Dr Mahathir Melayu tegar?

Oleh: wanibrah

“Mantan perdana menteri , Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini (25 September 2010) hadir  ke majlis jemputan perhimpunan Melayu anjuran Perkasa Kelantan bertempat di depan Stesen Keretapi Pasir Mas. Himpunan itu atas tema “Perpaduan Melayu Teras Perpaduan Rakyat Malaysia.”

Dr. Mahathir menganggap Perkasa sebagai satu kuasa politik dalam negara, justeru suaranya tidak boleh diketepikan.

“Sebaliknya, kita akan mendengar pendapat-pendapat Perkasa kerana ia sedikit sebanyak mencerminkan kehendak orang Melayu dan kehendak negara,”

Dr. Mahathir turut melahirkan rasa sedih kerana orang Melayu masih tidak sedar ancaman yang sedang dihadapi oleh mereka sehingga berpecah kepada tiga puak disebabkan individu tertentu yang gilakan kuasa kerana hendak menjadi Perdana Menteri.

Dalam nada sinis, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemimpin pembangkang tertentu yang malu hendak menjadi orang Melayu dan mengaku orang Islam, tetapi tidak berlagak sebagai seorang Islam sebenar kerana tidak sanggup bekerjasama dengan orang Islam lain yang memimpin parti UMNO.

Beliau juga mengatakan kononnya PAS sanggup ‘mengetepikan bangsa dan melonggarkan agama’ hanya kerana hendak mendapatkan sokongan politik kaum tertentu untuk membentuk kerajaan dan memimpin negara.

Jelas, ucapan Dr. Mahathir itu sudah tersasar dan tersalah fakta, malah berunsur memfitnah kepada semua umat yang tidak berjuang atas nama Melayu.

Sanggah Melayu Dr. Mahathir

Justeru itu, ikuti jelujur pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menepis kenyataan tersasar seperti mana diungkapkan tokoh-tokoh seumpama Dr. Mahathir dan yang sekepalanya dengannya.

Bagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz, sebenarnya “Islam menghebatkan Melayu bukannya kebangsaan yang menghebat mahupun membangga Melayu. Antara lain Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegaskan tidak adil bagi Allah kiranya Dia melebihkan satu-satu bangsa atas bangsa lain.  Bangsa yang tidak dilebihkan akan terasa hina tak pasal-pasal.

Ini kerana menurutnya, sebagaimana firman Allah bermaksud: “Hai, manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.  Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.   Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mengenal”(Surah Al Hujuraat, ayat 13).”

Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz lagi, “persoalan penegasan Allah ini, satu-satu bangsa itu akan menjadi hebat apabila bangsa itu mencapai tahap kemuliaan dan diperkasakan dengan ketakwaan. Kemuliaan bermakna beriman dengan penuh yakin dan istiqamah kepada ajaran Islam. Sementara takwa merupakan ukuran kehebatan dan keperkasaan bangsa itu berusaha menegak apa yang diperintah (perkara maaruf) di sisi Allah dan sentiasa meninggalkan malah mencegah daripada melakukan apa yang dilarang (perkara mungkar) di sisi Allah. Maknanya nilai bangsa itu akan dipandang hebat apabila ia mencapai tahap kemuliaan dan ketakwaan menurut acuan Allah SWT. Bukannya hebat bangsa itu kerana namanya atau kuatnya semangat perkauman Melayu atau Cina atau India dan sebagainya.

“Apa yang mengelirukan umat Malaysia, Umno sendiri mengaku perjuang Islam, tapi masih tolak Islam, seperti undang-undang jenayah dalam Islam (hudud). Sebaliknya Umno terus berkeras dengan kebangsaan  (perjuangan untuk bela Melayu). Malah berbangga dan mengagung-agungkan semangat perkauman yang sempit dengan melaungkan ‘hidup Melayu.’

Daripada muaturunkan kenyataan Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz merangkap Menteri Besar Kelantan itu, mudah-mudahan akan ramai umat Malaysia bersetuju untuk menolak fahaman secular-kebangsaan Umno dan menerima perjuangan Islam.

