Harga gula kasar, halus kekal


Ismail (dua dari kiri) melawat kilang gula Malayan Sugar Manufacturing Co. Sdn. Bhd. di Bukit Mertajam semalam.


 

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan harga gula dikekalkan pada kadar RM1.45 sekilogram bagi gula kasar dan RM1.55 sekilogram bagi gula halus walaupun negara dilaporkan mengalami masalah bekalan gula.

Bagi mengatasi masalah gula, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengambil beberapa langkah dan tindakan termasuk menawarkan ganjaran tidak melebihi RM10,000 kepada pemberi maklumat mengenai kegiatan penyelewengan gula.

Menurut kenyataan KPDNKK semalam, kerajaan juga telah mengarahkan kilang-kilang pengeluar gula supaya tidak menjual gula kepada industri yang mengeksport produk itu untuk pasaran luar negara.

Aktiviti penguatkuasaan dan kawalan di sempadan negara juga diperketatkan bagi melarang eksport gula keluar dari Malaysia melalui jalan darat.

Selain itu, pemborong gula yang didapati menyelewengkan bekalan gula sehingga menimbulkan masalah kekurangan bahan itu di pasaran pula bakal berhadapan tindakan tegas termasuk lesen perniagaan mereka dibatalkan.

“Langkah lain adalah melakukan pembekuan pengeluaran lesen borong gula dan pembekuan penambahan kuantiti simpanan gula kepada syarikat-syarikat pemborong berkuat kuasa serta-merta,” kata kenyataan itu.

Leave a comment