Galas by-election set for Nov 4, nomination on Oct 26 -video

Perkembangan saman Petronas

SPR didakwa bantu BN minimumkan pengundi


Dzulfikar Mashoor
SHAH ALAM, 6 Okt: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cuba membantu BN meminimumkan penyertaan pengundi luar dalam Pilihan Raya Kecil Dun Galas.

Dakwaan itu katanya, munasabah memandangkan SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan membuang undi adalah pada hari bekerja iaitu penamaan calon pada Selasa, 26 Oktober manakala mengundi pada Khamis, 4 November depan.

“Pihak Barisan Nasional ingin menentukan bahawa orang-orang Kelantan di perantauan tidak dapat balik,” ujarnya petang tadi di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam, di sini.

Menurut beliau, sepatutnya SPR menentukan hari pembuangan undi pada hari cuti, iaitu Sabtu.

“Sekiranya SPR ini suatu badan yang bebas, yang inginkan prinsip-prinsip demokrasi itu diamalkan serta dihayati, paling kurang hari mengundi diadakan pada hari Sabtu,” ujarnya.

Ditanya tentang rancangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah jentera BN dan calon, beliau berkata rancangan itu menyerlahkan bahawa Umno tidak mempunyai kekuatan jentera untuk merampas kerusi Dun tersebut.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa pemimpin Umno dan BN sedang menghadapi fobia sekiranya rakyat Kelantan mempersoal janji politik dalam pilihan raya kecil Dun Manek Urai sebelum ini.

Beliau berkata, sekiranya Umno gah seperti yang diwar-warkan oleh Muhyiddin, sudah tentu jentera BN tidak bergantung sepenuhnya pada kekuatan peribadi Razaleigh, Ahli Parlimen Gua Musang semata-mata.

“Mereka cakap sahaja besar, kalau benar-benar kuat mereka tidak bergantung pada Tengku yang mereka sendiri pernah ketepikan waktu veteran itu bercadang bertanding presiden (Umno),” ujarnya.

Sementara itu, beliau menyifatkan Datuk Wira Abu Seman Yusop lebih layak menjadi Menteri Dalam Negeri ekoran keberanian timbalan menteri tersebut bersemuka dengan keluarga arwah Aminulrasyid Amzah semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, katanya seakan tidak berani untuk mengambil tanggungjawab apabila polis menuduh arwah sebagai suspek penjenayah.

“Surat jawapan semalam bukan dari Hishammuddin walaupun surat saya sebelum ini menuntut menteri ini bersemuka dengan keluarga mangsa.

Kalau dia (Hishammuddin) tak berani untuk bertemu rakyat sendiri, saya ingat Datuk Wira lebih layaklah sebab dia berani,” ujarnya.

Sidang meja bulat `wanita pertama’ 10 Okt


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Okt: Solidariti Wanita Muda Malaysia (SWiMM) akan menganjurkan sidang meja bulat khas membincangkan isu perlabelan “wanita pertama” terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor.

Sidang bertajuk “Kewajaran Rosmah Mansor Sebagai Wanita Pertama Malaysia” itu akan diadakan pada 10 Oktober dengan menampilkan pakar perlembagaan Prof. Dr Aziz Bari yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai panelis.

Tiga lagi panelis bersama adalah wakil Ahli Parlimen wanita Pakatan Rakyat dan dua wakil dari NGO wanita negara.

SWiMM dianggotai beberapa pertubuhan wanita, manakala anjuran sidang meja bulat tersebut adalah dengan kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat.

Menurut Ketua Koordinator program tersebut Aiman Atirah A-Jundi, penganjuran program tersebut bagi membincangkan kewajaran serta kesan penggunaan label “wanita pertama” isteri perdana menteri dari sudut perlembagaan, belanjawan dan adab susila rakyat negara ini.

“Kita bangkitkan isu ini bukan sebab Rosmah Mansor, tetapi kerana ianya satu pelanggaran kepada perlembagaan kita yang dah ada. Kita mengamalkan konsep raja perlembagaan bukan republik.

“Artilkel 32 (2) menyatakan bahawa pemimpin utama negara adalah Yang Di Pertuan Agung. Tidak ada ungkapan wanita pertama dalam perlembagaan, yang ada hanya Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, tempat program akan diumumkan kemudian dan akan diadakan di sekitar Lembah Klang.

