Kong Choy charged with cheating in PKFZ scandal -isu panas!!!!

Adnan perlu jelaskan hutang negeri RM2.17b

Hafiz Baqi
TEMERLOH, 28 Feb: PAS menggesa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menjelaskan kelemahan pentadbirannya kerajaannya kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau seperti mana dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.

Gesaan itu dibuat ekoran kenyataan Adnan yang menyebut selama Barisan Nasional menerajui Pahang tidak ada isu untuk dibangkitkan oleh pembangkang dalam PRK Dun Kerdau.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pengarah Pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Kerdau dalam sidang medianya hari ini berkata, Laporan Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini banyak menyentuh tentang kelemahan Kerajaan Pahang yang merangkumi pelbagai skop.

Kata beliau, paling utama kelemahan melibatkan pentadbiran dan pengurusan sehingga kerajaan negeri kehilangan sumber pendapatan sebanyak RM227.9 juta ekoran empat buah syarikat-syarikat berkaitan negeri (GLC) gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual.

Lebih teruk lagi kata beliau, laporan itu juga mendedahkan kerajaan negeri tidak boleh mengambil tindakan terhadap GLC terbabit sekiranya GLC terbabit gagal membuat bayaran.

“Jelas dan nyata bahawa inilah antara sebabnya mengapa pakar ekonomi meramalkan kerajaan negeri Pahang berpotensi bankrap,” kata beliau dalam sidang media di Markas besar PAS Kerdau hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Timbalan Pengarah Pilihan raya PAS Dun Kerdau, Abdul Wahid Endut dan Ahli jawatankuasa PAS, Dr Dzulkifly Ahmad.

Kata Tuan Ibrahim, oleh kerana Lapuran Audit Negara adalah maklumat awam, menjadi tanggungjawab pada Adnan memberi penjelasan kepada rakyat termasuk pengundi di Kerdau, apa langkah-langkah yang telah diambil bagi mengatasi kepincangan-kepincangan tersebut.

Selain itu, Adnan juga digesa menjelaskan mengapa kerajaan negeri telah mengalami defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut dan kini menganggung bebanan hutang sebanyak RM2.17 bilion seperti mana Laporan Ketua Audit Negara tersebut.

“Dalam masa yang sama PAS juga menuntut kerajaan negeri di bawah kepimpinan Barisan Nasional mendedahkan prestasi semsasa GLC negeri sebagaimana dilakukan oleh negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tentang pemilihan Hassanuddin sebagai calon PAS, Tuan Ibrahim berkata ia berdasarkan proses biasa dalam PAS.

Nama Hassanuddin katanya, di hantar oleh PAS Kawasan, diluluskan oleh PAS negeri dan seterusnya mendapat kelulusan PAS Pusat dan Majlis Syura.

“Pemilihan Hassanuddin juga setelah mengambil kira suasana dan keperluan setempat,” kata beliau yang menyifatkan isu pembangunan dan salah urus tadbir sebagai fokus utama di Dun berkenaan.

Justeru beliau menyeru pengundi di Kerdau membuat pilihan yang tepat bagi membongkar segala kepincangan demi memperjuangkan kepentingan penduduk Kerdau dan seluruh negeri Pahang.

“Calon yang paling wibawa bagi merealisasikan tujuan dan menggalas tanggungjawab ini adalah Hassanurddin Salim, yang berlatarbelangkan integriti, kemampuan serta pengalaman kerjayanya di luar negara,” katanya.

Demo aman: Kerajaan Malaysia talam dua muka

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 28 Feb: Tindakan kerajaan Barisan Nasional yang sering menggunakan alasan ‘mencemarkan imej negara’ bagi menutup tindakan keras dan tidak profesional pihak polis menghalang Parti Hak Asasi dan juga kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf) semalam adalah memalukan.

Sehubungan itu, Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung menggesa pihak kerajaan berhenti menggunakan sebarang bentuk kekerasan dan menuntut agar ruang diberikan kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat dan kritikan terhadap kerajaan.

Beliau berkata, sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggalakkan perhimpunan rakyat di Libya, maka beliau tidak seharusnya mempraktikkan muka dua talam dengan menahan rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Tambahnya, Suaram mengecam tindakan pihak polis yang menghalang Parti Hak Asasi dan Hindraf untuk melakukan demonstrasi secara aman bagi membantah kandungan dalam novel ‘Interlok’ karya sasterawan negara, Datuk Abdullah Hussain semalam di sekitar Kuala Lumpur.

