Zaki akhiri khidmat sebagai ketua hakim negara hari ini

Tepat jam 5.09 petang ini, Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi mengetip kad perakam waktu terakhir perkhidmatannya sebagai pegawai tertinggi Badan Kehakiman negara di Istana Kehakiman di Putrajaya. Beliau mencapai umur persaraan wajib 66 tahun Isnin ini.

zaki azmi chief justice installation event 291008 03Terdahulu, majlis perpisahan dan memotong kek sempena sambutan harijadi beliau turut dianjurkan oleh warga kerja Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Beliau yang diiringi isterinya Toh Puan Nik Sazlina Mohd Zain mengucapkan salam perpisahan kepada lebih 500 warga kerja pejabat itu termasuk hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

Menggantikan Zaki ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria, berkuatkuasa Isnin ini.

Dalam ucapannya, Zaki berterima kasih kepada semua warga kehakiman yang telah menyumbang kepada peningkatan reputasi badan kehakiman negara.

Dalam sebuah negara demokrasi, katanya, mahkamah merupakan organ kerajaan yang penting dan martabat sesebuah negara itu akan terjejas sekiranya mahkamahnya tidak berfungsi dengan baik.

“Pembaharuan-pembaharuan yang telah kita lakukan baru-baru ini telah meningkatkan martabat negara kita.

“Proses-proses, pembaharuan serta membaik pulih badan kehakiman kita adalah hasil usaha seluruh warga kehakiman negara…kejayaan ini adalah hasil usaha serta dedikasi seluruh warga badan kehakiman negara.

“Kenangan saya yang paling berharga adalah hadirin semua yang telah menyumbang dan berkhidmat kepada Badan Kehakiman Negara kita. Saya sangat terharu dengan sokongan semua pihak,” katanya.

Zaki turut menyarankan semua warga kehakiman terus memberikan komitmen kepada Ketua Hakim Negara yang baru.

“Saya berharap anda semua melihat kerja anda sebagai suatu amal kebaikan yang akan dibalas suatu hari nanti dan bukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran dalam bentuk material,” katanya.

Sambil menceritakan kenangan manis ketika bertugas sebagai Ketua Hakim Negara, Zaki berkata antaranya ialah “seronok duduk di Putrajaya yang tiada mat rempit bawa motor laju-laju”.

– Bernama

Leave a comment