Mahathir Nasihatkan PM : Cukuplah Sepenggal

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 31 Jan (Hrkh) – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu ulasannya semalam meneruskan lagi polemik dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan menasihatkan agar Abdullah melepaskan jawatannya.

Mahathir mengakui tidak pernah terniat untuk penggantinya, menjadi Perdana Menteri lebih dari sepenggal dan menyarankan Abdullah melepaskan jawatannya.

Pilihan Raya Umum ke-11 yang lalu menyaksikan pilihan raya yang paling bersejarah buat Abdullah kerana BN menang dengan menyapu kira-kira 90 peratus kerusi Parlimen selain merampas Terengganu daripada PAS.

Abdullah dikatakan akan mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas, dalam pilihan raya akan datang yang dijangka adakan diadakan pada Mac ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri ada menyebut secara sinis bahawa beliau telah membuat kesilapan apabila memilih Abdullah untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya beliau sepatutnya melantik Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang lebih berpengaruh, untuk menggantikannya, kata Mahathir.

Beliau berpandangan, memandangkan Abdullah lebih tua dari Najib maka sekarang ini adalah masa yang sesuai untuk Abdullah hanya menjadi Perdana Menteri untuk satu penggal sahaja, dan menyerahkan jawatan itu kepada Najib.

Mahathir juga berkata, beliau faham bahawa ianya mengambil masa untuk melaksanakan rancangan dan projek.

Tetapi, tambahnya, jika itu yang dijadikan alasan untuk kekal berkuasa selama 18 tahun, maka ia tidak dapat diterima.

Dato’ Ishak Baharom meninggal dunia

Oleh Intan Abdullah
KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh) – Bekas Mufti Selangor, Dato’ Ishak Baharom meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh tengah hari ini selepas tidak sedarkan diri dan koma akibat masalah tekanan darah dan dimasukkan ke hospital pagi semalam.

Menurut seorang anggota keluarganya, jenazah Allahyarham kini dibawa ke rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang.

Katanya, jenazah akan dibawa ke Masjid Lipat Kajang, Taman Sri Andalas, dan kemungkinan akan dikebumikan jam 9.30 pagi esok.

Menurut jirannya, Zaitun yang dihubungi Harakahdaily, Ishak sebelum itu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, kemudian telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh setelah tidak sedarkan diri sewaktu dikejutkan bangun untuk menunaikan solat Subuh pagi semalam.

Sebelum ini, laporan menyebut, pihak doktor yang merawat Ishak telah meminta ahli keluarga beliau untuk membawanya pulang setelah beliau tidak dapat diselamatkan.

Berdasarkan sumber, ia adalah disebabkan saluran darahnya yang pecah mengakibatkan beliau koma serta tidak sedarkan diri. – mns/lanh

PAS sokong saranan Mahathir tolak pemimpin tiada etika, guna keganasan

Oleh Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Hrkh) – PAS menyokong penuh saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menolak Golongan yang mengunakan cara tidak beretika dan keganasan untuk mencapai cita-cita mereka menjadi seorang pemimpin.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun Mahathir cukup berpengalaman untuk mengajak rakyat mengubah persepsi serta tanggapan takut rakyat terhadap ancaman tertentu para pemimpin politik selama ini.

“Umno adalah contoh parti yang tidak beretika. Guna Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), media,rasuah dan ugutan untuk menang dalam pilihan raya dan menjadi pemimpin.

“Keganasan tidak sahaja berlaku dalam peperangan tetapi berlaku juga dalam konteks mengancam rakyat dengan isu-isu perkauman, keselamatan dalam negara, balasan dan imbuhan,” katanya ketika menghubungi Harakahdaily semalam.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini yang dilihat memberi ‘amaran’ dan menakutkan kepada rakyat supaya tidak menggadaikan negara.

Mahfuz juga menjelaskan bagaimana kerajaan menggula-gulakan rakyat untuk menyalurkan dana sejumlah RM3 bilion dalam bidang pendidikan sedangkan masalah sistem pendidikan dan yuran tambahan baru-baru ini masih tidak dapat diselesaikan dengan baik malah menimbulkan rasa tidak senang ibu bapa.