Selain implikasi kepada sejarah negara, perbincangan meja bulat itu juga jelasnya akan menumpukan kesan terhadap bajet negara menanggung kos dan perbelanjaan program “wanita pertama”.

“PM ke luar negara pun akan disentuh dalam bajet, dan tentunya sebarang program “wanita pertama” akan melibatkan peruntukan besar sedangkan ianya tidak termaktub dalam peruntukan bajet negara.

“Dan terbaru dia pergi ke Belgium atas sifat dia sebagai wanita pertama, adakah wang yang dibelanjakan itu dikira sebagai kos melepas belanjawan negara di mana rakyat lebih memerlukan?” soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa SWiMM akan mengadakan sidang media membuat bantahan rasmi ke atas perlabelan Rosmah sebagai wanita pertama.

Mereka berpendapat, tindakan Rosmah termasuk pihak yang mempromosikannya sebagai “wanita pertama” adalah derhaka dan secara tidak langsung membelakangi konsep raja perlembagaan dan Permaisuri Agung.

“Apa yang Rosmah Mansor buat ini adalah bukan konsensus dari rakyat dan tidak pun dibincangkan dan ini melanggari tata susila adab bangsa kita.

“Ini satu pelanggaran dan penghinaan yang didiamkan, dan atas rasa hormat kita kepada yang Permaisuri Agong, kita bangkit mempertahankan baginda.

Sebelum ini banyak pihak membantah penganjuran sidang kemuncak First Ladies oleh Rosmah yang dijadual berlangsung 11 hingga 13 Oktober ini yang disifatkan sebagai ‘tidak sopan’ dan membelakangkan kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

Teguran sama sebelum ini juga pernah dibuat selepas iklan berwarna dua halaman penuh memaparkan Rosmah di akhbar New York Times pada April lalu.

Ianya sebagai ucapan tahniah kepada isteri perdana menteri itu dengan tajuk ‘Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia’ kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

Semua petugas PAS, Pakatan dikerah ke Galas


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Sept: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua ahli dan petugas PAS, serta seluruh petugas Pakatan Rakyat dengan kepakaran yang berbagai supaya dapat turun ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan.

Ini, kata Presiden PAS itu, untuk sama-sama bertugas bagi mempertahankan kemenangan kerusi PAS di Dun Galas yang diperolehi menerusi Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Katanya, berikutan kekosongan kerusi N.45 Galas, PAS telah pun menggerakkan seluruh jentera pilihan raya PAS di peringkat pusat, negeri, kawasan dan Dun untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil berkenaan yang akan diadakan pada 4 November ini.

Dalam Pilihan Raya Kecil itu nanti, tambahnya PAS akan meletakkan calon yang berwibawa dan selayaknya untuk memikul amanah rakyat di Dun Galas, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Chek Hashim sepanjang tempoh beliau berdampingan dengan rakyat di Dun berkenaan.

“Bertugaslah dengan penuh semangat dan dedikasi dengan menggunakan segala bentuk ilmu kemahiran berpilihan raya, dan janganlah kita terperangkap dengan provokasi dan segala bentuk taktik buruk serta tidak bermoral yang akan dilakukan oleh lawan kita nanti.

“Sebagaimana pilihan raya kecil yang lepas, kita akan sekali lagi berhadapan dengan segala bentuk mainan media cetak dan televisyen yang berupa laporan berat sebelah, ugutan, cercaan dan rasuah janji pilihan raya terhadap pengundi,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang percaya bahawa semua petugas akan dapat menghadapi tindakan tidak bermoral parti lawan nanti dengan menyusun strategi dan gerak kerja yang kemas, serta sekali-kali tidak gentar dengan sebarang ugutan yang menjadi mainan parti lawan sejak puluhan tahun.

“Insya Allah, kita akan mempertahankan kerusi di DUN Galas nanti,” tegasnya.

Manek Urai jadi sandaran ke Galas


Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Siapapun yang menjadi pengarah dan calon Pilihan Raya Kecil Galas, Kelantan – sama ada Tengku Razaleigh Hamzah atau bukan, bukan menjadi persoalan kepada PAS.

(Pilihan Raya Kecil tersebut akan diadakan kerana kematian Adun Galas dari PAS, Chek Hashim Sulaima baru-baru ini).

