Jadi penceramah buruan selepas digelar ulama muda Umno

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 30 Jun: Baru minggu lepas, Ustaz Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27 tahun, digelar salah seorang dari 40 ulama muda yang menyertai Umno.

Kini, Mohd Hosni (gambar) adalah antara penceramah yang top di dalam PAS dan Pakatan Rakyat. Hampir setiap malam beliau mendapat undangan untuk memberikan ceramah di seluruh negara.

Malam tadi beliau bersama dengan Haji Mohamad Sabu berceramah… dan malam ini beliau akan ke Klang pula. Esok dan lusa beliau akan ke Johor dan Melaka untuk memberikan ceramah.

Semuanya kerana gelaran ulama muda yang diberikan oleh Umno kepada beliau dan 39 yang lain.

“Saya sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku….itulah yang saya terangkan di setiap kali ceramah saya,” kata Mohd Hosni ketika datang berkunjung ke pejabat Harakahdaily.

Mohd Hosni bersama tiga rakannya yang belajar di Universiti Al Albyt, Jordan adalah antara mereka yang bersama dalam majlis menyerahkan borang menyertai Umno oleh 40 ulama muda kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Keempat-empat mereka diperdaya oleh ayah kepada salah seorang rakan mereka kononnya Perdana Menteri mahu berjumpa dengan bekas pelajar Jordan.

“Jadi, pada saya apa salahnya berjumpa dengan Perdana Menteri,” kata Mohd Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Intergrasi dan Teknologi Selangor yang terletak di Klang.

Mereka diberitahu pertemuan akan diadakan di Hotel Legend yang terletak di seberang jalan bangunan Umno.

Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan rakan-rakan di bawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang jalan ke bangunan Umno dan di bawa masuk ke dalam satu dewan.

Di sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh dan sebagainya berdasarkan pakaian mereka.

“Jadi saya senang hatilah,” kata Mohd Hosni lagi. Namun tidak lama kemudian, kesemua mereka disuruh berbaris kerana PM sudah mahu sampai.

Lalu mereka berbaris menyambut ketibaan PM dengan dihujani oleh lampu flash juru gambar yang memenuhi majlis itu.

Selepas itu, Datuk Seri Shahidan menyerahkan satu sampul surat kepada PM dan memberitahu itu adalah borang-borang permohonan menyertai Umno dari 40 ulama muda yang ada dalam majlis itu.

Najib tanpa bercakap apa-apa terus meninggalkan majlis selepas itu dan Shahidanlah yang mengendalikan sidang akhbar selepas itu.

Mulai dari situ, barulah Mohd Hosni dan tiga rakannya lagi sedar bahawa mereka telah tersalah tempat dan terpedaya kerana bukanlah hajat mereka mahu menyertai Umno.

Namun, kesan dari situ, Mohd Hosni kini menjadi buruan majlis-majlis ceramah Pakatan Rakyat khasnya majlis ceramah PAS.

Nama beliau dan isu ulama muda menyertai Umno menjadi pelaris kepada majlis ceramah PAS kerana orang ramai ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku di majlis itu.

Bersalam dengan PM

Sementara Mohd Husni menolak beliau datang ke PWTC untuk bersalam dengan Perdana Menteri.

“Tentang hendak bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang yang didakwa,” jelas Mohd Husni.

Ini susulan respons Umno menafikan empat pelajar lulusan Jordan tidak dijemput menghadiri majlis 40 ulama muda menyertai parti itu Jumaat lalu, sebaliknya hanya dijemput oleh orang kuat Umno disifatkan sebagai amat melucukan.

Beliau juga menolak dakwaan mereka beria-ia untuk hadir ke situ untuk bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, satu malam sebelum itu, seorang orang kuat Umno telah memujuk beliau untuk menyertai Umno dan mengajak hadiri majlis tersebut dan kebetulan merupakan bapa kepada kawan rapatnya, beliau tidak dapat menolak jemputan itu.

“Logiknya bagaimana kami boleh hadir jika tidak mendapat sebarang jemputan malah cara masuk juga ditipu, dari bangunan sebelah Mall, naik escalator, turun tangga, tiba-tiba muncul di Bangunan Umno.