“Umno guna cara ini untuk beli undi. Jelas inilah pemimpin yang tidak beretika dan mesti ditolak sepenuhnya seperti disyorkan Mahathir,” katanya

Mahathir katanya turut menggariskan tujuh kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik, yang wajar dijadikan sandaran oleh seluruh rakyat Malaysia dalam memilih pemimpin yang baik khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Antara kualiti yang dimaksudkan Mahathir ialah seorang pemimpin yang baik tidak semestinya merendah diri tetapi sekurang-kurangnya tidak bercakap besar di samping tidak harus menyalahkan orang lain bagi kegagalan tetapi mengakui kelemahan diri sendiri.

“Beliau patut tahu bagaimana mengendalikan pengikutnya begitu juga pihak atasan. Beliau perlu sensitif dengan sensitiviti orang lain.

“Beliau perlu bijak dan lebih pintar sekurang-kurangnya berbanding orang yang berada di bawah pimpinannya,” kata Mahathir di persidangan mahasiswa baru-baru ini di Putrajaya.

Mahfuz berpendapat saranan bekas Perdana Menteri itu adalah isyarat yang yang jelas supaya rakyat terus menolak kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan barisan pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang senantiasa menunjukkan sikap tidak beretika dalam menangani isu-isu semasa seperti ekonomi, perkauman dan melakukan pelbagai penyelewengan terhadap rakyat dan negara.

“Umno kini dilihat tersepit, cuba menekan rakyat dengan menggunakan pelbagai elemen ugut tetapi era kini rakyat semakin sedar dan pasti akan menolak sama sekali budaya takut yang dicanangkan mereka,” katanya. – mks.

Dr Hatta, pemimpin PAS bersama sembilan individu diikat jamin RM1,000


ImageOleh Azamin Amin | Foto Nasir Sudin

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Hrkh) – Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli hari ini telah dikenakan ikat jamin sejumlah RM1,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan bagi pendakwaan melanggar perintah larangan berhimpun di bangunan Parlimen pada 11 Disember tahun lalu bersama sembilan individu yang lain.

Turut sama dikenakan ikat jamin sama ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Ustaz Nasruddin Tantawi, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, AJK PAS Dr Lo’ Lo’ Ghazali dan Pengerusi protem Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir Hashim.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Akta Polis seksyen 27 yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Jenayah 3 pada jam 10.58 pagi tadi dan mereka diwakili oleh peguam Hanipa Maidin, Muhammad Faiz Fadzil,Syed Zakaria Syed Zainal Abdin dan Latheefa Koya.

Sebelum ini Mahkamah Kuala Lumpur telah menetapkan perbicaraan kes 17 orang aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan bagaimanapun hanya 10 sahaja didakwa manakala sebahagiannya telah digugurkan pendakwaan antaranya seperti Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan dan Abdul Razak (kes kereta beliau yang terbakar di pekarangan balai polis).

ImageSementara itu dilaporkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tian Chua yang turut didakwa telah dikenakan ikat jamin sebelum ini berjumlah RM3,000 dan kesnya bakal didengar pada 16 dan 17 April depan.

Kesemua mereka ditangkap di hadapan pintu masuk Parlimen ketika cuba menghadiri program penyerahan memorandum bantahan Bersih terhadap pindaan rang undang-undang bagi melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) khususnya Pengerusi SPR dari 65 ke 66 tahun.

Dalam pada itu Arutchelvan menyatakan bahawa beliau sedang dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak berkuasa kerana telah melakukan tindakan salah tangkapan (unlawful detention) terhadap dirinya sebagaimana yang telah berlaku ke atasa Pengarah Pilhan Raya PAS Dato’ Musrafa Ali dan lain-lain lagi.

Image“I’m looking into it. Penahanan saya tidak sah dan tidak berlaku sebarang perhimpunan sebagaimana yang didakwa ketika saya ditangkap,”katanya.

“Arahan penangkapan ini semata-mata untuk mewujudkan rasa takut di kalangan aktivis dan rakyat supaya tidak sekali-kali menyatakan bantahan dan protes terhadap kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya sewaktu ditemui di luar pejabat pembayaran ikat jamin di Mahkamah Jalan Duta pagi tadi.

Dilaporkan di Mahkamah yang sama turut berlangsungnya prosiding perbicaraan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi isu Pita Video perbualan Dato’ VK Lingam yang menyaksikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hadir sebagi saksi manakala sebelah petangnya perbicaraan kes Arsenik yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. – mks.

Menyanyi Separuh Bogel atas pentas dapat permit, Ulama ceramah bagi ilmu kena ‘gam’

Tindakan naib juara pertandingan realiti TV, One In A Million (OIAM), Faizal Tahir yang juga bekas ahli kumpulan nasyid Mirwana ini benar-benar memburukkan imej golongan artis negara ini. Perlakuan yang tidak senonoh yang diambil dari pengaruh artis barat tidak sewajarnya dilakukan oleh artis Malaysia walau dalam apa keadaan sekali pun.

Menurut laporan Harian Metro, 14 Januari 2007;

Faizal yang tampil lengkap berpakaian secara tiba-tiba tidak dapat mengawal diri dengan menanggalkan pakaiannya satu persatu bermula dengan jaket, singlet dan seterusnya tali pinggang yang dipakainya dan melemparnya kepada penonton.

Bintang OIAM musim pertama yang digelar ‘Superman Malaysia’ itu melakukan perbuatan berkenaan di hadapan lebih 8,000 penonton yang menyaksikan persembahannya secara langsung yang disiarkan menerusi saluran 8TV.”

Menyanyi Separuh Bogel atas pentas dapat permit

Sebelum ini negara turut digemparkan oleh Kontroversi artis dari barat yang bermula pada malam R&B Nite di Stadium Negara pada 28 November lalu apabila K-Ci & Jojo membuka baju dan memasukkan tangannya ke dalam seluar. Lil G Of Silk turut mencemarkan persembahan dengan aksi kurang sopan ketika menari bersama dua penonton wanita.

Dalam konsert Live & Loud 07 di Bukit Kiara Equestrian Park. Pada 1 Disember lalu pula, Shaggy tampil dengan lagak lucah apabila sedang asyik menyanyi tiba-tiba memasukkan pembesar suara ke dalam seluarnya dan mengeluarkannya perlahan-lahan.

Pihak Polis, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) dan juga Kementerian Penerangan (KEMPEN) yang keluarkan permit hanya berdiam diri dan tidak mengambil apa-apa tindakkan walaupun ramai yang merungut. Akhirnya, Faizal menyanyi separuh ‘bogel’ dan tindakan ini benar-benar mencabar ‘kebisuan’ agensi Kerajaan yang mengeluarkan permit kepada penganjur.

Walaupun penonton terhibur dengan persembahan mereka, namun aksi sebegitu sungguh memalukan sekali gus mencemarkan imej negara dan juga ‘mengotorkan’ budaya Melayu yang penuh dengan sifat ketimuran.

Golongan artis adalah contoh yang sering menjadi ikutan muda mudi. Jika inilah generasi modal insan hadhari yang ditempa oleh negara ini, pada masa akan datang akan rosaklah institusi kebudayaan dan moral belia dinegara ini.

Ulama ceramah bagi ilmu kena ‘gam’

Pemudawilayah juga melahirkan rasa kesal kepada sikap Polis dan Kerajaan BN yang mengeluarkan permit untuk Konsert ‘lucah’ berkenaan sedangkan majlis-majlis ilmu yang dikelolakan oleh PAS melalui ulama’ – ulama seperti Harun Din, Nik Aziz dan ramai lagi digam dengan bersungguh-sungguh.