Jika demikian, kita harus mempersoalkan adakah layak Umno yang masih berdegil dengan dasar perjuangan sekular-kebangsaan Melayu itu mengutuskan presidennya untuk membuka pengajaran kepada umat Amerika Syarikat dalam misi menghapuskan “Islamofobia’ di sana? Sedangkan dalaman gelanggang Umno hatta BN serta pemikiran pihak pemimpin mereka begitu liar dengan unsure-unsur “Islamofobia.” Jawapannya, jauh lagilah Umno akan berminat untuk melaksana perjuangan Islam! Dunia boleh menjadi saksi, semoga premis ini tidak menyebabkan pemimpin dan parti Umno terus bebal dengan Melayu dan Islamofobia.

Oleh:

Wan Nik Wan Yussof, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Serahan Memo ke Istana

Backdrop Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Masjid Rusila Marang Terengganu

Backdrop Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Masjid Rusila Marang Terengganu . Jazakumullah atas kegigihan kalian [ DPP Negeri Terengganu ] tu belum T Shirtnya lagi tuh . Sesiapa yang tidak hadhir Rugi weh !

Sarawak negeri terkaya 2030-Adakah rakyat sarawak percayakan janji bn setelah 47 tahun merdeka

by Andy Sabang
September 30, 2010, Thursday

SCORE buka peluang ekonomi yang menjana pendapatan rakyat hingga tiga kali ganda

SOKONGAN: Pehin Sri Taib bersalaman dengan penduduk Betong yang menyambut ketibaan beliau sambil menyatakan sokongan terhadapnya, semasa tiba untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Rasmi Buku Bergambar Bahagian Betong ‘45 Tahun Menatang Harapan Merealisasi Impian’ dan Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Bersama Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dewan Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan di Betong, semalam. (BERITA LANJUT DI MUKA 3)SOKONGAN: Pehin Sri Taib bersalaman dengan penduduk Betong yang menyambut ketibaan beliau sambil menyatakan sokongan terhadapnya, semasa tiba untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Rasmi Buku Bergambar Bahagian Betong ‘45 Tahun Menatang Harapan Merealisasi Impian’ dan Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Bersama Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dewan Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan di Betong, semalam. (BERITA LANJUT DI MUKA 3)

SIBU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pembangunan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dapat mendorong negeri ini menjadi antara yang terkaya menjelang tahun 2030.

Katanya, SCORE dilihat dapat menjana beberapa peluang cukup besar yang mampu menaikkan taraf hidup rakyat dan ekonomi negeri ini.

“Tetapi di dalam usaha merealisasikannya, kerajaan harus bersedia dari sekarang,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfiri Bahagian Sibu di sini, malam kelmarin.

Menurut Taib, beliau bersedia mengetuai dan menyahut cabaran membawa Sara-wak melangkah jauh ke hadapan selain rakyat di negeri ini perlu menyiapkan diri bagi merebut peluang daripada penjanaan SCORE.

“Selain menjadi antara ne-geri terkaya menjelang tahun 2030, populasi rakyat Sarawak dijangka mencecah 4.5 juta serta berpendapatan tiga kali ganda lebih besar seperti yang dinikmati sekarang,” kata-nya.

Namun apa yang paling asas dalam persediaan ke arah mencapai matlamat tersebut, Taib berharap perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini harus dipelihara dan dikekalkan dari segenap sudut.

“Selepas itu, kita mahukan rakyat menyumbang bersama pemimpin jujur dan berwawasan demi masa depan, selain negeri turut harus memiliki tenaga kerja berkemahiran dan terlatih selain berteknologi tinggi,” ujar beliau lagi.

Katanya, dengan adanya corak bekerja sedemikian ia dapat membantu meningkat produktiviti eksport yang bukan sahaja membawa keuntungan kepada negeri ini malah untuk negara amnya.

Taib turut membayangkan tidak kurang  daripada empat juta peluang pekerjaan harus disediakan untuk menampung populasi rakyat di negeri ini yang semakin bertambah.

Jelas beliau, jika 11 hingga 12 tahun lalu, Sarawak tidak mempunyai satu pun universiti tetapi kini sudah enam telah dibina termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), UiTM dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan setiap orang terutamanya ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu bekerja kuat untuk me-mastikan penjanaan SCORE mencapai sasarannya.

