Rakyat AS mahu boikot Britain?


GAMBAR fail menunjukkan kemusnahan yang berlaku akibat letupan pesawat Pan Am di Lockerbie, Scotland pada 21 Disember 1988.


 

LONDON – Perdana Menteri Britian, Gordon Brown semakin tertekan untuk mengeluarkan kenyataan setelah berdiam diri sejak seorang pengebom dari Libya yang terlibat dalam letupan pesawat Pan Am di Lockerbie dibebaskan pada Khamis lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Kemarahan kini bukan sahaja di Amerika Syarikat (AS) tetapi penduduk Britian semakin berang dengan sikap berdiam diri selepas warga Libya itu, Abdel Baset Ali Mohmed Al Megrahi dibebaskan.

Abdel Baset dihukum penjara seumur hidup kerana terlibat meletupkan pesawat Pan Am dari AS yang menyebabkan 259 orang yang menaiki pesawat itu terbunuh manakala 11 penduduk awam di Lockerbie, Sacotland turut maut pada 21 Disember 1988.

SEORANG anggota polis mengawal penunjuk perasaan yang membantah pembebasan pengebom pesawat Pan Am di Edinburgh, Scotland semalam.


 

Menteri Keadilan Scotland pada hari pembebasan Abdel Baset menyatakan ia dibuat atas dasar belas kasihan kerana Abdel Baset mengalami kanser prostat dan dijangka mempunyai tempoh tiga bulan untuk hidup.

Berikutan pembebasan itu, penduduk di AS kini digesa untuk memboikot produk Britain dan eksport ke Scotland.

Sementara itu, pihak pembangkang Britain mendesak semua rekod pertemuan peringkat menteri dan pegawai Libya berhubung rundingan pembebasan Abdel Baset didedahkan.

Sebarang usaha AS untuk memboikot produk Britain boleh menyebabkan kerugian bernilai berbilion-bilion dolar.

Pelancong AS berbelanja sehingga £2.2 bilion (RM12.76 bilion) setahun di Britain. – Agensi

Leave a comment