Suaram juga, katanya mengecam tindakan pihak polis menahan beberapa wartawan tempatan yang sedang menjalankan tugas dan ini telah menunjukkan sikap tidak professional dan tindakan melulu yang ditonjolkan oleh pihak polis.

Katanya, pihak polis juga telah secara jelas menyalahgunakan kuasanya dengan menggeledah barang peribadi serta menahan orang awam yang berada di sekitar jalan menuju ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Lebih teruk lagi, pihak polis menahan pemimpin dan pengikut kumpulan tersebut tanpa sebarang alasan dan sebab sebelum demonstrasi dilakukan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengikut berita Malaysiakini (bertarikh 28 Februari 2011), sekitar 123 orang awam telah ditangkap termasuk 109 orang yang telah dilepaskan malam semalam dan 14 orang lain yang telah dibebaskan pada hari ini dari  lokap Bukit Jalil.

Katanya, Suaram telah mengeluarkan kenyataan pada 25 Februari bagi  menuntut pihak polis menghormati hak kebebasan suara rakyat serta tidak menghalang perhimpunan  aman yang dianjurkan oleh Hindraf.

Namun, ujarnya polis enggan bertindak demikian malah telah membuat tangkapan terhadap 123 orang awam.

Kenapa baru sekarang nak bantu rakyat

Aziz Muda
JASIN, 28 Feb: Penduduk di kawasan Dun Merlimau kini amat hairan dengan tindakan para pemimpin Umno dan kerajaan Melaka yang begitu bersungguh-sungguh untuk membantu penduduk di kawasan itu, sedangkan sebelum ini tidak pula sedemikian.

Jika sebelum ini mereka diabaikan dari segala aspek, kini mereka bukan sekadar disogokkan dengan wang, tetapi juga diberikan jalan tar hingga ke hadapan rumah dan diperbaiki longkang-longkang yang rosak.

Beberapa orang penduduk di kawasan Merlimau ketika ditemui berkata, dengan itu ternyata, mereka bukan ikhlas hendak menolong, tetapi hanyalah untuk memancing undi bagi mendapat kemenangan dalam pilihanraya.

Seorang penduduk yang ditemui, Ismail Abdul Rahman, 77, (gambar) berkata, menjelang PRK Dun Merlimau 6 Mac ini, beliau juga turut didatangi para pemimpin Umno dan turut diberikan jalan tar hingga ke hadapan rumahnya.

Menurut beliau, bantuan seperti itu turut diberikan kepada beberapa orang jirannya yang lain, sehingga menyebabkan mereka menjadi hairan dengan apa yang diberikan itu.

Katanya, pada hal, beliau dan jiran-jirannya tidak pernah memohon bantuan sedemikian dan mereka sendiri dapat mengagak berapa banyak wang rakyat yang disalahgunakan oleh para pemimpin Umno atau BN untuk kepentingan mereka.

“Sebenarnya, dah 45 tahun saya tak dibantu apa pun oleh kerajaan. Kalau ada pun bantuan seperti ini kepada orang ramai yang juga pernah saya kecapi hanyalah zaman Tun Razak dulu.

“Jalan tar di hadapan rumah itu pula bukanlah penting sangat. Tak diberikan jalan tar pun kami boleh gunakan jalan sedia ada dengan selesa untuk berulang alik ke rumah. Tapi diberikan jalan tar kami ambil. Diberikan apa saja pun kami ambil,” katanya.

Beliau yang juga salah seorang pengundi di kawasan itu memberitahu, para pemimpin Umno kini amat terdesak sehingga sanggup memberikan apa sahaja kepada para pengundi terutama di kawasan-kawasan peti undi yang tidak memihak kepadanya.

“Dengan itu, ternyata, kita tidak perlu takut untuk menyokong PAS atau pembangkang. Jika dekat pilihanraya, mereka pasti cari kita dan berikan bantuan (yang sebenarnya sogokan) kepada kita.

“Kepada para penyokong Umno sendiri pula, yang dapat tu dapatlah, yang tak dapat pun cukup banyak, tetapi kepada para penyokong PAS, kami hanyalah mengharapkan bantuan Allah,” katanya.