“Saling memahami, bersatu-padu dan berdisiplin amat penting untuk kita semua dan kita tidak boleh hanya bercakap atau mengkritik sahaja. Sebaliknya kita perlu melaksanakan apa yang kita janjikan atau sampaikan kepada orang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Taib menyelar sikap pembangkang yang hanya pandai menilai kelemahan orang lain tanpa mengambil sebarang tindakan untuk mengatasinya.

Sambil mengambil contoh masalah banjir di Sibu, pembangkang katanya, bertindak (bercakap) seolah-olah me-miliki lampu ajaib Aladdin dan mampu menyelesaikan mas-alah tersebut sekiranya ber-kuasa.

Pembangkang ujar beliau turut memutar-belitkan ke-adaan dan mendorong rakyat supaya tidak menyokong ke-rajaan kerana tidak berjaya mengatasi masalah tersebut.

“Mereka (pembangkang) adalah pembohong besar,” katanya lagi.

Sesungguhnya tambah Taib lagi, kerajaan sentiasa bekerja biarpun secara senyap dan sebagai bukti sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek tebatan banjir.

Walau bagaimanapun mas-alah tersebut diselesaikan secara beransur-ansur kerana bergantung kepada bajet yang diperuntukkan selain sumber kewangan yang terhad,” katanya lagi.

“Tetapi sekiranya rakyat masih mengundi pembangkang pada pilihan raya akan datang, saya takut masalah banjir akan bertambah serius,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis ter-sebut ialah Speaker Dewang Undangan Negeri Dato Sri Asfia Awang Nassar, Menteri Kewangan II Dato Sri Wong Soon Koh, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Datuk Tiong Thai King dan Penge-rusi Majlis Datuk Awang  Bemee Awang Ali Basah.

Penyelewengan Felda bukti Umno khianat Melayu


Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 30 Sept: Kemenangan peneroka Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda membuktikan bahawa badan berkanun yang dikuasai Umno itu adalah benar-benar pengkhianat Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembelaan Peneroka (Tindak), Salahuddin Ayub berkata ianya juga menjelaskan lagi bahawa sememangnya berlaku penyelewengan dan penipuan biarpun dinafikan berkali-kali pihak Felda.

“Kemenangan peneroka Felda baru-baru ini memang menampakkan penyelewengan, penipuan serta salah guna kuasa (oleh) Felda ke atas peneroka.”

“Kalau benar Umno mengatakan bahawa mereka adalah pejuang Melayu, 99.9 peratus peneroka yang terbabit adalah peneroka-peneroka Melayu,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau mengulas kemenangan kes 10 peneroka dari Felda Sungai Koyan 2 dan 3 semalam.

Mahkamah Tinggi Kuantan semalam memutuskan Felda perlu membayar RM23,800 kepada 10 peneroka tersebut yang dinafikan hak mendapat bayaran tanam semula.

Dalam kes sebelum itu juga, Mahkamah Persekutuan turut mengarahkan Felda menyerahkan RM11 juta kepada 354 peneroka di Felda Kemahang 3, Kelantan ekoran Felda memanipulasi  penggredan kelapa sawit.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS Pusat berkata, tindakan Felda menipu peneroka tidak ubah seperti bau busuk yang sedang melanda Felda.

Beliau juga yakin dan percaya, Felda sedang berdepan laluan sukar apabila satu demi satu penyelewengan terhadap peneroka mula terdedah.

Turut serta pada sidang media sama Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan Peguam Mohamed Hanipa Maidin.

Di penghujung sidang media itu, beliau juga merayu kepada Felda agar tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan semalam, sebaliknya membayar terus kepada peneroka.

Perkauman: Orang kaya Umno peralat rakyat miskin


Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 30 Sept: Orang-orang kaya Umno yang mengapi-apikan perkauman dengan memperalatkan rakyat miskin, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan meningkatkan pertumbuhan dan kekayaan negara untuk mengurangkan perkauman, beliau menyifatkan pandangan tersebut sebagai pandangan yang dangkal.

“Barangkali kerana pandangan sedemikianlah Umno, Utusan Malaysia, Perkasa malah Dr Mahathir sendiri memperalatkan cakap-cakap bahawa ekonomi orang-orang Melayu masih ketinggalan untuk mengapi-apikan perkauman.