Beliau yang sebelum ini mendedahkan penipuan Umno ini di dalam majlis Pentas Pemuda anjuran Dewan Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini menyatakan, mereka dijemput datang ke majlis itu kerana Perdana Menteri hendak bertemu dengan lulusan Jordan.

Dalam pada itu, Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke majlis berkenaan kerana terdapat majlis diskusi sebaliknya yang berlaku adalah penyerahan borang menyertai Umno oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang ‘ori’.

Katanya, seorang di Perlis, Ustaz Abdul Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka yang dikaitkan dengan keganasan.

“Terbukti Umno menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai cara,” ujarnya.

Menjawab hasrat mereka untuk membuat laporan polis terhadap penafian beliau yang disiarkan oleh Harakahdaily, dua hari lalu, Hosni bersetuju, artikel tersebut langsung tidak menyebut nama orang berkenaan.

Nik Aziz anggap pandangan peribadi Karpal Singh

Salmah Mat Husain   
KOTA BHARU, 30 Jun: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang tidak akan berkompromi terhadap penubuhan negara Islam, hanya bersifat peribadi.Menurut Tuan Guru, beliau belum lagi mendengar secara rasmi  DAP sendiri menolak Islam, kecuali penolakan daripada peribadi tertentu sahaja.  

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana DAP sudah bersatu dalam Pakatan Rakyat sehingga berjaya membentuk beberapa buah negeri dalam pilihan raya umum lalu.

“Itu (tak terima konsep Islam) hanya pandangan peribadi Karpal sahaja, malah saya sendiripun sudah banyak kali bertanya, tak kena di mana Islam?

“You sebut Islam tak betul dengan hujah yang tak pasti,  tetapi selagi you tak boleh menyebut Islam ini tak betul sama ada dari segi akidah, muamalah, saya nak tinggal Islam pun tak boleh, you tak terima Islam pun tak betul,”ujarnya lagi.

Sambungnya, Islam ada asasnya iaitu dunia ini bukan manusia yang punya tapi hak Allah.

Tegasnya, bila ianya hak Allah, makna setiap manusia itu tidak boleh pandai-pandai menolak Islam.

“Mulut saya yang bercakap ini, telinga dia yang mendengar bukan saya atau dia yang buat, mulut saya dibuat oleh Allah, telinga pada dia tu Allah yang buat, udara yang kita bernafas ini Allah yang buat,”ujarnya lagi.

Tuan Guru berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal Singh dalam wawancaranya dalam sebuah portal semalam yang mendakwa tetap akan menolak kerajaan yang berkonsepkan Islam.

Bagi Karpal, Malaysia adalah sebuah negara sekular berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan dan adalah mustahil DAP mengubahnya untuk menjadikan negara Islam.

Macam ada agen asing dalam kabinet Najib

Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 30 Jun: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar membuat andaian bahawa kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seakan turut disertai oleh agen asing, sama ada dari Singapura mahupun Brunei Darussalam.Beliau membuat andaian demikian ekoran melihat insiden penyerahan dua telaga minyak, Blok L dan Blok M pada kerajaan Brunei Darussalam; serta isu penyerahan tanah KTM di Tanjong Pagar pada kerajaan Singapura yang nyata lebih merugikan kepentingan dan kedaulatan negara.

“Mesti ada yang tidak kena, seolah-olah ada agen asing tak kiralah agen Singapura atau (agen) Brunei dalam kabinet Najib, yang mendapat manfaat kewangan dalam kedua-dua rundingan ini,” tegas beliau pada Harakahdaily.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, kalau Najib atau delegasi Malaysia bukan agen asing seperti yang beliau andaikan, sepatutnya natijah dari rundingan negara dengan  Brunei dan Singapura itu sudah tentu dilihat lebih menguntungkan kepentingan negara.

“Kalau tidak, mengapa Najib sanggup setuju 40 nisbah 60 dalam membangunkan tanah bernilai tinggi di Tanjong Pagar sedangkan kita boleh bangunkan sendiri sebab itu milik mutlak kita sebelum Singapura Malaysia berpisah,” beliau menambah.

“Kita pun tak tahu betulkah Limbang diserahkan pada kita kerana perkata itu tidak pernah dibentang di Parlimen tapi penyerahan kedua-dua telaga minyak ini jelas menguntungkan Brunei.”

Sehubungan itu, beliau berkata, andaian peribadinya itu adalah tidak keterlaluan memandangkan Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri sebelum ini pun seakan mengaku bahawa agen Singapura benar-benar wujud dalam negara.

Ujarnya lagi, Dr. Mahathir pernah membuat andaian demikian apabila Datuk Kalimullah Maseerul Hassan yang diwar-warkan pro Singapura tiba-tiba dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Kumpulan Akhbar dalam New Strait Times Press (NSTP), empat tahun yang lalu.

Katanya lagi, beberapa media alternatif pada ketika itu pun turut dilihat bersama-sama Dr. Mahathir dengan mengaitkan NSTP yang baru disertai oleh Kalimullah bertanggungjawab dalam membocorkan maklumat keselamatan negara pada Strait Times Singapore apabila akhbar perdana Singapura itu lebih awal memasyhurkan Najib sebagai Perdana Menteri, sebelum Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Ekoran itu, beliau mencabar Najib menyangkal andaiannya dengan mendedahkan di Dewan Rakyat berhubung inti sebenar di sebalik kedua-dua rundingan yang merugikan negara dalam masa terdekat.

“Najib boleh sangkal dakwaan saya ini bahawa kebinet Najib mungkin disertai agen asing ini, tetapi dia mesti sangkal saya dengan mendedahkan inti rundingan sebenar, siapa yang terlibat dan apakah kewajaran kebinet menggadaikan kedaulatan negara pada Singapura dan Brunei dalam kedua-dua isu ini,” tegas beliau sambil menganggap bahawa kedua-dua rundingan tersebut adalah tidak sah kerana tidak pernah dibahas di Parlimen.

Nik Aziz sokong kerajaan PR lantik LA sendiri

Salmah Mat Husain   
KOTA BHARU, 30 Jun: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersetuju cadangan melantik Penasihat Undang-undang sendiri bagi kerajaan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dicadangkan sebelum ini.Menurut Tuan Guru, perkara yang sama pernah dibincangkan sewaktu Kelantan di bawah kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah, iaitu sewaktu bergabung dengan parti Melayu Semangat 46.

“Saya tak terfikir benda ini (perkara ini) walaupun dah dibincangkan peringkat awal dahulu, tapi bila timbul semula baru saya ingat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pihak lain supaya negeri-negeri Pakatan mempunyai penasihat undang-undangnya sendiri bagi menggantikan penasihat undang-Undang yang dilantik oleh Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun kata Tuan Guru lagi,  yang perlu diutamakan, bukan masalah penasihat undang-Undang sahaja, sebaliknya jiwa yang menyelubungi pemimpin kerajaan negara ini bukan dari jiwa yang adil.

“Sedangkan keadilan sebenar bukan kerana demokrasi, tapi Allah yang menyuruh kepada keadilan,”ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut mempertikaikan peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan walaupun PAS mentadbir negeri itu.

“Soalnya kenapa ada JPP lagi di negeri ini. Segala wang pusat datang  ke Kelantan juga tidak melalui kerajaan Kelantan, macamlah kerajaan negeri hari ini tak sah.

“Tindakan berkenaan juga seolah membayangkan  kerajaan korup, macam pegawai kerajaan budak kampung,  bukan lulusan universiti, jadi tak faham saya mengapa jadi begini,”ujarnya.

Katanya lagi, sekiranya beliau menjadi pengerusi mana-mana mesyuarat, orang JPP tidak datang.

“Kalau setiusaha kerajaan sendiri pun buat mesyuarat JPP tak datang juga. Jadi seolah-olah kerajaan Kelantan ini kerajaan tak diiktiraf, apa erti kita adakan pilihan raya?,”soalnya lagi.

Sistem pembankan Islam masih anak tiri?

