun 2011 termasuk penurunan bendera Perdana Menteri Najib Razak oleh Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli.

 

Selama lebih empat dekad, banyak protes telah diadakan bagi membantah AUKU. Namun begitu, tidak ada sebarang perubahan sehingga keputusan mahkamah rayuan berpihak kepada UKM4 apabila AUKU diputuskan tidak sah dan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Tika itu, aktivisme mahasiswa mulai rancak dan peristiwa-peristiwa amuk nampaknya bertambah. Demonstrasi juga sudah mulai dilihat sebagi suatu yang tidak eksklusif seperti sebelum ini.

 

Pada hari ini, pindaan ke atas auku dan dua akta lain dibentangkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Khaleed Nordin selepas pindaan diumumkan oleh Dato’ Seri Najib Razak beberapa bulan yang lepas. Saya melihat ‘pindaan’ yang dilaksanakan ini merupakan ‘kegagalan’ tuntutan BEBAS yang berjuang tidak konsisten saya kira. Pindaan ini masih mewujudkan limitasi ke atas mahasiswa. Walaupun ada hak untuk menyertai partai politik, tetapi mahasiswa yang melibatkan diri tidak boleh bertanding dalam pilihanraya kampus serta memegang jawatan dalam persatuan universiti.

 

Seterusnya, beberapa hari lepas telah diumumkan bahawa Demo Mansuh PTPTN akan diteruskan pada 14 April dan mahasiswa serta anak muda juga bersedia untuk turut serta malah menjadi tunggak bagi Bersih 3.0 yang akan datang – 28 April di Dataran Merdeka. Nampaknya mahasiswa semakin agresif. Bersemangat betul anak-anak muda.

 

Beberapa hari lepas, saya menyusuri sedikit perbincangan pendek dengan rakan-rakan daripada kampus UIA, UPSI dan UTHM. Mereka sependapat berkenaan dengan isu melawan di jalan raya. Saya juga bersetuju dalam perkara tersebut tetapi perlu kita melihat dalam konteks Malaysia dan suasana ketika ini. Apakah tujuan demonstrasi? Adakah relevan demonstrasi di Malaysia?

 

Sejarah gerakan mahasiswa mencatatkan banyak demonstrasi yang telah diadakan. Namun begitu, harus diperhatikan berapa demonstrasi yang diadakan mencapai objektif yang sepatutnya. Tujuan demonstrasi diadakan adalah untuk mencapai suatu matlamat sebagai tindakan ‘lawan’ dan balas dalam menuntut sesuatu perkara dan ia tidak akan terhenti selagi tidak tercapai. Ironinya, di Malaysia demonstrasi AUKU yang telah diadakan berpuluh tahun pun belum mencapai objektif.  Menjadi sesuatu yang merumitkan dalam konteks negara ini untuk mencapai matlamat dalam demonstrasi selagi tidak ada ‘korban’ dan selagi perut masyarakat ‘kenyang’.

 

Tambahan pula, apabila melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi tempoh hari Dato’ Khaleed Nordin yang berbunyi “buat apa demo? undi sudahlah” sudah cukup untuk menunjukkan bahawa walaupun demonstrasi akan dilaksanakan pada 14 April ini. Perubahan tidak akan dapat dilaksanakan melainkan suatu ‘kelainan’ dibuat untuk demontrasi pada kali ini. Itu pandangan peribadi saya karena saya melihat kepada sejarah sebelum ini bahawa dalam konteks mahasiswa sekarang , amatlah susah untuk mencapai objektif dengan wasilah ini.

 

Walau apa pun terjadi, segala tindakan dan perlakuan mahasiswa harus disusuli dengan sedikit pencerahan sebagai persediaan kepada sebarang kemungkinan. Karena saya percaya jika tiada penyatuan, sampai kiamat sekalipun mahasiswa bukanlah suatu kuasa yang menggugat. Sebab itu saya khuatir apabila ramai yang membuat perbandingan mahasiswa 60-an dan 70-an dengan zaman ini. Harus diingat tika itu tiada lambakan IPT dan sistem CGPA pun belum diperkenalkan. Tekan hidup ketika itu juga menjadi suatu alasan yang munasabah mahasiswa melawan sehingga wujud frasa ‘mahasiswa menggugat.”

 

Saya suka apabila membaca petikan dalam The Art of War karya agung Tsun Zu yang berbunyi “move when there is benefit to be gained , quit when there is no advantages. ” Justeru , saya kira setelah memerhati sejarah perlu bagi mahasiswa menyusun semula strategi baru supaya pergerakan lebih lancar dan tidak perlu kiranya melaksanakan sesuatu perkara yang tidak mendapat sebarang ‘faedah’ ketika ini. Dalam konteks anak muda , politik selalu diartikan sebagai lawan sahaja. Tetapi , lebih daripada itu ia meliputi pelbagai strategi dan musuh pula merupakan material yang mengasyikkan. Lawan merupakan salah satu cara sahaja. Karena itu Widji Tukul nukilankan “hanya ada satu kata.. LAWAN!

 

Tunggu dan lihat apa yang akan terjadi. Selamat berjaya sahabat!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: