Kumpulan bantah fitnah hadir sumpah laknat

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 29 April: Majlis sumpah laknat oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah berhubung video seks di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat hari ini akan berdepan pihak yang menbantah tindakan itu.

Difahamkan kumpulan peguam syarie akan bertemu Eskey bagi mendesak beliau membatalkan niat bersumpah itu kerana ianya salah menurut hukum qazaf.

Selain itu mereka juga turut akan mengadakan sesi penerangan berhubung perkara itu menurut pandangan syarak kepada orang ramai yang datang menunaikan solat.

Selain itu, penyokong Pakatan Rakyat juga dijangka akan berada di sana bagi mengadakan solat hajat ‘menolak fitnah jahat’ berhubung video seks yang mengaitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Solat hajat tersebut akan diadakan bahagian belakang dewan masjid, sejurus selesai solat Jumaat.

Eskey dijadual melakukan sumpah laknat bagi mendakwa Anwar adalah pelaku dalam video seks yang didedahkannya.

Beliau bagaimanapun belum dapat dipastikan sama ada dua lagi rakan trio ‘Datuk T’ itu iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) Datuk Shuib Lazim akan menyertainya.

Media juga hari ini melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberi kebenaran kepada Eskay untuk melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul di sini hari ini.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali dilaporkan berkata, tiada sebarang halangan untuk ahli perniagaan itu untuk berbuat demikian meskipun masjid berkenaan adalah di bawah pentadbiran agensi agama itu.

Bagaimanapun tegas beliau, Jawi tidak mempunyai kaitan dengan sebarang tindakan dan urusan membabitkan upacara sumpah laknat mubahalah tersebut.

Bagusnya jika Najib umum royalti hak rakyat T’ganu

Harakahdaily
KUALA TERENGGANU, 29 April:Alangkah bagusnya pada akhir sesi lawatan kerja Datuk Seri Mohd Najib Razak ke negeri ini mengumumkan bahawa royalti adalah hak rakyat Terengganu dan rakyat seharusnya menikmati hak mereka dengan sebaik mungkin.Sehubungan itu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri ke Terengganu, esok.

Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah percaya kedatangan Najib adalah bukti komitmen dan kesungguhan beliau dalam melaksanakan apa yang dikatakan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Katanya, kesungguhan yang ditunjukkan tersebut bukan sekadar datang menjenguk, tetapi katanya mahu mendengar suara akar umbi rakyat di Terengganu, khususnya di Pekan Batu Enam, di Manir, Kuala Terengganu dan golongan muda melalui pertemuan dengan rakan Facebook yang dijadualkan pada petang hari tersebut.

Untuk itu, katanya Mampat mewakili suara rakyat Terengganu bagi semua golongan mengambil kesempatan di atas keprihatinan Najib mendengar rintihan rakyat Terengganu untuk mengembalikan semula ‘hak dan maruah’ mereka yang telah dinafikan selama 11 tahun.

“Kembalikan royalti kami kerana ianya adalah lambang ‘hak dan maruah’ kami yang telah dinodai’

“Dalam kesempatan ini juga, Mampat ingin mengingatkan rakyat Terengganu umumnya dan kepimpinan Terengganu pada hari ini tentang janji-janji yang pernah disebutkan Najib berkenaan royalti minyak Terengganu,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Untuk makluman perdana menteri, katanya pada 13 Disember 2010 lalu, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan bahawa Mac 2011 adalah tarikh yang diberikan kerajaan pusat untuk membayar kembali royalti sepenuhnya setelah perundingan dilaksanakan olehnya.

Namun, ujarnya sehingga hari ini tiada sebarang khabar berita mengenainya walaupun bulan Mei 2011 menjelang tiba.

“Ini adalah janji kali keempat yang pernah diberikan. Rakyat Terengganu tidak akan lupa janji-janji yang telah dibuat oleh pimpinan Pusat untuk mengembalikan royalti kami,” katanya.

Beliau turut mengimbau kembali jalinan janji yang pernah diberikan kepada rakyat Terengganu sebelum ini.

Katanya, pada 14 Jun 2008, Perdana Menteri pada masa itu iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) mengumumkan bahawa royalti akan dikembalikan kepada rakyat Terengganu di mana pengumuman itu dibuat di Hotel Primula.

Tambahnya, rakyat Terengganu tidak pernah lupa bagaimana Ahmad Said dan rakyat Terengganu ditipu oleh Najib apabila menerima replika cek pada 13 Disember 2008 berjumlah RM408.6 juta yang dikatakan bayaran royalti minyak separuh kedua 2008.

Dalam majlis berkenaan, katanya Najib menyebut seolah-olah selepas ini semua wang royalti akan dimasukkan terus ke akaun kerajaan negeri.

Bagaimanapun, ujarnya hakikat sebenar tidak berlaku seperti yang dinyatakan.

Selain itu, katanya pada 13 Disember 2010 lalu, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, Ahmad telah mengumumkan bahawa Mac 2011 adalah tarikh yang diberikan kerajaan pusat untuk membayar kembali royalti sepenuhnya setelah perundingan dilaksanakan oleh pihak menteri besar itu.

“Atas kesedaran yang sama, Mampat menyeru semua pihak sama ada kerajaan negeri, mahupun rakyat Terengganu untuk terus bertanyakan hak rakyat Terengganu ini yang seolah-olah sengaja cuba dilupakan,” katanya.

Beliau menambah, jika peluang sebaik kedatangan Najib itu tidak digunakan, Mampat percaya ruang lain yang ada sangatlah terbatas, hendak diharapkan respons pada laman Facebook Najib, sudah tentu ia seumpama mimpi sahaja.

Untuk makluman, jelasnya sehingga Mac 2011 yang lalu, genap sudah 11 tahun Kerajaan Pusat menafikan hak rakyat Terengganu menikmati royalti Minyak.

“Rakyat Terengganu sudah terlalu letih menunggu buah yang tidak gugur. Jangan nanti sehingga rakyat terpaksa menjolok buah yang tidak gugur tersebut dengan cara yang lebih keras.

“Cukup-cukuplah penghinaan yang kami terima, cukup-cukuplah janji-janji kosong yang kami terima, cukup-cukuplah mencuri hak rakyat Terengganu,” katanya.

Isu nasi lemak untuk lindungi wabak negara

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 April: PAS sangat prihatin terhadap isu yang berlaku menyentuh aspek pendidikan dan pembangunan sumber manusia di negara ini termasuklah aspek pemakanan di sekolah.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) berkata, PAS tidak mahu isu pemakanan menenggelamkan isu besar seperti isu akhlak di kalangan pelajar dan belia, isu PPSMI, isu diskriminasi politik termasuk ke atas guru, rasuah, jenayah, kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barang, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain yang belum diselesaikan.

“Apakah isu pemakanan ini serius atau hanya untuk menabiri dan melindungi isu-isu besar yang sedang mewabak dalam negara?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau merujuk kepada keputusan Kerajaan untuk menyekat penjualan nasi lemak di sekolah seperti yang disiarkan oleh akhbar-akhbar harian bersama dengan sejumlah senarai makanan dan minuman yang lain.

Menurutnya, isu pemakanan untuk pelajar-pelajar bukanlah isu yang sangat besar berbanding dengan isu akhlak dan gejala sosial yang menjadi wabak di kalangan pelajar dan belia dalam negara hari ini.

Beliau menambah, sesuatu isu sepatutnya diselesaikan secara berstrategik dalam erti kata ianya hendaklah mengambil kira kemampuan anggota masyarakat untuk mengikuti aturan dan peraturan yang hendak dikenakan.

“Apakah isu sebenar di kalangan pelajar dewasa ini?” tanya beliau lagi.

Menurutnya lagi, diandaikan isu pemakanan merupakan isu besar, maka ia mestilah dikaji secara teliti di mana spek-aspek kebudayaan dan cara hidup khususnya yang membabitkan aspek pemakanan dalam masyarakat.

Katanya, budaya pemakanan ini tidak boleh ditukar secara drastik dengan suatu penguatkuasaan undang-undang kerana aspek perundangan tidak boleh mengatasi aspek kemanusiaan.

Beliau berkata, menukar menu makanan di sekolah secara drastik membabitkan makanan tradisi seperti nasi lemak walaupun nampaknya mudah tetapi akan menekan kehidupan dan kebiasaan yang belum tentu mendatangkan mudarat, sedangkan memaksa mereka meninggalkannya lebih menyusahkan dan membebankan banyak pihak kerana makanan itu adalah mengenyangkan dan mudah serta menjadi adat dan kebiasaan yang sudah bersebati dalam kehidupan masyarakat.