Program tazkirah ramadhan juga diharamkan di Selangor. Majlis ilmu dipantau sana-sini. Kalau BA dan BERSIH mohon permit mereka tolak, SB Polis dan Unit Pencegah Rusuhan akan terus dihantar atas alasan menjaga ketenteraman awam.

Begitulah cara mereka jaga rakyat dan negara ini.

Tindakan Tegas Perlu Diambil

Kalau buat perkara baik pun mereka pantau dan ambil tindakan segera, perkara buruk seperti ini kenalah lebih pantas dari itu.

Sehubungan dengan insiden yang memalukan ini, Pemudawilayah mendesak agar pihak KeKKWa dan juga KEMPEN mengambil tindakan tegas terhadap perlakuan beliau ini agar ianya tidak diulangi oleh artis-artis lain.

Selain itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga boleh mengambil tindakan undang-undang kepada beliau kerana kesalahan berkelakuan lucah dan berpakaian tidak senonoh dikhalayak ramai.

Pemudawilayah juga menasihatkan agar Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) mengeluarkan garis disiplin dan etika bagi ikutan artis-artis Malaysia agar mereka tidak rosak dan merosakkan orang lain.

Diharapkan agar pihak polis yang mengeluarkan permit juga bertanggungjawab ke atas hal ini kerana gagal menjaga kelakuan artis ini. Kalau parti bukan BN mohon permit buat program, Polis tak nak beri atas alasan mengganggu ketenteraman awam, tapi bila konsert sebegini yang jelas – jelas memalukan negara  mereka boleh beri pula?

Jika hari ini semua pihak masih berdiam diri, tidak mustahil pada masa akan datang akan ada pula artis yang menyanyi dan berbogel atas pentas.

Diharapkan Faizal dapat sedar dari kesilapannya dan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia. Kita tidak mahu budaya buruk dari luar terus menerus dibawa masuk ke negara ini sama ada melalui artis dari luar atau dalam negara sendiri.

Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Mengangkasakan rakyat di bangsal kambing

Oleh Ustaz Idris Haji Ahmad

“Tiga beranak tinggal di bangsal kambing” itulah tajuk berita dalam akhbar Utusan Malaysia 14/1/08. Ini bukan berlaku di Kelantan dan juga ini bukan berlaku di Pontianak dan ini bukan berlaku di Kenya tetapi yang berlaku di Baling Kedah negeri yang hendak menjadi negeri maju pada tahun 2010.

Apabila membaca berita ini terbayang saya muka Dato’ Najib yang ghairah hendak selamatkan rakyat Kelantan daripada pemerintahan PAS. Beliau mendakwa sudah cukuplah rakyat Kelantan ditadbir oleh PAS selama 18 tahun, dah sampai masanya BN merampas kembali Kelantan dan membawa kemajuan kepada rakyat Kelantan.

Sepatutnyaa Dato’ Najib dan pemimpin Umno seperti Khairy Jamaludin hendaklah mengambil cermin suluh muka mereka dulu sama ada mereka menjadi pembela atau pengkhianat kepada Islam atau Melayu. Apa yang Umno duduk sibuk hendak tawan Kelantan, yang kerajaannya stabil walaupun hanya dengan kelebihan satu kerusi namun dapat memerintah dan melaksanakan program pembangunan fizikal dan rohani.

Alhamdulillah berjaya meningkat taraf hidup rakyat Kelantan sehingga tahap kemiskinan di Kelantan nombor enam jauh ke belakang daripada negeri-negeri di bawah Umno. Kalau hendak banding dengan negeri Dato’ Najib sudah tentulah Kelantan lebih baik dalam pengurusan dan pembangunan manusia.

Tidak ada mana-mana kerajaan yang boleh bertahan seperti di Kelantan walaupun dengan kelebihan satu kerusi dalam dewan undangan negeri, Insya-Allah kerajaan ini akan bertahan sehingga habis penggal ke-11. Umno begitu gahirah untuk hendak merebut Kelantan. Kenapa tidak ada plan tindakan untuk membantu Melayu Pulau Pinang yang tinggal nyawa ikan, negeri yang Pengerusi Perhubungannya Amir Islam Hadhari Dato’ Seri Abdullah Badwi mertua kepada singa kertas Naib Ketua Pemuda Umno.

Sepatutnya negara yang sudah merdeka 50 tahun, Rancangan Malaysia sudah masuk kali ke-9, Kedah sudah mengiystihar negeri maju pada 2010 tidak sepatutnya negeri yang Umno memerintah ada lagi manusia yang duduk dalam bangsal kambing.

Apakah Najib yang juga membawa slogan untuk mengangkasakan bangsa sudah tidak memperdulikan rakyat yang masih tinggal dalam kandang kambing dan cari rezki dengan mengutip sampah di Kampung Sungai Ikan Bukit Payung Terengganu (Berita Harian 2/11/2005). Dato’ Najib dan Khairy Jamaludin masih mimpi lagi kah sehingga tidak sedar bahawa rakyat yang duduk dalam kandang kambing dan pungut sampah ialah negeri yang berketuakan Umno. Negeri ini bukan PAS yang perintah.

Apa makna projek koridor utara, kalau masih ada lagi rakyat yang tingal di kandang kambing. Sudah menjadi adatlah kepada pemimpin Umno apabila media dedahkan barulah sibuk untuk bertindak menghulur bantuan. Apakah selama ini mereka buta mata dan pekak badak sampai tidak melihat masalah rakyat. Mana perginya Pengerusi Putera Umno orang kuat Khairy Jamaludin kebetulan Ketua Pemuda Umno Kawasan Baling. Wakil rakyatnya pula Ummu Hadhari Dr Mashitah Ibrahim.

Rakyat Terengganu yang duduk di bawah pemerintahan Umno sekarang dapat membezakan antara pemerintahan kerajaan Umno yang perintah hari ini. Jauh langit dengan bumi. Janji pemimpin Umno dalam masa 5 tahun kemiskinan di Terengganu akan dihapuskan (BH 16/4/04).

Setelah empat tahun janji itu diucapkan? Bukan kemiskinan dapat dihapuskan malah kemiskinan makin tenat berlaku di bawah Umno Hadhari yang bermenteri besarkan Dato’ Seri Idris Jusuh. Padahal waktu tahun 1999 kadar kemiskinan di Terengganu ialah sebanyak 17.3% . Negeri ini menduduki tempat kedua dalam senarai negeri paling tinggi kadar kemiskinan di seluruh negara.

Di bawah pemerintahan PAS 1999-2004, kedudukan itu telah berjaya diperbaiki. Kadar itu turun pada 14% pada tahun 2001 dan kedudukannya juga turun ke tangga ketiga. Kadar itu turun lagi pada tahun 2004 kepada hanya 10.4% dan Terengganu berada di tangga keempat. Pada tahun 2007 Terengganu naik balik mengekalkan rekod negeri kedua termiskin selepas Sabah. Inilah petanda bijaknya Umno memerintah negeri yang kaya minyak tapi rakyat miskin.

Lebih malang lagi apa yang berlaku ialah sekumpulan ibu tunggal sanggup ‘berselepoh’ dari pagi hingga malam sambil menadah tangan di depan sebuah to’kong di Kg China, Kuala Terengganu sehari sebelum sambutan Tahun Baru China 2006 (Harian Metro 31/1/2006). Mungkin inilah cara rakyat Terengganu di bawah Umno dengan slogan Islam Hadhari Terengganu bestari, orang miskin minta sedekah depan tokong dari pagi. Inilah musibah sokong Islam Hadhari, barang naik setiap hari. Ayuh selamatkan negara nyahkan Umno dan BN.

Pejuang Hak Asasi Wanita Tengelam Punca Dalam Kes Zina & Kecurangan Chua Soi Lek

Oleh irama

“Saya bukan bersikap hollier than thou….tetapi hanya cuba memahami gelodak perasaan seorang perempuan yang pada satu masa maruahnya berada di atas tetapi dalam sekelip mata maruahnya dipijak oleh si suami kerana kerakusan nafsu suami.Dia tidak bersalah tetapi terpaksa menanggung kesalahan tersebut bersama-sama suaminya. Perit sungguh bersuamikan pemimpin BN gamaknya.Saya percaya bukan Datin Chua sahaja dalam kepedihan.Malah ramai lagi isteri-isteri VVIP tertentu yang pejam mata hati perit.