Manakala rakannya, Rusnan Wahab, 52, pula mempersoalkan bantuan wang yang diberikan oleh para pemimpin Umno dan kerajaan Melaya kepada sesetengah nelayan di kawasan itu yang berjumlah antara RM200 hingga RM300 seorang.

“Bantuan itu memang cukup kita faham. Ia adalah sogokan untuk pilihanraya. Tetapi apa maknanya diberikan wang? Kalau betul ikhlas nak bantu nelayan bukan wang sebanyak itu yang diperlukan. Wang sebanyak itu apalah sangat dan berapa hari boleh tahan?

“Kalau benar-benar nak bantu, berilah bantuan dalam bentuk lain yang diperlukan nelayan di kawasan itu seperti enjin, jaring dan seumpamnya kerana itu semua mahal dan lebih diperlukan nelayan. Tetapi enjin dan jaring tak pula diberikan,” katanya.

Sementara seorang lagi penduduk yang ditemui, Muhammad Rashid, 32, berkata, longkang di hadapan rumahnya sebenarnya masih elok lagi.

“Tetapi yang peliknya, longkang itu pun turut diperbaharui menjelang PRK Dun Merlimau 6 Mac ini kononnya untuk keselesaan orang ramai, walaupun ia sebenarnya tak perlu diperbaiki sekarang, tetapi bila benar-benar perlu diperbaiki nanti,” katanya sambil ketawa sinis.

Daftar warga Thai untuk tawan Kelantan

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 28 Feb: Pihak lawan sedang berusaha mendaftarkan seramai mungkin warga Thai sebagai pengundi pada pilihan raya umum ke-13 bagi merampas kerajaan Kelantan yang kini ditadbir oleh PAS hampir 21 tahun lalu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa, berkata tiga Parlimen, iaitu Rantau Panjang, Tanah Merah dan Tumpat akan menjadi perhatian mereka  sebagai ‘target’ untuk merampas negeri ini keseluruhannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis seminar mahasiswa mahasiswi Mesir, di Balai Islam, Lundang, di sini hari ini.

Menurutnya, PAS Kelantan mempunyai senarai penuh berhubung perkara itu.

“Kita amat kesal dengan kejadian ini dan sekiranya ia berterusan berlaku, bermakna masa depan negara akan ditentukan oleh warga asing dan bukannya rakyat negara sendiri,”ujarnya.

“Ini kerana warga asing itu akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang,”ujarnya.

Husam menambah, kerana kepentingan diri mereka sanggup berbuat demikian walaupun bersalahan dengan moral dan undang-undang.

Beliau seterusnya berkata, sekiranya perkara ini berterusan ia langsung tiada beza dengan kerajaan Mesir yang digulingkan rakyat di bawah pemerintahan Hosni Mubarak.

Tambahnya,  walaupun menang besar pada pilihan raya baru-baru ini, namun Hosni Mubarak direntap keluar oleh rakyat.

“Kiranya menang besar kerana pilihan raya, sudah tentu kebangkitan rakyat menentang kerajaan tidak akan berlaku,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, kebangkitan besar itu turut memberi kesan besar pada negara sekitar di Timur Tengah lain yang juga inginkan keadilan.

Kata Husam lagi, lanskap politik di Asia Barat akan berubah sekurang-kurangnya setahun akan datang.

Program anjuran Alumni Keluarga Pelajar, Kelantan-Mesir itu dirasmikan oleh anggota exco kerajaan negeri, Abdul Fatah Mahmood.

Tiga orang pemimpin telah diundang untuk menjayakan majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof.

Manakala wacana serta perasmian penutupnya disampaikan oleh anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seramai 1,082 orang pelajar Mesir Kelantan hadir pada majlis yang penuh bermakna buat mereka.

Turut berucap pada majlis itu, Pengerusi Persatuan Alumni Keluarga Pelajar Mesir, Ustaz Zulkifli Yusof.

Saman ekor: Kase di JPJ Wangsa Maju esok

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 28 Feb: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), menjemput semua mangsa saman ekor yang perlu memperbaharui lesen dan cukai jalan mereka untuk hadir ke Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju, esok.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau bersama barisan peguam Kase akan berada di sana sejam bermula jam 10 pagi bagi memberi khidmat nasihat kepada mereka yang mempunyai masalah disenarai hitam kerana enggan membayar saman ekor tertunggak yang tamat hari ini.

“Kita akan berada di sana esok juga untuk untuk melihat penyelarasan baru kadar kompaun kesalahan trafik yang berkuatkuasa 1 Mac, iaitu esok.

“Jadi kita seru kepada mereka yang ada masalah saman ekor tetapi perlu memperbaharui cukai jalan dan lesen esok, untuk buat pembaharuan tersebut di pejabat JPJ Wangsa Maju agar kami boleh membantu,” katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Esok akan berkuatkuasa kadar kompaun baru di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dikeluarkan JPJ, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ianya ekoran kabinet sebelum ini menyusun semula kesalahan lalu lintas daripada tiga kategori kepada empat kategori, iaitu mengikut kelas kenderaan, tahap keseriusan dan jenis kesalahan, nilai kompaun bertambah mengikut tempoh pembayaran kompaun dan kompaun berganda akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan berulang.

Mengikut penyelarasan baru itu, pengguna jalan raya yang gagal menjelaskan kadar kompaun dalam tempoh 15 hari akan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, seterusnya dinaikkan kepada RM300 sekiranya tidak dijelaskan dalam tempoh 30 hari.

Sementara pemandu yang gagal membayar saman dalam tempoh 60 hari pula akan diheret ke mahkamah.

Bagi pemandu yang menyumbang kepada kemalangan, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan perkhidmatan teksi, kadar kompaun maksimum sebanyak RM300 akan dikenakan dan ia tidak akan dikurangkan walaupun dijelaskan lebih awal.

Bangsa bukan penyelamat hingga liang kubur

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 28 Feb: Siapakah yang sanggup mengaku dirinya Umno dan Melayu sekiranya rakyat Perak dan Malaysia insaf dan sedar bahawa Umnolah sebenarnya pengkhianat kepada bangsa Melayu dan agama Islam.

Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan menteri besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir seperti yang disiarkan dalam Sinar Harian edisi Perak hari ini di muka hadapan sebagai berkata “DAP yang akan menggantikan PAS, bukan parti itu akan menggantikan Umno”.

“Saya merasa sangat terkejut dan hairan dengan kenyataan yang tidak berasas itu.

“Malah saya melihat bagaimana Zambry sudah kehabisan modal dengan mengeluarkan kenyataan yang lucu dan pelik itu,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut Zambry, ahli Umno tidak pernah malu untuk mengaku sebagai bangsa Melayu tetapi ada parti yang malu untuk mengaku mereka adalah bangsa Melayu.

“Siapakah yang sanggup mengaku dirinya Umno dan Melayu sekiranya rakyat Perak dan Malaysia insaf dan sedar bahawa Umnolah sebenarnya pengkhianat kepada bangsa Melayu dan agama Islam,” katanya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Tambahnya, tuduhan Zambry yang mengatakan PAS menghadapi kecelaruan pemikiran yang keterlaluan sehinggakan sanggup untuk tidak mengaku bangsa sendiri adalah tuduhan yang memperbodohkan dirinya sendiri.

Menurutnya, mana ada pemimpin PAS yang tidak mengaku dirinya Melayu, dan apalah lebihnya mengaku sebagai Melayu kerana bangsa bukan merupakan penyelamat sehingga ke liang kubur.

Di sudut lain, tanya beliau adakah Zambry sedar sebagai seorang Islam bahawa tidak ada ajaran memperjuangkan bangsa, apa lagi mempertahankan Umno yang mempergunakan perjuangan bangsa demi untuk meraih sokongan orang Melayu.

Jelasnya, dakwaan Zambry yang berkata Pakatan seolah-olah hanya tidur sebantal tetapi mimpinya berlainan adalah dakwaan usang yang menggambarkan ketakutan BN kepada kesepakatan kerjasama dalam Pakatan Rakyat yang lebih baik.

Malah, ujarnya yang juga Adun Titi Serong tawaran 100 hari yang dikemukakan dalam konvensyen itu merupakan hujah kuat bahawa PR sudah bersedia untuk menggantikan BN di Putrajaya.

Zambry yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri menyebut perkara itu semasa berucap kepada ahli Umno yang hadir pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini, semalam.