“Mana satu yang lebih mudarat membiarkan menu nasi lemak seperti biasa ataupun membebankan masyarakat dengan peraturan-peraturan yang baru?

“Apa bezanya nasi lemak dengan nasi  minyak, mee kuning, nasi goreng, nasi dagang, roti canai dan seumpamanya?” soalnya lagi.

Oleh kerana itu, ujarnya maka pendidikan kepada anggota masyarakat untuk mengamalkan budaya baru yang difikirkan baik adalah lebih penting daripada memaksa meraka meninggalkan kebiasaan yang tidak terbukti kemudaratannya.

Dalam isu ini, katanya aspek-aspek kemampuan ibu bapa dalam semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar, kamampuan pengusaha-pengusaha kantin dan asrama dan kemampuan sekolah untuk melaksanakan peraturan dan kemampuan pelajar untuk mematuhi adalah isu besar yang memerlukan masa dan proses mendidik untuk memampukan mereka mematuhi peraturan-peraturan yang hendak dijalankan.

Sebagai perbandingan, katanya lagi isu pelajar-pelajar merokok, walaupun ia tidak dibenarkan dan diharamkan, namun peraturan-peraturan yang ada tidak dapat menyekat mereka daripada merokok bahkan masalah menjadi bertambah besar kerana makin ramai pelajar yang merokok.

Beliau berkata isu gengsterisme, pencabulan, pemakaian yang tidak menutupi aurat dan terlalu ketat pergaulan bebas, seks rambang, dadah, arak, ponteng sekolah, rempit, mencuri, ragut, vandalisme tidak menghormati guru dan menderhakai ibu bapa adalah isu-isu yang sangat menyayat hati dan mesti ditangani segera.

Pada hari ini, ujarnya terlalu banyak isu yang sedang berlaku  menyentuh bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia di negara ini yang kalau tidak ditangani akan memberi kesan buruk kepada masa depan negara dan rakyat.

“Apabila pihak Kerajaan mahu memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) adakah ia bermakna isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPMSI) telah pun diselesaikan sesuai dengan tuntutan Perlembagaan Negara dan kepentingan nasional serta menjamin hak umat Islam di negara ini?” soalnya.

Media lucah: Apa peranan KDN

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 April: PAS kesal terhadap media perdana yang dikuasai oleh Umno BN yang tidak beretika dan bermoral kerana menyiarkan gambar lucah di dalam akhbar mereka.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, ini satu tindakan yang tidak bermoral dan melanggar etika kewartawanan dan tatasusila agama demi mencapai cita-cita politik mereka.

Pada mereka, katanya soal moral dan etika tidak diperhitungkan lagi.

“Apakah negara kita sudah hilang nilai-nilai ketimuran sehingga sanggup mengaibkan individu yang belum lagi dibuktikan kesalahannya?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, sudah dua kali media perdana menyiarkan gambar lucah berhubung dengan video seks yang dituduh pelakunya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PAS ingin mengingatkan kerja ini ialah kerja yang menempah dosa dan akan mendapat pembalasan daripada Allah,” tegasnya.

Katanya, sejak mutakhir ini media perdana tidak lagi segan silu untuk menyiarkan berita yang tidak layak disiarkan lebih-lebih lagi keputusan belum lagi diputuskan oleh mahkamah.

Begitu juga, ujarnya  berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian bertajuk “Lelaki Y ialah Anwar”.

Ini, katanya merujuk kepada kes yang sedang dibicarakan mengenai kes liwat Anwar sedangkan lelaki Y yang dilaporkan ialah hujah pendakwa, yang belum lagi ditentukan kesahihannya.

“Kenapa hujah balas pembela tidak disiarkan sama di tajuk muka depan?” tanya beliau lagi.

Ini, katanya sudah tentu ada agenda jahat yang tersirat.

PAS, tambahnya hairan ke mana pergi peranan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang hanya pandai memantau penerbitan Pakatan Rakyat sahaja.

“Apakah semua laporan yang disiarkan mengenai pemimpin Pakatan Rakyat walaupun fitnah dan menyalahi akta penerbitan dan mesin cetak tidak boleh diambil tindakan.

“Apakah akta ini hanya untuk menjaga parti Umno BN sahaja?” soalnya lagi.