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 30 Jun: Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria mempersoal pendirian kerajaan dalam mengukuhkan sistem perbankan Islam di Malaysia kerana ia dilihat masih bergantung kepada sistem konvensional.Nasir berkata, walaupun kerajaan memperkenalkan skim perbankan Islam (SPI) di Malaysia, namun ia hanyalah sekadar perkhidmatan perbankan Islam di kaunter-kaunter perbankan (islamic window) tetapi segala pembuatan keputusan masih perlu merujuk kepada sistem konvensional.

“Kerajaan memang memperkenalkan sistem perbankan Islam. Tapi masalahnya sekarang bagaimana kita nak memacu perbankan Islam di Malaysia kerana yang berlaku hari ini 80 peratus institut perbankan di Malaysia masih lagi dalam bentuk subsidiari kepada perbankan konvensional.

“Semua keputusan yang dibuat masih merujuk kepada kumpulan konvensional. Kerajaan pakejkan Islamic Window, produk-produk Islam tapi sebenarnya pada masa yang sama tetap tertakluk kepada mother company (syarikat induk). Kita sekarang adalah parents company,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, beliau dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini meminta menteri kewangan menyatakan apakah langkah-langkah kerajaan untuk memantapkan sistem perbankan Islam di Malaysia yang masih lagi dibayangi oleh sistem konvensional di mana 80 peratus masih lagi wujud sebagai subsidiari kepada perbankan konvensional.

Beliau juga berkata, agak mendukacitakan apabila negara Malaysia yang merupakan negara Islam masih terkebelakang dalam sistem perbankan Islam.

“Masalah yang berlaku sekarang ini malaysia nombor empat di belakang London, Hong Kong, Singapura,” katanya.

Justeru, beliau mahu kerajaan menyatakan pendirian mereka berhubung isu ini bagi memastikan perbankan Islam terus diperkasa.

“Apa tindakan kerajaan dalam kes ini sebab ia akan membantutkan perkembangan kewangan Islam. Macammana kalau tahap kebergantungannya masih lagi bergantung kepada sistem konvensional dari segi modal dan sebagainya,” katanya.

SPRM panggil dua Adun PKR: Satu serangan baru

Harakahdaily   
SHAH ALAM, 30 Jun: Kerajaan negeri Selangor menyifatkan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil dua Adun PKR Selangor untuk memberikan keterangan sebagai satu lagi serangan baru kepada mereka.Pengarah Penerangan kerajaan negeri Selangor yang baru dilantik, Badrul Amin Baharom dalam kenyataannya berkata, SPRM telah mengeluarkan notis pemeriksaan kepada dua orang ADUN Pakatan Rakyat Selangor untuk hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM, Putrajaya esok.

Surat dikeluarkan kepada ADUN Batu Caves Amirudin Shari dan ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafie pada Isnin lalu mengarahkan kedua-dua mereka untuk bantu siasat di bawah kesalahan 17(A) Akta SPRM.

“Kami yakin langkah SPRM ini ketika spekulasi berkenaan empat ADUN Parti Keadilan Rakyat akan meninggalkan parti baru-baru ini merupakan satu lagi serangan baru daripada siri percubaan untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

“Kami juga tidak menyangkal kemungkinan SPRM dipergunakan untuk menjayakan agenda Umno-Barisan Nasional merampas kuasa pentadbiran Selangor, sepertimana berlaku dalam insiden rampasan kuasa Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2009.

“Kami menggesa SRPM professional dalam menjalankan tugas dengan turut menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Barisan Nasional yang terang-terang melakukan rasuah seperti bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Badrul, kedua-dua ADUN itu akan hadir bersama peguam masing-masing ke Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 3 petang esok (1 Julai) untuk memberi kerjasama yang sewajarnya kepada pihak SPRM.

Peneroka Felda dan polis serbu pejabat Suara Keadilan

Nazri Abdullah   
SHAH ALAM, 30 Jun: Lima buah bas yang membawa peneroka Felda dengan beberapa anggota polis mengawal mereka menyerbu pejabat akhbar PKR, Suara Keadilan petang ini ekoran laporan muka depan akhbar itu, ‘Felda bangkrap’ sebelum ini.Selain membuat bising dan menyerahkan memorandum bantahan, mereka juga membakar akhbar yang membuat laporan berkenaan di perkarangan pejabat mereka.