Pelabur paling ramai ke P.Pinang di Malaysia

Mohd Sabri Said
GEORGETOWN, 28 Feb: Pulau Pinang merupakan negeri yang paling ramai pelabur di Malaysia diikuti Selangor dan ini buktikan Kerajaan Pakatan Rakyat boleh membawa Malaysia ke arah kemakmuran, sejahtera dan bertrampilan.

Demikian kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu majlis dekat sini.

Ujarnya, apa yang diperlekehkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononya jika Pakatan Rakyat menguasai negara ini rakyat semakin mundur kebelakang sebab kejatuhan ekonomi tidak benar sama sekali.

Katanya lagi, kedatangan pelabur paling ramai itu sekaligus menafikan kenyataan Najib yang mempertikaikan buku jingga yang memaparkan 100 Pakatan Rakyat memerintah berbagai barangan akan diturun atau dikaji semula.

“Tengok apa yang dah kita amalkan menjadi tarikan pelabur yang ramai ke Pulau Pinang.  Selangor pula kedua semua itu bukti Pakatan Rakyat tahu memerintah, ” tegasnya ketika menyampaikan watikah perlantikan 291 orang Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) seluruh Pulau Pinang di tingkat 5, Komtar semalam.

Baru-baru ini Najib mengatakan pertumbuhan ekononi Malaysia mengembang kembali tanpa menyebut nama negeri berkenaan kerana mungkin memberi kesan pada pemerintahanya terutama dalam suasana pilihanraya kecil di Dewan Undangan (Dun) Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang.

Najib patut sedar kewibawaan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat kerana dapat menambahbaik kelemahan yang ketara ketika Barisan Nasional (BN) memerintah seperti rasuah, penyelewengan dan mementingkan kroni.

Di Pulau Pinang hasil penjimatan yang BN tidak pernah lakukan ialah Kerajaan Pakatan Rakyat dapat memberikan kembali wang RM100 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan atasi kemiskinan tegar,

Mulai tahun ini ujar Lim, kerajaan memperluaskan lagi bantuan kepada golongan ibu tunggal serta Orang Kurang Upaya (OKU) dan menaikan elaun JKKK dan setiausahanya.

Bukan itu sahaja elaun guru Kelas Fardhu Ain (KAFA), Tok Imam, Huffaz dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) juga diberikan.

“Dulu masa Umno dan BN perintah mereka menindas tidak membantu.  Kini rakyat lega kerana kerajaan lebih berhati rakyat, ” tambahnya yang juga Adun Air Putih, Balik Pulau.

Dasar Cekap, Akautabiliti dan Telus (C.A.T) katanya, memang berjaya dan berharap semua JKKK mainkan peranan menerangkan kepada keseluruhan rakyat agar mereka memahami hasil tindakan pembaharuan Kerajaan Pakatan yang memerintah.

CAT tambahnya, bukan sahaja menambah ekonomi dan menjimatkan wang rakyat malahan boleh menyakinkan rakyat jika maklumat dicambahkan kepada mereka.

“Saya mahu semua rakyat didedahkan hasil  amalkan dalam pemerintahan.  Peranan JKKK kena dilipat gandakan, ” jelasnya.

Kedah tanggung belajar pulang, wang poket RM500

Khairul Izwan
ALOR SETAR, 28 Feb: Kerajaan Negeri Kedah memberi khabar gembira kepada pelajar Mesir di Kedah apabila sanggup menanggung segala perbelanjaan balik pelajar ke Mesir di samping wang poket untuk setiap pelajar.

Menteri Besar Negeri Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan demikian dalam satu perjumpaan dengan pelajar- pelajar Mesir yang berasal dari Negeri Kedah semalam.

“Kita (kerajaan negeri Kedah) telah menyewa 3 buah kapal terbang Egypt Air untuk menghantar pelajar ke Mesir semula.

“Sebagai kerajaan, kita (kerajaan Kedah) rasa bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat Negeri Kedah.

“Kerajaan Kedah menghabiskan 2.5 juta ringgit dalam projek penghantaran kembali pelajar Kedah ke Mesir,” katanya dalam ucapan di depan pelajar Mesir di Kedah dan para waris hari ini.

Kerajaan Kedah, katanya, mempunyai perancangan rapi untuk rakyat Kedah untuk mencapai Kedah Sejahtera.