“Mereka menghalalkan pemikiran dan tindakan mengapi-apikan perkauman dengan alasan orang-orang Melayu ketinggalan dari segi ekonomi tetapi pada masa yang sama mereka mahu memaksa rakyat mengekalkan kuasa Umno yang terbukti tidak berminat membantu orang-orang Melayu,” kata Mahfuz.

Sebelum ini, beliau menyifatkan Umno terbukti tidak berminat membantu orang-orang Melayu apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan bahawa data dan statistik terkini membuktikan bahawa kedudukan orang Melayu di dalam ekonomi dan pelbagai sektor masih ketinggalan.

Mahfuz juga menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu tidak ubah seperti desakan supaya gaji polis dinaikkan untuk membasmi rasuah di kalangan mereka.

“Saya sokong kenaikan gaji polis. Tetapi menaikkan gaji polis bukanlah cara untuk membasmi rasuah di kalangan mereka.

“Malah, yang didedahkan paling rakus dengan rasuah ialah pegawai-pegawai tinggi yang lebih besar pendapatannya, bukan anggota bawahan,” kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana secara tidak langsung mengakui bahawa ekonomi negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam keadaan yang sangat lemah.

“Sebab itulah perkauman menjadi-jadi di zaman Najib terutama yang dicetuskan oleh Umno sendiri,” katanya.

Tetapi, katanya, itu tidak bermakna beliau mahu negara ini kembali kepada ekonomi cara Dr Mahathir.

“Ekonomi cara Dr Mahathir yang tidak pro-rakyat mengakibatkan negara rugi sehingga sebesar RM100 bilion seperti yang didedahkan dalam buku ‘Malaysian Maverick’ oleh Barry Wain,” kata Mahfuz.

Umno didesak buktikan penerima kembalikan wang


Ali Hashim
GEORGETOWN, 30 Sept: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendesak Umno negeri supaya membuktikan dakwaan mereka bahawa seramai 40 orang warga emas yang menerima wang dalam program sumbangan warga emas sebanyak RM100 seorang sebelum ini telah memulangkan wang tersebut.

Mereka dikatakan memulangkan wang tersebut dalam satu majlis yang diadakan oleh Adun Penaga, Datuk Azhar Ibrahim di Pusat Khidmat Dun itu kerana tidak berpuas hati setelah didakwa wang tersebut adalah hasil dari sumber judi Kelab Lumba Kuda.

Exco Kerajaan Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim dalam sidang media pagi tadi menafikan dakwaan Azhar itu.

Beliau menyifatkan Azhar dan Umno Pulau Pinang cuba menjadi hipokrit dengan memperalatkan warga emas bagi mendapat simpati yang telah hilang terhadap mereka selama ini.

“Telah kita nyatakan bahawa hasil dari penjimatan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, maka wang sebanyak RM88 juta pada tahun 2008 dan RM77 juta pada 2009 telah dapat dijimatkan. Ini adalah lebihan hasil dari amalan ketelusan yang kita lakukan.

“Kita juga mengalami kerugian apabila terpaksa membayar sebanyak RM15 juta dalam isu skandal tanah yang melibatkan Tang Hak Jo semasa pemerintahan Umno dan Barisan Nasional sebelum ini,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah menafikan bahawa tiada unsur sumber judi yang melibatkan pemberian sumbangan wang kepada warga emas dan program penghargaan waris warga emas.

“Kita mempunyai dana yang cukup dan lebih dari apa yang mereka dakwa,” tegasnya lagi.

Abdul Malik juga mencabar Azhar yang juga merupakan Setiausaha Umno Pulau Pinang supaya membuktikan senarai mereka yang menyerahkan kembali wang sebanyak RM100 sepertimana yang didakwa dalam majlis yang diadakan di Penaga semalam itu adalah mereka yang berdaftar dengan kerajaan negeri.

“Jika mereka itu adalah yang mendaftar dengan kerajaan negeri maka kita akan ambil langkah yang wajar dalam senarai nama tersebut,” ujarnya.