Yang penting di sini ialah persiapan jentera pilihan rayanya untuk menghadapi pilihan raya kecil tersebut. Tentu saja keputusan menang tipis calon PAS dalam pilihan raya kecil Manek Urai dulu mengalahkan calon BN dirasakan amat pahit dan masih menjadi ingatan kepada ramai orang, tentunya di kalangan pemimpin PAS sendiri.

Oleh itu pimpinan PAS peringkat negeri, malah pusat, tentunya menjadikan peristiwa itu sebagai ingatan dan tindakan penting supaya keputusan seperti itu tidak berulang lagi. Adakah benar pengundi muda tidak balik mengundi, atau mereka yang ada di Manik Urai tidak mengundi PAS, atau adakan pengundi ‘tua’ tidak mengundi PAS dalam pilihan raya tersebut?

Kita yakin, PAS Kelantan akan membaiki prestasinya dalam Pilihan Raya Kecil Galas itu dengan membuat pendekatan yang perlu, justru mood dan persepsi pengundi akan berubah mengikut keadaan dan masa.

Bagaimanapun, dari segi persiapan pilihan raya, PAS Kelantan dalam sejarahnya sejak dulu, sentiasa bersiap sedia. Kelantanlah negeri yang dikira amat maju ke  depan mendaftar pengundi baru, memantau pergerakan pengundi lama, membaca strategi terkini dan sebagainya dan sentiasa berada di tengah-tengah rakyat.

Kekuatan PAS Kelantan ini juga ada pada PAS Kedah dan Terengganu, sementara negeri-negeri lain juga nampaknya sedang memperkukuh jentera masing-masing.

Sementara itu dengan pengumuman Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa PAS Pusat telah bersetuju melantik Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ab. Halim Ab. Rahman sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS bagi PRK Galas dianggap sangat tepat sekali oleh pemerhati politik, berdasarkan pengalamannya selama ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Dun Galas pada 2008 dulu, Chek Hashim Sulaima telah menang majoriti 646 mengalahkan calon BN Mohamad Saufi Deraman, sementara dalam Pilihan Raya umum 2004, calon BN, Mohd Saufi Deraman mengalahkan calon PAS Cik Hashim Sulaima juga dengan majoriti 1729.

Dengan dua keputusan berbeza bagi dua pilihan raya Dun Galas ini tentunya sangat menarik perhatian dan banyak soalan mengapa terjadi demikian. Kali ini tentu saja PAS akan mempertahankan habis-habisan Dun Galas ini.

Dun ini mempunyai pengundi 65.4 peratus Melayu, 22.3 peratus Cina, 1.8 pengundi India, sementara lain-lain 10.5 peratus. Dalam hubungan ini Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata, peningkatan sokongan terhadap calon Umno semasa pilihan raya kecil Manek Urai tahun pada 2008 bukan disebabkan apa-apa modul tertentu yang unik kepada pilihan raya itu saja.

Dalam mana-mana pilihan raya juga sama, katanya, mereka hanya ada satu modul iaitu gunakan sumber kewangan dan menabur janji-janji, termasuk janji membina satu jambatan baru di Manek Urai.

Jambatan dua lorong dianggarkan bernilai RM7 hingga RM10 juta itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kempen pilihan raya kecil tersebut, bagi menggantikan satu jambatan merentasi sungai sedia ada di kawasan itu.

“Kita akan dedahkan balik janji-janji ini di Galas,” kata Idris lagi kepada Malaysiakini.

Dalam perkembanhan lain, Dewan Muslimat PAS Kelantan diberitakan telah bersedia untuk ‘menggalas’ tanggungjawab di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas bagi menghadapi pilihan raya kecil nanti.

Ketuanya, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, berkata Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan yang sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya, bukan setakat pilihan raya kecil Dun Galas, sebaliknya Pilihan Raya Umum ke-13 nanti akan memastikan calon PAS memenangi Dun berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Halwa Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), dekat sini baru-baru ini.

Program berkenaan dan pelancaran tabung pilihan raya umum dan Dun Galas dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya lagi, Dewan Muslimat PAS seluruh Kelantan akan memastikan calon PAS mengekalkan kemenangannya pada pilihan raya kecil akan datang.

Apakah isu besar yang akan ditimbulkan dalam sepanjang kempen pilihan raya kecil Galas itu nanti? Tetapi sudah tentu baik PAS mahupun BN akan bekerja kerja keras untuk memenangi pilihan raya kecil ini.