Saya memang tidak akan ulas banyak-banyak pasal skandal seks Chua Soi Lek.Semua dada akhbar sepanjang minggu ini penuh dengan berita Chua sebagai tajuk utama.Chua Soi Lek sudah pun mengaku bahawa beliaulah jejaka di dalam video seks tersebut dan telah pun meletakkan jawatan dalam tempoh 24 jam daripada press statement yang pertama.Pun, sekurang-kurangnya dia menjadi jantan yang berani mengaku kesalahan dan melakukan perkara yang sepatutnya iaitu meletakkan jawatan secara terhormat. Tidak seperti hot shot-hot shot lain yang terang lagi bersuluh tetapi masih nafi menafi .

Saya cuma merasa simpati kepada Datin Chua. Ya , mungkin kerana saya juga wanita lalu rasa kasihan itu lebih menebal kepadanya dan tidak kepada hero di dalam video seks terbabit.Ini kerana Chua Soi Lek tidak merasa bersalah terhadap hubungan sulit yang dilakukan bersama “personnel friend” beliau.Beliau hanya meminta maaf kepada anak dan isteri terhadap pendedahan yang telah memburukkan nama mereka sekeluarga..tetapi bukan memohon maaf terhadap kelakuannya.

Saya bukan bersikap hollier than thou….tetapi hanya cuba memahami gelodak perasaan seorang perempuan yang pada satu masa maruahnya berada di atas tetapi dalam sekelip mata maruahnya dipijak oleh si suami kerana kerakusan nafsu suami.Dia tidak bersalah tetapi terpaksa menanggung kesalahan tersebut bersama-sama suaminya. Perit sungguh bersuamikan pemimpin BN gamaknya.Saya percaya bukan Datin Chua sahaja dalam kepedihan.Malah ramai lagi isteri-isteri VVIP tertentu yang pejam mata hati perit.

Saya teringat kekecohan yang cuba ditimbulkan oleh Datuk Shahrizat berhubung cadangan wakil rakyat PAS supaya dikeluarkan sijil poligami di Kelantan.Datuk Sharizat tuduh wakil-wakil rakyat PAS begitu rakus dan gila seks sebab lebih mementingkan pengeluaran sijil-sijil poligami supaya suami-suami di Kelantan boleh mengambil armalah (ibu tunggal) sebagai isteri.Datuk Shahrizat kata PAS kalau pegang kuasa di Kelantan mulalah fikir nak berbini dua.Datuk Shahrizat sarankan masa itu supaya wanita-wanita Kelantan buat bantahan.Tetapi wanita-wanita Kelantan ini tidak mudah melenting dan maintain cool sahaja.

Saya fikir wanita-wanita Kelantan ini malas nak layan sorakan Datuk Sharizat yang selalu sahaja menyerang cadangan dan perlaksanaan kerajaan negeri Kelantan .Oleh itu, daripada wujudnya genjala zina di dalam bilik hotel yang dilakukan di belakang mereka, adalah lebih baik redhakan sahaja si suami beristerikan satu lagi . Seperti kata mak sedara saya..”Oghe laki ,lagu mano pun dio lemoh bab tu jugok..”

Well..kata Chua Soi Lek….”saya bukan yang pertama dan bukan yang terakhir”(mempunyai skandal)

Kata PM …”Pembangkang jangan meneguk di air yang keruh”

Apa pula kata pembela nasib kaum wanita kita, Datuk Sharizat…? Takkan diam kut.

http://stanceofmuslimah.blogspot.com/”

———->

Pesanan pemudawilayah untuk Shahrizat;

“Takkan nak tunggu diri sendiri atau keluarga sendiri jadi mangsa baru nak kecoh!”