Beliau menambah, sekiranya nama mereka tidak terdapat dalam senarai yang berdaftar, maka ia membuktikan Umno telah merencanakan sesuatu untuk mencalarkan imej kerajaan negeri.

“Umno sepatutnya jangan memperalatkan warga emas dengan memperdayakan mereka sepertimana yang dilakukan semalam, semata-mata bagi mendapat sokongan,” tambahnya lagi.

Gelaran Tengku Temenggong ditarik balik


Wartawan Kita
KOTA BHARU, 30 Sept: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V hari ini menarik balik gelaran Temenggong dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunus) yang dianugerahkan kepada Tengku Muhammad Fakhry Petra berkuat kuasa serta merta.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiesri Alias, berkata turut dilucutkan, Tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) (Al-Muhammadi 1).

Menurutnya, penarikan itu telah dimaklumkan kepada Muhammad Fakhry Petra sendiri hari ini melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya.

“Surat itu dihantar kira-kira pukul 10.00 pagi tadi oleh wakil saya, Mohd Rusdi Ismail di Istana Mahkota, Kubang Kerian kepada kakitangan istana berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran kerajaan negeri di Kota Darulnaim tengah hari tadi.

Ketika ditanya punca penarikan itu beliau berkata, baginda sultan mempunyai sebab yang tersendiri berhubung penarikan itu.

Pengarah p’raya umpama kata dua buat Razaleigh


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 30 Sept: PAS menyifatkan perlantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan raya Umno dan BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas sebagai kata dua kepadanya yang menyokong tuntutan royalti Kerajaan PAS Kelantan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, jelas ianya tindakan terdesak Umno kerana ternyata parti itu amat bergantung harap kepada pengaruh Tengku Razaleigh bagi merampas semula Dun berkenaan.

Ini, katanya walaupunUmno tahu Tengku Razaleigh tidak sealiran dengan pemimpin tertinggi Umno dan perlantikannya adalah risiko terbesar yang perlu Umno tangani sepanjang kempen.

PAS, tambahnya yakin perlantikan Razaleigh juga membuktikan Umno sebenarnya hilang keyakinan di Galas tetapi mahu memberikan tekanan kepada veteran Umno itu sendiri sebagai membuktikan kesetiaanya kepada parti itu.

“Ianya umpama kata dua kepada beliau, sama ada berjuang untuk rakyat atau berjuang untuk kepentingan Umno,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Begitupun, ujarnya, PAS yakin Tengku Razaleigh tahu membuat keputusan dan tahu jika Umno menang di Galas, belum tentu royalti minyak Kelantan akan dipulangkan.

Tambahnya, PAS tiada masalah jika beliau menerima perlantikan itu tetapi mahu Razaleigh menggunakan peluang itu untuk terus memperjuangkan royalti minyak Kelantan.

“Jika dalam PRK nanti isu royalti dibangkitkan, rakyat pasti tertanya-tanya, apa pula yang Tengku Razaleigh akan ucapkan?

“Sanggupkah beliau untuk menyanggah hujah Umno BN demi kepentingan rakyat nanti,” soalnya.

Justeru itu, katanya PAS menyeru agar Tengku Razaleigh mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai PAS jika benar beliau berjuang untuk rakyat Kelantan.

Tambahnya, sebelum ini di Manek Urai, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai pengarah PRK namun gagal merampas kerusi berkenaan yang kekal di tangan PAS.

Akibat kegagalan itu, katanya, Mustapa dinafikan hak untuk menjadi Pengarah Pilihan raya Dun Galas walaupun beliau adalah pengerusi perhubungan negeri dan menteri Umno yang banyak menafikan hak royalti Kelantan.

Menurutnya, Dun Galas di dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang menjadi kubu Tengku Razaleigh di mana Umno menumpang pengaruhnya untuk mengibarkan bendera mereka, bakal menjadi medan ujian buat Umno dan Tengku Razaleigh sendiri.

Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya umum yang lepas Allahyarham Chek Hashim Sulaima berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno BN, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Katanya, walaupun belum sampai sepenggal bersama PAS, namun keyakinan rakyat Galas terhadap kemampuan wakil rakyat PAS dan juga kerajaan PAS bakal menjadi cabaran buat BN.