PMIUM gesa kerajaan bertegas permainan hina Islam

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 April: Satu permainan komputer yang digilai remaja negara ini dikhuatiri boleh menjejaskan akidah pemainnya kerana ia mengandungi elemen menghina Islam apabila memaparkan kalimah Allah dan kaabah.

Pemain permainan itu (Devil May Cry 3) didakyah kononnya mereka berjihad untuk menentang syaitan kerana dikehendaki menewaskan makhluk itu untuk menembusi 12 pintu sebelum ‘penghulu syaitan’ menanti mereka di pintu terakhir iaitu pintu kaabah.

Elemen penghinaan ke atas Islam jelas tertera apabila kalimah Allah dipaparkan di setiap pintu yang dikawal syaitan termasuklah di pintu kaabah.

Sehubungan itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Rohayu Rusli menggesa tindakan tegas harus diambil dengan serius oleh pihak kerajaan dan pihak berwajib.

Katanya, difahamkan permintaan tinggi terhadap permainan itu menyebabkan pihak pengeluar kini sudah mengeluarkan empat edisi bagi permainan berkenaan sejak mula memasarkannya pertengahan tahun lalu.

“Jadi, saya mewakili mahasiswa mahasiswi Islam UM menggesa pihak berwajib meneliti dengan lebih terperinci ‘keadaan’ permainan ini sebelum dipasarkan kepada pelanggan terutamanya remaja.

“Permainan komputer itu satu penghinaan melampau kepada umat Islam kerana kaabah adalah kiblat dan tempat suci, begitu juga dengan kalimah Allah yang tidak boleh dijadikan bahan permainan sesuka hati,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan permainan seperti itu boleh menggugat keimanan dan akidah seseorang terutama apabila ‘mempermainkan’ agama Islam.

Tambahnya, tindakan dan sebaran harus dibuat secepat mungkin bagi menyedarkan semua sebelum terlambat.

“Saya rasa isu ini sudah lama keluar, mungkin ramai lagi yang tidak tahu tentang permainan ini,” ujarnya.

Sumpah laknat mesti ikut prinsip syarak

Harakahdaily
PETALING JAYA, 29 April: Parti Keadilan Rakyat (PKR) ingin menjelaskan bahawa isu yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak tentang keperluan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat sumpah laknat (mubahalah) hendaklah diselesaikan mengikut prinsip dan kaedah syarak.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) berkata, cara yang telah disarankan tersebut adalah tidak menepati dengan kaedah syarak yang sebenarnya.

Menurutnya, Sheikh Yusuf al-Qardhawi, seorang ilmuan ternama dunia yang berautoriti dalam bidang syari’ah menjelaskan bahawa orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti (4 orang saksi yang adil).

Ini, jelasnya adalah ketetapan Allah yang tidak boleh dikompromikan dan orang yang tertuduh tidak dituntut untuk bersumpah kerana pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan.

“Jika semua kes jenayah mahu diselesaikan dengan amalan bersumpah, maka tidaklah perlu diwujudkan mahkamah, hakim ataupun polis,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau menambah, semua pelaku jenayah boleh sewenang-wenangnya melepaskan diri mereka dengan hanya melakukan sumpah.

Akibatnya, kata beliau sistem kehidupan negara akan menjadi porak peranda.

“Namun begitu, inilah yang dilakukan oleh mereka yang tergolong dari kalangan munafik,” ujarnya.

Demikianlah gambaran al-Qur’an: “Mereka (orang-orang munafik) menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. “(Al-Munafiqun: 2).

Tambahnya, sifat orang-orang munafik ini memang pandai berpura-pura, berlakon dan bijak berkata-kata.

Namun begitu, ujarnya mereka sentiasa dihimpit rasa cemas dan gelabah serta bersifat angkuh dan sombong.

Ini, katanya jelas dinyatakan Allah di dalam ayatnya yang bermaksud: “Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (batang buruk hampas dan kosong). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)? (4) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.”(Al-Munafiqun: 3-5).

Jelasna, isu yang ditimbulkan sebenarnya adalah sebahagian daripada gerakan fitnah yang dilakukan oleh musuh-musuh politik Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 12 tahun yang lalu.

“Gerakan fitnah yang semakin menggila sekarang ini adalah manifestasi dari mentaliti tertekan dan kecemasan melampau lantaran sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat sekarang ini,” ujarnya.