Awie anak Sarawak pertama sandang Panglima 1 Divisyen Tentera Darat

KUCHING: Mejar Jeneral Datuk Awie Suboh merupakan anak kelahiran Sarawak yang pertama diberi kepercayaan menyandang jawatan Panglima 1 Divisyen Tentera Darat ke-24 berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kasap yang dilantik menjawat jawatan Ketua Staf Markas Tentera Darat di Kuala Lumpur.

“Ini merupakan satu pengiktirafan yang diberikan pihak atasan kepada anak tempatan sebagai Panglima 1 Divisyen.

“Dulu pun saya pernah bertugas di sini sebagai Panglima 9 Briged selama tujuh tahun dan saya rasa tidak ada masalah dengan orang tempatan dan pihak atasan di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas di Kem Penrissen di sini, semalam.

Hadir sama, Panglima 3 Briged Brigadier Jeneral Datuk Jeyabalan S., Panglima 5 Briged Brigadier Jeneral Masrani Paiman dan Panglima 9 Briged Brigadier Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah.

Justeru, beliau akan berusaha meningkatkan lagi prestasi di kalangan anggota tentera dari semua aspek.

“Yang bagus akan dikekalkan dan yang perlu diperbaiki kita akan laksanakan mengikut aspek tertentu,” katanya.

Awie yang berusia 56 tahun, berasal dari Sri Aman memulakan kerjayanya dalam Angkatan Tentera Malaysia pada 1 Disember 1972 sebagai Pegawai Kadet.

Beliau ditauliahkan ke dalam Rejimen Renjer Diraja pada 15 Mei 1975 dan bertugas dalam Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja sebagai Ketua Platun di Sibu.

Mulai 17 November 2004 hingga 31 Ogos 2006, beliau dilantik sebagai Panglima 9 Briged di Sibu dan seterusnya dilantik sebagai Panglima 21 GGK mulai 1 September 2006 di Markas 21 GGK, Kem Iskandar, Mersing, Johor.

Sementara itu, Mazelan dalam ucapannya berkata beliau amat gembira sepanjang setahun lapan bulan berkhidmat sebagai Panglima 1 Divisyen.

“Saya berasa amat gembira selama saya bertugas di Sarawak dan Sabah kerana persekitarannya yang unik dengan pelbagai etnik.

“Saya turut berpuas hati dengan tahap prestasi anggota-anggota 1 Divisyen baik dari segi disiplin, sukan, pentadbiran, latihan dan sebagainya,” katanya.

Justeru, beliau menyeru anggota-anggota tentera 1 Divisyen agar sentiasa komited dan berdisiplin semasa melaksanakan tugas untuk memastikan tentera darat negara ini sentiasa berada pada tahap prestasi terbaik.

Malah katanya, selama beliau bertugas sebagai pemimpin dalam 1 Divisyen, beliau bukan sahaja menjaga kepentingan anggotanya tetapi juga mengambil berat tentang keluarga mereka.

“Sebagai pemimpin, saya melabelkan diri saya sebagai ‘bapa’ kepada anggota-anggota 1 Divisyen dengan sentiasa menjaga dan memimpin mereka untuk terus maju.

“Selain itu, saya juga amat mementingkan keluarga mereka untuk mengeratkan silaturahim di kalangan kami kerana kami dalam 1 Divisyen diibaratkan sebagai satu keluarga,” katanya ketika ditemui.

Beliau akan bertugas sebagai Ketua Staf Markas Tentera Darat mulai 10 Ogos depan di Kuala Lumpur.

5 Responses

  1. sy bangga kerana mempunyai anak sarawak yg berkaum dayak menyandang jawatan panglima… ATM sentiasa di hadapan.

    • dia bukan dayak la..dia melayu sarawak..

      • Maklumat tepat mengenai Mejar Jeneral Dato’ Awie Bin Suboh ialah beliau anak jati Sarawak, berbangsa Melayu dan berasal dari Kabong, Sarawak. Mendapat pendidikan awal di SRK Abang leman Kabong dan bersekolah menengah di SMK Kalaka Roban. Harap Maklum

  2. dan sekarang telah menjadi Leftenan General Dato’Hj. Awie Bin Suboh.. Tahniah Dato’….

  3. syukur, dato sekarang berkhidmat di mana?

Leave a comment