Editor online SK, Fadli Osman berkata, kira-kira 200 yang mendakwa peneroka Felda itu berkumpul di perkarangan pejabat mereka di samping beberapa trak polis sebelum membakar akhbar itu dan menyerahkan memorandum kepada SK.

“Tapi saya rasa mereka orang Umno ni,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily dari peiabatnya.

Menurut kakitangan SK yang berada di Parlimen, mereka menerima panggilan dari pejabat mereka, beberapa buah kereta peronda berada di bawah pejabat mereka di Shah Alam sekarang ini.

“Hanya seorang dua sahaja berada di pejabat sekarang dan kami perlu balik segera,” kata seorang wartawan SK yang ditemui di Parlimen.

Beberapa anggota polis yang berada di situ menyuraikan mereka.

SK sebelum ini melaporkan berita bertajuk ‘Felda bangkrap’ di muka depannya. Ekoran itu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, SK dan beberapa pihak lagi akan disaman ekoran laporan itu.

Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengeluarkan lesen untuk SK telah memanggil editor akhbar rasmi PKR itu beberapa hari lalu  dan keputusan dikatakan akan dibuat hari ini berhubung dengan status akhbar itu.

“Saya dimaklumkan, KDN akan membuat keputusan hari ini tentang permit SK,” kata Fadli kepada Harakahdaily.

Sementara itu, permit SK tidak akan ditarik balik buat sementara ini kerana ia masih sedang dikaji oleh Kementerian Dalam Negeri, kata ketua bahagian kawalan penerbitan dan teks al-Quran, Zaiton Ab Samad hari ini.

Zaiton berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat dengan KSU KDN, Datuk Mahmood Adam minggu ini.

KDN, kata Zaiton, telah menerima jawapan kepada notis yang mereka hantar kepada SK pada 28 Jun lalu.

Ia berupa jawapan dari peguam SK ekoran surat tunjuk sebab yang dihantar kepada mereka.

Kaukus petroleum: PR jumpa Kuli hari ini

Nazri Abdullah   
KUALA LUMPUR, 30 Jun: Pakatan Rakyat akan mengadakan satu pertemuan dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini bagi membincangkan isu royalti petroleum untuk kaukus parlimen yang ditubuhkan.Pertemuan tersebut akan belangsung hari ini dalam satu majlis makan tengah hari di ibu negara.

Perkara itu disahkan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub yang juga salah seorang yang menyertai pertemuan itu.

Salahudin memberitahu, pertemuan itu bagi membincangkan secara serius mengenai langkah-langkah seterusnya mengenai tuntutan petroleum.

“Saya akan mengadakan satu pertemuan khas mewakili ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Kami akan membincangkan langkah-langkah selanjutnya tentang isu royalti petroleum,” katanya.

“Kami ada apoinment makan tengahari esok (hari ini) dan kami telah diamanahkan oleh majlis tertinggi Pakatan Rakyat untuk membincangkan secara serius esok dengan Yang Berhormat Mulia tentang kaukus petroleum yang ditubuhkan bawah Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

PR mencadangkan ditubuhkan kaukus ini untuk membolehkan hak-hak royalti petroleum untuk setiap negeri di negara ini diberikan dengan adil.

Razaleigh dalam jawapannya berkata, beliau bersedia untuk menimbangkan cadangan ini dan akan turun memberikan sumbangan bagi menjayakan usaha ini.

Beliau sebelum ini menyokong penuh bahawa Kelantan dan Terengganu berhak mendapatkan royalti minyak berdasarkan perjanjian Petronas dengan kerajaan kedua-dua negeri itu.

Namun sehingga kini, kerajaan Pusat di bawah BN tidak menunaikan janji itu bahkan akan memberikan wang ehsan untuk kedua-dua negeri itu.

