Cops breaks upn peaceful ‘Occupy’ event

 

BN masih gagal bekal air, elektrik di pedalaman

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 15 Okt: Kerajaan BN ternyata masih gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik bagi program bekalan air dan elektrik khususnya di kawasan pedalaman, walaupun telah lebih 50 tahun memerintah negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara disaran supaya melaksanakan audit keseluruhan bagi program tersebut untuk mengukur pencapaian yang telah diperolehi oleh kerajaaan sejak dulu hingga kini.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, pihaknya menerima banyak aduan dari daripada pihak-pihak tertentu yang merungut mengenai kelemahan penyelenggaraan dari pihak kerajaan berhubung program itu.

Menurut beliau, antaranya, panel-panel solar dilitupi dengan lumut disebabkan kekurangan penyelenggaraan selepas kontraktor memasangnya.

Katanya, dalam masa yang sama pula, penghuni-penghuni di kawasan terbabit termasuk Orang Asli dan orang kampung tidak tahu apa yang patut dibuat kerana mereka tidak dilengkapi dengan kebolehan untuk menyelenggara alat-alat tersebut.

“Berdasarkan laporan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad, hanya 20 daripada 28 mini hidro yang terdapat di Semenanjung Malaysia sedang berfungsi, manakala 8 lagi masih dalam pelan pemulihan.

“Sehingga kini tiada laporan mengenai status mini hidro di Sabah dan Sarawak. Kerajaan perlu merekod dan memantau semua kerja-kerja yang dilakukan dengan teliti untuk memastikan program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman berfungsi dengan baik,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman, menurut beliau, tidak seharusnya dipandang ringan oleh kerajaan kerana ia merupakan sesuatu yang penting bagi memastikan semua rakyat Malaysia tidak kira status mendapatkan kemudahan asas yang diperlukan.

Katanya, Awer telah mengkaji belanjawan bagi 2010, 2011 dan 2012 dan didapati terdapat peningkatan yang memberangsangkan dari segi peruntukan yang disediakan oleh kerajaan bagi program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman.

Dalam bajet 2010, kerajaan telah memperuntukkan RM530 juta bagi bekalan air untuk 16,000 isi rumah dan RM825 juta bagi bekalan elektrik untuk 30,000 isi rumah.

Manakala dalam bajet 2011 bagi program bekalan air dan elektrik, sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukkan bagi negeri Sarawak, RM1.5 bilion bagi Sabah dan RM556 juta bagi Semenanjung.

Menerusi bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu, sebanyak RM2.1 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi bekalan air untuk 200,000 isi rumah dan RM1.1 bilion untuk bekalan elektrik bagi 39,000 isi rumah.

Katanya, walaupun berlaku peningkatan dalam belanjawan, ia tetap tidak mendatangkan hasil yang baik sekiranya tidak disusuli dengan langkah-langkah yang sepatutnya dan berkesan.

Oleh itu, pihaknya turut mencadangkan beberapa langkah untuk dilaksanakan oleh kerajaan bagi menambahbaik pelaksanaan program air dan elektrik di kawasan pedalaman.

Katanya, pertama, dengan mengadakan bidaan terbuka (open bidding) daripada pembekal teknologi untuk mengurangkan kos program-program seperti itu berbanding dengan harga yang dirunding.

“Kedua, kos penyelenggaraan patut disertakan semasa implementasi. Langkah ketiga, mendidik komuniti pedalaman untuk melakukan penyelenggaraan asas (ringkas) dan ini juga dapat mewujudkan pekerja separuh mahir dalam komuniti ini.

“Adalah penting untuk membenarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Suruhanjaya Tenaga untuk menyelia dan memastikan program-program ini dilaksanakan dengan berkesan di seluruh Malaysia,” tegasnya.

Awer berharap agar kerajaan akan mempertimbangkan cadangan-cadangan tersebut untuk memastikan program-program bekalan air dan elektrik di kawasan pedalaman berjalan lancar dan telus.

Kad kredit: Tidak pelik anak muda berstatus muflis

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 15 Okt: Penggunaan kad kredit di kalangan masyarakat umum ketika ini bukan lagi dilihat sebagai satu kebanggaan atau satu gaya hidup akan tetapi sudah menjadi suatu kemestian dalam mengharungi zaman kenaikan harga barang dan taraf hidup yang semakin tinggi.

Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Firdaus Jaafar berkata, rakyat dilihat seolah-olah tidak mempunyai jalan lain di dalam mengharungi hidup terutama di kota-kota besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Namun adakah ini jalan penyelesaian yang terbaik dalam hendak memastikan diri dan keluarga ‘berdaya saing’ demi untuk meneruskan kehidupan,” soalnya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya media pernah melaporkan bahawa 449 muflis kerana kad kredit.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dikumpulkan oleh pengeluar kad kredit bagi 2007 hingga 2009, tiada kes muflis dilaporkan bagi pemegang kad kredit berusia 25 tahun ke bawah, manakala bagi pemegang kad kredit berusia 26 hingga 30 tahun, kes muflis akibat hutang itu secara puratanya adalah dua orang setahun.

Ini, ujarnya satu angka yang mesti diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.

Tambahnya, walaupun jumlah muflis akibat gagal membayar hutang kad kredit hanya mencatatkan 4,417 kes dalam tempoh lima tahun hingga Mei 2010 yang lalu, situasi penggunaan serta pengeluaran kad yang dilihat tidak terkawal dianggap membimbangkan serta boleh memusnahkan masa depan generasi muda.

Beliau menambah, statistik Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga Mac 2009 juga menunjukkan bahawa pinjaman melalui kad kredit menguasai 6.1 peratus daripada jumlah pembiayaan institusi perbankan.

Katanya, pengiraan secara statistik menunjukkan sekiranya seseorang itu berhutang RM1,000 melalui kad kredit dan cuma membuat bayaran minimum lima peratus setiap bulan, dia mengambil masa lima tahun lapan bulan untuk melangsaikan hutangnya termasuk kadar faedah.

Kajian juga, katanya menunjukkan pengguna kad kredit cenderung untuk berbelanja 17 peratus lebih daripada individu yang berurusan menggunakan wang tunai.

Menurutnya, antara sebab-sebab yang membawa kepada ‘maslahah’ ini adalah faktor kadar faedah yang tinggi, kawalan kelulusan pengeluaran kad kredit terlalu longgar, sikap institusi kewangan yang hanya memikirkan keuntungan tanpa melihat kepada kesan sosioekonomi dalam jangka masa yang panjang.

“Ditambah dengan sikap segelintir pengguna yang tidak berhemah dikenal pasti punca kenapa ramai yang jatuh muflis kerana gagal membayar hutang kad kredit,” katanya yang juga ahli Parlimen Jerai.

Pihak kerajaan, tambah beliau perlu melihat kepada isu dengan lebih mendalam dan perlu mengambil tanggungjawab dan bukannya dengan mudah menyalahkan rakyat serta menuduh rakyat tidak pandai mengurus kewangan dan boros di dalam berbelanja.

Ianya, kata beliau perlu dilihat juga dari segi harga kereta dan harga rumah di negara ini.

“Seperti yang kita ketahui, harga kereta di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia. Begitu juga dengan hartanah yang mana harganya semakin hari semakin meningkat yang mana menyebabkan harga rumah juga terus meningkat.

“Di dalam keadaan begini menyebabkan ramai rakyat terpaksa berhutang dan akhirnya menjadi muflis,” katanya.

Beliau berkata, bebanan yang ditanggung oleh rakyat perlu diambil kira sekiranya slogan ‘Rakyat Didahulukan’ dilaksanakan dan bukan sekadar retorik semata-mata.

Kalau dilihat secara teliti, katanya Bajet 2012 yang baru dibentangkan oleh Datuk Seri Najib baru-baru ini juga tidak banyak membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah bebanan kenaikan harga barang.

Malah, katanya faktor inflasi dan kenaikan harga barang  juga turut menyebabkan  ramai rakyat yang tertekan, yang mana akhirnya terpaksa menggunakan duit peruntukan yang sepatutnya dibayar untuk hutang, digunakan untuk perbelanjaan hidup.

“Maka tidak pelik kalau satu hari nanti Malaysia akan dipenuhi oleh anak-anak muda yang umur belum mencecah 25 tahun tetapi sudah berstatus muflis,” katanya.

Jabatan agama perlu fokus aqidah, bukan tauliah

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 15 Okt: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyeru agar fokus dan keutamaan jabatan agama mesti terarah kepada usaha menyelamatkan aqidah ummat Islam berbanding dengan persoalan tauliah yang tidak ada syarat wajib dalam Islam untuk menyampaikan kebenaran Islam selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat.

Presidennya, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, ini ekoran kedangaran suara yang tidak berpuas hati kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atas tindakan terbarunya menahan Bob Lokman atas kesalahan memberi kuliah tanpa tauliah yang bercanggah dengan  Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Rungutan ramai ini perlu diambil perhatian kerana peristiwa ini sudah kali berikutnya setelah penahanan yang dibuat terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin pada tahun 2009 lalu,” katanya.

Katanya, jabatan agama itu seolah tidak mempunyai tugas yang lebih penting daripada menghalang untuk pendakwah menyampaikan kuliah dan nasihat agama kepada masyarakat.