Isu tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Kelantan tentu menjadi sebahagian dari isu penting yang akan berbangkit. Di samping itu isu pembangunan Kelantan setelah 20 tahun memerintah yang dilihat begitu rancak, membuktikan bahawa Islam tidak menolak pembangunan dan Kerajaan Kelantan pimpinan PAS telah membuktikannya.

Di samping itu Kerajaan Kelantan juga telah berjaya memperkukuh hubungan antara kaum dan agama seperti yang terpancar selama ini di mana pelbagai kaum dan agama hidup dengan sangat harmonis.

Majlis Hari Raya telah dikunjungi oleh pelbagai kaum dan agama yang menghantar isyarat rakyat Kelantan telah menolak perkauman. Sementara itu, dengan berakhirnya majlis-majlis Hari Raya, termasuk yang diadakan oleh PAS,  Ijtimak Tarbawi yang penting sudah berakhir dengan jayanya, maka kini tiba masanya semua wagra PAS meneruskan tugas masing-masing dan tentunya tugas utama PAS sekarang untuk menghadapi pilihan kaya kecil Galas.

Pilihan raya kecil Dun tersebut akan menjadi tumpuan pelbagai pihak. Namun ramai berpendapat bahawa kempen isu perkauman jika ditimbulkan akan ditolak oleh rakyat Kelantan seperti masa-masa lalu, justru rakyat Kelantan sangat matang berpolitik dan pemikiran mereka sangat terbuka, rasional dan tidak perkauman.

Galas: SPR pilih tarikh ikut kehendak Umno?


M Faqih & Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 6 Okt: Ada ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu peratusan keluar mengundi lebih ramai, namun dalam masa yang sama hari mengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas diadakan pada hari bekerja.

Ia seumpama kata orang cakap tidak serupa bikin. Malah ada pihak menggambarkan SPR mempunyai tuan yang lebih berkuasa iaitu pemimpin Umno.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamad Fadzli Hassan (kiri) berkata, SPR sepatutnya mengambil kira banyak situasi dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas termasuk persidangan Dun Kelantan.

“Ketika itu persidangan Dun Kelantan sedang berlangsung dan perasmiannya akan disempurnakan Al-Sultan Kelantan pada 1 November.

“Persidangan Dun diadakan bermula 1 hingga 8 November. Saya hairan mengapa SPR tidak mengambil kira perkara tersebut. Tentunya program besar seperti itu ada dalam pengetahuan mereka,” katanya di sini.

Hari ini SPR menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dun Galas, Gua Musang diadakan pada hari Khamis, 4 November depan, manakala penamaan calon pada hari Selasa, 26 Oktober ini.

Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar di Putrajaya.

Pada pilihan raya tersebut SPR menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 dan digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010.

Jumlah pengundi seramai 11,553 orang, di mana 27 daripadanya merupakan pengundi pos.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, SPR sepatutnya mempamerkan sikap tidak berpihak dalam menentukan tarikh pilihan raya kecil.

Bagaimanapun katanya, PAS tetap akan meneruskan cabaran bagi mempertahankan Dun tersebut dengan menggerakkan seluruh jentera PAS dengan dibantu Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

”Kita tahu Umno akan menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan Malaysia bagi berdepan dengan PAS pada pilihan raya tersebut,” katanya.

Satu sumber pula memberitahu mesyuarat penyelarasan jabatan-jabatan kerajaan pusat bagi membantu kempen calon BN telah diadakan termasuk membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna.

Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamed berkata, tindakan SPR menetapkan hari pengundian pada hari bekerja tentunya akan menyukarkan orang ramai keluar mengundi.

”Saya pun hairan sebelum ini SPR berkempen supaya pengundi keluar mengundi, namun dalam masa yang sama ditetapkan hari mengundi di Galas pada hari Khamis,” ujarnya.

Menurutnya keadaan itu tentunya sedikit sebanyak menyukarkan pengundi keluar mengundi lebih-lebih lagi Dun Galas meliputi kawasan yang luas.

Naib Yang Dipertua PAS Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi (kanan) berkata, SPR tidak sensitif terhadap persidangan Dun Kelantan yang juga berlangsung pada hari tersebut.

Katanya, tarikh persidangan Dun sudah lama ditetapkan dan SPR mustahil tidak mengetahui perkara itu kalau merujuk terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

Namun kata beliau apa yang jelas SPR lebih mengambil kira perkembangan yang berlaku dalam Umno dalam menentukan segala tindakan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, tarikh penamaan calon dan hari mengundi di Galas bertindan dengan tarikh sambutan ulangtahun ke-20 kerajaan PAS Kelantan.