Walaubagaimanapun, pelajar tajaan MARA akan di tanggung sendiri oleh pihak MARA.

Ustaz Azizan juga mengumumkan setiap pelajar akan di beri duit poket 500 ringgit setiap orang serta pelajar akan di hantar terus menaiki kapal terbang dari KLIA ke Kaherah.

Penerbangan perama di jadualkan berlepas pada 5 Mac iaitu seramai kira-kira 220 orang pelajar dan penerbangan seterusnya sehingga 10 Mac.

Perjumpaan tersebut diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Alorsetar turut di hadiri exco Hal Agama dan Pelajaran Negeri Kedah, Datuk Taulan bin Rasul itu di anjurkan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.

Anwar: Islam sedunia bangkit tentang kezaliman

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 28 Feb: Para pimpinan negara Asia Tenggara diingatkan bahawa angin perubahan di dunia Islam terhadap kezaliman dan penindasan bakal melanda di kawasan ini sekiranya tiada reformasi yang sempurna terhadap sosio-ekonomi dan usaha dilakukan untuk mengukuhkan institusi demokrasi dan kebebasan.

Demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang  di dalam seminar Asian Renaissance ke 5 di Phnom Penh kelmarin.

Anwar yang juga bekas Timbalan Prdana Menteri berkata kuasa yang ada sekarang, hanya boleh berterusan sekiranya organ-organ negeri seperti polis, pasukan keselamatan dan tentera melaksanakan tugas mereka untuk menekan perbezaan pendapat rakyat.

Dengan mengambil contoh revolusi yang kini berlaku di Tunisia, Mesir, Yemen, Bahrain dan Libya, Anwar menyifatkan kejatuhan regim sehingga penukaran tampuk pemerintahan yang berlaku di negara-negara tersebut adalah akibat kegagalan organ-organ penting yang disebutkannya tadi berfungsi pada keadaan sepatutnya.

“Masalah yang kini melanda negara-negara Timur Tengah tidak banyak berbeza dengan kebanyakan tempat di dunia yang di bawah pemerintahan autokratik. Pengumpulan harta kekayaan oleh para elit dengan menindas rakyat, infrastruktur yang tidak mencukupi, sistem pendidikan usang, penjagaan kesihatan menyedihkan dan penurunan pendapatan merupakan masalah-masalah yang serupa yang sedang dialami oleh semua negara di bawah regim autokratik.

“Marginalisasi politik dengan segala implikasinya dan pemiskinan ekonomi, ini adalah bahan yang sempurna untuk gejolak politik.

“Rejim yang telah melewati tarikh jatuh tetapi terus melukis topeng keamanan, keselamatan dan bahkan kesejahteraan melalui penggunaan mesin propaganda rumit hanya menunda hisab terakhir mereka,” kata Anwar.

Indonesia terus bersinar

Anwar turut berkata kebangkitan rakyat di Timur Tengah boleh dijadikan sebagai peringatan kepada para pemimpin Asia Tenggara, sambil mengingatkan bahawa banyak undang-undang zalim yang melanggar kebebasan fundamental bersama-sama dengan kehancuran sistemik pemisahan persamaan kuasa telah diwujudkan bagi menghancurkan perlindungan fundamental yang dikuatkuasakan ketika pencapaian kemerdekaan daripada kuasa penjajah.

Menggunakan Indonesia sebagai contoh, di mana beliau menyifatkan sebagai satu contoh negara demokrasi tulen selepas transformasi politik, Anwar menggesa negara-negara Asia Tenggara untuk meniru jejak republik tersebut dalam menjamin kebebasan akhbar dan pilihanraya umum yang bebas.

“Indonesia, setelah mengalami pergolakan transformasi politik dan muncul sebagai sebuah bangsa baru sama sekali, masih tetap bersinar sebagai contoh dari demokrasi yang sebenarnya.

“Kebebasan akhbar masih hidup dan sihat, dan amalan pilihanraya umum yang bebas dan adil menyebabkan jiran-jirannya kelihatan seperti “upstarts” menyedihkan dalam perlumbaan untuk demokrasi,” kata Anwar.

“Memang itu bukan Utopia, tetapi perubahan fenomenal di bidang pemerintahan, penghakiman dan keunggulan pra-aturan undang-undang yang meletakkannya sebagai teladan demokrasi liberal yang baru lahir,” tambah Anwar.