Timbalan Menteri enggan jawab isu JI di IPT

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 30 Jun: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung enggan menjawab soalan wakil PAS Pengkalan Chepa, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mengenai dakwaan wujudnya anggota Jemaah Islamiyah (JI) di institut-institut pengajian tinggi awam dan swasta.Abdul Halim ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan rakyat hari ini meminta timbalan menteri memberikan penjelasan mengenai dakwaan ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa wujudnya gerakan JI, Wahabi dan Salafi di IPTA dan IPTS.

Beliau juga menyoal mengenai tindakan yang diambli terhadap mereka yang didakwa terlibat itu serta hubungan Malaysia dengan Arab Saudi yang mempunyai fahaman Wahabi dalam bidang pendidikan.

“Saya ingin tahu sejauh mana kebenaran dakwaan ketua polis negara bahawa anasir-anasir daripada JI, Wahabi dan Salafi samaada di IPTA dan IPTS?

“Kalau benar-benar ianya wujud, apakah tindakan dan sekatan untuk kemasukan pelajar samaada kebebasan beragama dan sejauh manakah akan dikaji hubungan Malaysia dengan Saudi yang bermazhab Wahabi, khususnya dalam bidang pendidikan.

“Adakah pelajar kita yang ingin melanjutkan pelajaran ke sana akan disekat dan pelajar mereka yang datang ke sini juga akan disekat?” soalnya.

Timbalan menteri bagaimanapun langsung tidak mahu menjawab soalan itu dengan alasan ia tidak ada kaitan dengan soalan asal.

“Memandangkan soalan Pengkalan Chepa tadi mengenai sudut pidato mahasiswa, jadi saya hanya akan menjawab mengenai itu sahaja,” katanya.

Abdul Halim dalam soalan asalnya meminta menteri pengajian tinggi menyatakan sejauh manakah usaha kementerian untuk mengembalikan autonomi mahasiswa di kampus-kampus dengan mengadakan ‘sudut-sudut pidato’ tercapai.

Jangan jadikan Felda senasib Sime Darby

Dzulfikar Mashoor   
KUALA LUMPUR, 30 Jun: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa segera bertindak menyelamatkan Felda supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  tersebut tidak terus mengalami lebih banyak kerugian sebagaimana yang dialami oleh Sime Darby sebelum ini, iaitu RM1.6 bilion.Demikian gesaan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) ekoran melihat kemerosotan rizab Felda dari RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun lepas.

“Jangan jadikan Felda milik peneroka ini menempa kerugian yang sama, senasib dengan Sime Darby yang rugi RM1.6 bilion sebelum ini,” tegas beliau pagi tadi ketika dihubungi Harakahdaily.

Kemerosotan itu, jelasnya ekoran ekoran RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula, termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta pinjaman pembesaran rumah peneroka, RM662 juta untuk bangunan baru Menara Felda.

Sehubungan itu, beliau mendesak sekurang-kurangnya siasatan dalaman dibuat segera untuk menyelamatkan GLC tersebut.

Semalam, beliau mendesak Najib di Dewan Rakyat supaya segera mengadakan siasatan audit dalaman untuk mengenal pasti punca di sebalik kerugian yang dialami oleh Felda.

Beliau turut mencabar Najib supaya lebih bersikap bertanggungjawab dengan rizab amanah rakyat dengan bersedia mendedahkan laporan audit dalaman GLC tersebut di Parlimen.

“Kita minta kesediaan Najib menggunakan Dewan Rakyat yang mulia ini untuk dedah segala-galanya laporan (audit dalaman) ini supaya Felda tidak senasib dengan Sime Darby,” tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, kerugian RM1.6 bilion yang dialami oleh Sime Darby berpunca oleh kegagalan pihak berwajib mengawal lebihan kos dalam urus tadbir GLC tersebut.

Namun, Najib sebelum ini dilaporkan menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab apabila pembangkang mendesak beliau memberitahu di Dewan Rakyat punca sebenar di sebalik kerugian GLC tersebut.

“Kita perlu tengok dulu apa pun kerugian. Ini kita kena kaji sebelum kita buat apa-apa tentang kebertanggungjawaban dalam soal ini,” jawab Najib sambil mengelak desakan berkali-kali Salahuddin pada sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 pada 20 Mei lalu.