”Program itu merupakan satu program besar di peringkat negeri. Selain itu ia bertembung dengan tarikh persidangan Dun yang bermula 1 November ini,” katanya di Kota Darulnaim.

Menurutnya SPR hanya mengambil kira persidangan Agung Umno, sedangkan ia adalah urusan parti.

”Nampak sangatlah SPR tidak peka terhadap program kerajaan di Kelantan. Sepatutnya mereka lebih peka hal sebegini,” kata beliau.

Galas: Sokongan bukan Islam makin meningkat


Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 6 Okt: PAS yakin sokongan masyarakat bukan Islam khususnya Cina di Dun Galas terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat hasil perubahan 20 tahun dilakukan oleh kerajaan Kelantan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata hasil dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Kelantan, masalah Islamofobia tidak wujud lagi di negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada media ketika di Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di Markas 8 Briged Pengkalan Chepa, tengah hari tadi sebagai mengulas tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil Dun Galas yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.

Kehadirannya bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, disambut oleh Penglima 8 Briged, Brigedier Jeneral, Abdul Rahim Abdul Mutalib.

Katanya lagi, tiada halangan untuk PAS menghadapinya memandangkan sokongan pelbagai pihak termasuk golongan itu semakin kuat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Tambahnya, PAS telah mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS untuk golongan bukan muslim atas permintaan mereka sendiri yang menunjukkan sokongan semakin meningkat.

Katanya, fahaman daripada teori  Islamofobia oleh kalangan masyarakat itu kepada ke arah yang lebih baik.

“Perkembangan ini satu kemenangan kepada perjuangan Islam, bahkan tidak ada fahaman Islam fobia di Kelantan ini.

“Untuk itu, PAS bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas yang akan berlangsung 4 November ini,” ujarnya.

Beliau juga turut mendedahkan calon yang bakal bertanding juga telah dikenal pasti.

Mengulas kemungkinan Tengku Razaleigh Hamzah bakal bertanding, beliau berkata, PAS tidak menentang Umno atas sifat peribadi.

“Kita lawan Umno ni bukan kita lawan batang tubuh, tetapi lawan fikrah dia, lawan teori dia, politik lain, agama lain, ni salah, bahaya,” ujarnya.

Beliau menegaskan, PAS tidak akan beri kemenangan percuma kepada Ku Li sekiranya menjadi calon walaupun beliau menyokong tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan.

Menurutnya, tuntutan royalti dan menentang calon dalam pilihan raya adalah perkara yang berbeza.

Tegasnya, PAS menentang perjuangan atau fikrah yang salah dan bukannya batang tubuh individu.

“Jangankan Umno yang diperjuangkan oleh orang Melayu, andai kata Umno ni diperjuangkan oleh orang Arab sekalipun PAS tetap akan menentangnya,” ujarnya lagi.

Katanya, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, sebelum ini tidak pernah mencalonkan dirinya untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya di negeri ini.

“Sepatutnya sewaktu menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang lebih layak jadi calon, tetapi dia (Umno) tak buat. Mungkin juga Ku Li tak mahu, kalau dia mahupun siapa boleh sekat sebab dia pengerusi,” ujarnya.

Kerana itu, tambahnya bukan taraf beliau (Ku Li) untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, PAS menghormati keputusan Ku Li untuk bertanding dan akan berlawan sebagaimana biasa.

Pilihan raya kecil Galas 4 November


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Okt: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 4 November sebagai hari mengundi manakala 26 Oktober tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengumumkan perkara itu selepas SPR mengadakan mesyuarat mengenai PRK Dun Galas di sini, pagi ini.

Kerusi Dun Galas kosong berikutan kematian wakilnya dari PAS, Chek Hashim Sulaiman yang yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang 21 September lepas.

Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman. Beliau mendapat 4,399 undi manakala Saufi pula 3,753 undi.

Dalam pilihan raya umum 2004, Che Hashim kalah kepada Saufi dengan 1729 undi.

Sementara itu, dalam mesyuaratnya baru-baru ini, PAS telah melantik Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai pengarah pilihan raya ini. Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilantik sebagai Penasihat manakala Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun sebagai Ketua Operasinya.