Dalam sebuah pernyataan yang jelas merujuk pada situasi sosial di negara itu, Anwar berkata pemberdayaan satu kumpulan etnik dengan mengorbankan yang lain hanya akan menimbulkan benturan persaingan kepentingan yang pada akhirnya akan mengancam konsensus pengimbang penting dalam masyarakat majmuk.

“Konsensus ini memerlukan penyesuaian terhadap pertindihan tuntutan untuk hak-hak atau matlamat. Oleh itu, ia menjadi kewajipan bagi para ahli politik yang berkuasa atau pembangkang dengan melakukan tanggungjawab sendiri walaupun terpaksa mempertaruhkan populariti mereka.

“Oleh kerana itu, ia adalah percelaan berganda bagi para pemimpin dalam masyarakat multi-etnik yang mengawal organ-organ negara termasuk media massa untuk menyalakan api persaingan etnik dan permusuhan supaya mereka dapat tetap berkuasa,” kata Anwar, dalam sebuah penghinaan jelas terhadap Umno, yang kebelakangan ini telah terus memainkan isu perkaumana melalui lidah rasmi mereka, Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Anwar turut berkata selain keperluan untuk pemilihan umum yang bebas, adil dan telus, sesebuah negara turut memerlukan satu badan kehakiman yang adil yang berfungsi sebagai check and balance yang berkesan terhadap kuasa eksekutif dan perundangan.

“Kita tidak boleh menyatakan betapa pentingnya satu penghakiman yang bebas.  Sebuah penghakiman yang dikompromikan boleh dan akan mengambil negara ke ambang kehancuran politik. Ini juga akan menyebabkan kegagalan sistemik dalam mengikuti proses dan undang-undang,” tegas Anwar, yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran kehakiman dalam pertuduhan liwatnya.

Dalam ucapan tersebut, Anwar turut menangkis kaitan agama Islam dengan pengongkongan kebebasan dan demokrasi seperti yang diwar-warkan pemimpin Barat yang Islamophobia dengan menyatakan bahawa revolusi yang berlaku di Timur Tengah sudah cukup untuk membuktikan bahawa umat Islam akhirnya akan memilih kebebasan daripada kediktatoran jika diberi peluang.

“Dalam apa keadaan pun, ketakutan bahawa Islam akan merampas hak kebebasan dan demokrasi adalah tidak berasa.

“Oleh itu, ungkapan terbaru ini adalah kosong, dan semata-mata sebagai satu cara baru untuk mengalahkan hantu Islam, dalam pelbagai manifestasi dari Islamofobia,” ujar Anwar sambil menambah bahawa ketakutan kepada Islam masih lagi ada semenjak kejadian September 11.

Islamophobia

Anwar turut berkata bahawa pada zaman ini masalah Islamophobia tidak tertakluk pada Barat sahaja malah telah menular ke Timur.

“Kita ada dalam rekod seseorang yang sepatutnya sudah bersara di Asia Tenggara yang menyatakan pendapatnya tentang orang Islam tanpa memikirkan soal sensiviti.

“Kita pun mempunyai pemimpin Islam di kawasan ini yang seolah-olah paranoia tentang Ikhwanul Muslim sehingga tahap mengalahkan kata Mubarak dan golongan neo-kontra Amerika,” bidas Anwar yang jelas merujuk kepada Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kuan Yew di dalam buku terbarunya telah mencetuskan kontroversi apabila menyeru orang Islam Singapura untuk melonggarkan amalan Islam demi integrasi nasional, manakala Najib pula mengeluarkan kenyataan yang dilihat mengaitkan ulama dunia terkenal Yusuf al-Qaradawi dan Ikhwan Muslimin sebagai pengganas dalam satu laporan National Review.

“Kita telah melihat bermula daripada revolusi Tunisia, dan keseluruhan fasa kebangkitan Mesir dan sekarang Libya, Yemen dan tempat lain, seruan yang sama untuk menuntut kebebasan terhadap kezaliman dan penindasan.

“Tuntutan-tuntan rakyat tetap berkisar kepada pengurusan kerajaan yang baik, kebertanggungjawaban terhdap rasuah, pemberdayaan politik dan keadilan sosial,” tegas Anwar di penghujung ucapannya.