Gamis, ujarnya berasa pelik dan hairan kenapa persoalan tauliah menjadi subjek utama dalam penahanan, bukannya isi penyampaian penceramah berkenaan.

Perkara ini berlainan terjadi kepada banyak kumpulan ajaran yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng oleh majlis agama sebelum ini,” ujarnya.

Kata beliau, antara contohnya ialah Tarekat Naksabandiyah Kadirun Yahya yang telah difatwakan sesat namun masih berleluasa sehingga hari ini di negeri Selangor.

“Saya pernah meninjau kawasan ajaran sesat ini dan mendapati pengamalan dan dan ajaran ini masih berleluasa dan tidak ada sebarang penahanan yang dibuat oleh jabatan agama.

Kumpulan itu juga, katanya tidak mewajibkan solat Jumaat dan pelbagai lagi aturan yang menyalahi syariat Islam secara nyata.

Menurutnya, “Kita akan panggil mereka yang kita disyaki ini dan kita berdialog mengenai ajaran yang mereka bawa” begitulah kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Pengarah Jais yang lalu menunjukkan bahawa ada toleransi dan komunikasi yang baik dengan kumpulan yang telah disahkan sesat, namun pendakwah bebas pula terus ditangkap hanya disebabkan tauliah.

Hudud: Bukan Islam usah bimbang

Khairul Azlam Mohamad
MARANG, 14 Okt: Masyarakat bukan Islam sebenarnya tidak perlu gusar dan bimbang dengan isu hudud yang kini menjadi polemik Umno dan Barisan Nasional (BN) menyerang PAS dan Pakatan Rakyat.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr B.Chandran berkata, orang bukan Islam sepatutnya tidak perlu mempersoalkan isu hudud kerana ia hanya melibatkan orang Islam.

Katanya, jika ia masih timbul, mereka sebenarnya sengaja menimbulkan perkara yang tidak mempunyai kaitan dengan diri sendiri.

“Isu hudud ini sebenarnya tidak ada kaitan dengan orang bukan Islam. Kenapa perlu kita takut. Kita tidak perlu bimbang kerana hukum hudud hanya untuk orang Islam.

“Jika ia (hudud) masih timbul, itu (isu) sengaja ditimbulkan pihak tertentu yang menjadikan hudud sebagai polemik untuk kepentingan politik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis bersantai sempena Program Al-Falah anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Berangan, di perkarangan Pasti Merchang, Marang, kelmarin.

Menurutnya, hudud tidak menjadi isu yang ‘menakutkan’ terutama kepada ahli DHPP kerana memahami dasar tersebut.

Katanya, DHPP Terengganu menyokong semua dasar yang dibawa oleh parti itu tetapi tumpuan kepada Negara Berkebajikan lebih penting.

“Negara Berkebajikan patut dilihat sebagai satu perkara penting daripada hudud yang tidak ada kena mengena dengan kita (bukan Islam).

“Di Terengganu, perkara ini jelas dan tidak ada langsung isu berkaitan hudud dibangkitkan kerana kita memahami tujuan hudud,” tegasnya.

Justeru itu, katanya pemimpin DHPP di seluruh negara disarankan agar bersama-sama dengan PAS bagi merealisasikan agenda sebuah negara berkebajikan.

Beliau mengingatkan ahli parti termasuk rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat agar tidak terpengaruh pihak yang menentangnya.

Sebaliknya, kata beliau semua pihak perlu memahami pelaksanaan hudud itu hanya melibatkan kesalahan dan jenayah yang dilakukan orang Islam.

Agong ke-14: Tahniah Sultan Abdul Halim

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 15 Okt: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Kedah mengucapkan tahniah kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (gambar) yang dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara, di sini, semalam.

“Saya mewakili ahli Parlimen Pakatan Rakyat Kedah mengucapkan tahniah di atas pengisytiharan Majlis Raja-Raja memilih Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga berdoa agar ke bawah Duli Tuanku dipanjangkan usia untuk menempa sejarah menjadi Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua dalam hayat baginda.

“Patik juga berharap tuanku akan membawa lonjakan baru kepada Malaysia dalam semua bidang seperti lonjakan yang tuanku bawa kepada Negeri Kedah.

“Daulat Tuanku,” ujarnya yang juga Naib Presiden PAS dalam satu kenyataan ringkas, pagi ini.

Pemilihan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong, berkuatkuasa 13 Disember depan bagi tempoh lima tahun menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Dengan pemilihan tersebut, ini adalah kali kedua Sultan Abdul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong selepas dipilih kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun yang berakhir pada 20 September 1975.

Sementara itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang.
Pemilihan itu dilakukan mengikut peruntukan jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.