Di pihak Barisan Nasional (BN) pula, Ukno melantik Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ( Ku Li) sebagai pengarah pilihan raya, satu pendekatan luar biasa yang tidak pernah dibuat oleh BN sebelum ini. Ini kerana, menjadi kebiasaan bagi BN melantik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai pengarah.

Muhyidin pula dalam satu kenyataannya turut mencadangkan Ku Li sebagai calon BN dalam pilihan raya ini. Bagaimanapun, sehingga kini Ku Li sendiri tidak mengesahkan samada beliau menerima kedua-dua tawaran tersebut. Beliau hanya akan membuat pengumuman 9 Oktober ini di KLIA sebaik sahaja sampai dari luar negara.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Mansor berkata, Ku Li telah menerima tawaran sebagai pengarah pilihan raya itu.

CCTV: Selangor baik pulih kerja teruk Umno


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 6 Okt: PAS mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melangkah ke depan untuk mengatasi gejala yang tidak bermoral dengan cadangan yang proaktif untuk meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) bagi merakam semua kegiatan dan pengunjung ke pusat hiburan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, tindakan yang diambil oleh Kerajaan Selangor adalah lebih baik daripada negeri yang dipimpin oleh Umno.

Katanya, Kerajaan Selangor pada hari ini sedang membaik pulih kerosakan yang teruk hasil daripada kerja buat Umno selama ini.

Menurutnya, Umno menyuburkan kegiatan maksiat kerana ia sebagai satu senjata yang berkesan supaya rakyat diulit dengan mimpi dan tidak mempedulikan apa pemimpin BN hendak sapu harta rakyat.

“Keadaan ini amat jauh dengan program yang dibuat oleh Kerajaan Pakatan Rakyat pada hari ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurut  Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, ada juga cadangan untuk membuat reka bentuk semula tempat-tempat itu agar lebih terbuka dan bakal dibekalkan dengan kamera litar tertutup (CCTV).

Bagi Idris, walaupun ini bukanlah merupakan tindakan terawal dan terakhir, namun ia satu permulaan yang baik untuk mencegah kegiatan yang tidak bermoral di negeri ini, yang sudah berkarat biru hasil peninggalan kerajaan BN  Umno selama 51 tahun.

Katanya, langkah yang diambil oleh Kerajaan Selangor satu lagi usaha yang bersepadu dan harmoni untuk merealisasikan harapan rakyat di negeri Selangor  selepas 8 Mac 2008.

Selain daripada usaha terbaru meletakkan CCTV, kerajaan Selangor telah berusaha membentuk jati diri rakyat dengan program pembangunan Insan Negeri Selngor (SPIES), kelas pengajian ilmu disemarakkan, masjid  dan surau diaktifkan.

Beliau menambah, dengan penuh kesedaran, bukan senang hendak membina kembali tamadun manusia yang sudah rosak dalam sekelip mata, namun usaha mesti dibuat sebagai satu tanggungjawab kepada rakyat.

Justeru, ujarnya semua perkara ini akan dihitung di hadapan Allah SWT.

Tambahnya, pemimpin Umno di Selangor yang gila talak untuk meraih sokongan supaya rakyat benci dengan kerajaan Pakatan Rakyat, memfitnah kononnya Selangor membiarkan kegiatan maksiat berleluasa.

Hakikatnya, kata beliau untuk menutup kerja jahat mereka selama ini yang membiarkan kegitan tidak bermoral dibuka, sebaliknya surau ditutup dan ulamak diburu macam pelarian tanpa dokumen.

Katanya, kalau pemimpin Umno ikhlas untuk memerangi maksiat di Selangor, mereka mesti mengarahkan kuasa pusat seperti polis, imigresen, kastam, sedangkan kerajaan negeri hanya mempunyai kuasa yang terhad, namun berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki keadaan.

Menurutnya lagi, sama juga seperti isu kecurian pasir di Selangor yang sudah berlaku sejak berzaman, kuasa yang dimiliki oleh pusat tidak bertindak, sehingga tindakan Tan Sri Khalid mencadangkan supaya pegawai SPRM ditempatkan di pejabat KSSB.

“Sekarang isu  pasir sudah senyap bimbang takut tertangkap sesama sendiri.  Kita mengharapkan dengan adanya CCTV dapat juga rakyat tahu siapakah pengunjung tetap dan berpencen ke tempat itu,” katanya lagi.