2 ditahan bakar pusat cuci kereta

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki kelmarin berhubung satu kejadian menyimbah petrol ke sebuah rumah dan pusat mencuci kereta di Taman Sri Tebrau di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 pagi itu, pemilik premis yang membuat laporan polis mendakwa kebakaran itu dilakukan seorang jirannya bersama sekumpulan lelaki tidak dikenali.

Malah, kejadian itu turut mengakibatkan seorang pekerja di pusat cuci kereta berkenaan yang merupakan warga Bangladesh cedera parah kerana melecur dari paras dada ke bawah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kedua-dua lelaki berusia 40-an itu ditahan di sini kira-kira pukul 11 malam, bagaimanapun jiran kepada mangsa belum ditemui.

“Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan api manakala gerakan mengesan jiran mangsa masih giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Leave a comment