Bagi PAS, kata Idris perlantikan Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya Umno adalah kemenangan pertama kerana selepas pilihan raya umum 2008, beliau begitu cenderung untuk bersama rakyat menyokong perjuangan Kerajaan PAS Kelantan bagi menuntut royalti dari Kerajaan Persekutuan di bawah BN.

“Malah beliau yang juga mantan Pengerusi Petronas menawarkan diri menjadi saksi bagi kes saman yang dikemukakan Kerajaan Kelantan kepada Petronas.

“Beliau menjadi perhatian kerana sanggup menentang arus dan melawan Presiden Umno dan MT Umno yang duduk dalam kabinet demi membela nasib rakyat,” kata Idris lagi.

Transformasi ekonomi akan gagal di bawah Umno BN


Thursday, 21 Syawal 1431

Intipati ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Majlis Hubungan Luar (CFR) yang berlangsung di New York, semalam (29 Oktober) mengenai Program Transformasi Ekonomi  (ETP) di Malaysia adalah merupakan satu lagi ucapan yang tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku dalam negara kita.

Perdana Menteri bersyarah mengenai satu paradigma baru yang perlu dilakukan oleh Malaysia sebagai keperluan untuk menyesuaikan Malaysia dengan persekitaran global untuk bersaing dengan pasaran China, India dan Vietnam.

Parti Islam Islam Se-Malaysia (PAS) melihat bahawa hasrat untuk membawa pasaran ekonomi negara ke persada dunia adalah suatu cita-cita yang murni, tetapi keadaan semasa urustadbir dan ketelusan pihak Kerajaan  Malaysia di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) di ketika ini sebenarnya adalah merupakan satu halangan besar terhadap impian membawa negara ke ekonomi yang lebih kompetetif dan berdaya saing.

Ini adalah kerana persekitaran kerakusan rasuah dan ketirisan pelaksanaan projek pembangunan ekonomi masih berleluasa serta ketelusan urus tadbir kerajaan yang masih berada di takuk lama malah semakin buruk adalah merupakan halangan terbesar yang gagal dihadapi oleh kerajaan pimpinan Umno BN sejak puluhan tahun di negara kita ini.

Oleh yang demikian, PAS tidak terperanjat dengan pengumuman terbaru Laporan Daya Saing Dunia tahun 2010/2011, Forum Ekonomi Dunia yang mana Malaysia terus jatuh ke tempat 26 daripada 139 buah negara. Untuk rekod dalam laporan sama 2009/2010 Malaysia di tempat 24 dari 133 negara dan dalam tahun 2008/2009 Malaysia di tempat  21 dari 134 negara.

Keputusan ini juga sudah dijangka oleh PAS, malah oleh para penganalisa pasaran berdasarkan rekod buruk Malaysia dari segi ketelusan dan urus tadbir korporat.

Malah campur tangan kuasa politik dalam urus tadbir yang menyebabkan rekod ketelusan dalam urus tadbir semakin teruk dan menyebabkan pelabur semakin tidak yakin dengan daya saing Malaysia. PAS juga memandang serius mendedahan terbaru yang telah dibuat oleh salah seorang tokoh korporat yang hampir dengan pimpinan Umno bahawa terdapat orang-orang peringkat tinggi kerajaan yang telah merancang dan memaksa beliau keluar dan menjual semua pegangan dalam sebuah syarikat korporat secara paksa. Selain dari itu, beliau juga menegaskan bahawa sejumlah saham syarikat berkenaan adalah bukan milik beliau atau pihak yang berkaitan dengan beliau.

Ini merupakan pendedahan terbaru yang membuktikan betapa tidak telusnya pasaran dan pengurusan pasaran Malaysia disebabkan oleh campur tangan politik dan kerajaan.

Justeru PAS mendesak kerajaan dengan segera membuat pengakuan dan pendedahan terbuka terhadap apa yang telah didedahkan oleh Tan Sri Halim Saad tersebut kerana hanya itu yang boleh memperbaiki keyakinan pelabur dan memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.

Jika gagal, PAS amat yakin daya saing Malaysia akan semakin teruk dan seterusnya akan memburukkan lagi pasaran dan ekonomi negara.