India tetap mahu wakil rakyat PAS di Galas


Nazri Abdullah
GUA MUSANG, 20 Okt: Kejayaan Allahyarham Chek Hashim Sulaima menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di Dun Galas, memberikan imej sangat positif kepada PAS secara keseluruhannya.

Sikapnya yang bertanggungjawab, suka turun padang, menyelami denyut nadi rakyat membuatkan semua kaum di Dun itu percaya bahawa wakil PAS lebih boleh diharap dari BN.

Seorang wakil masyarakat India, Raman a/l Palam, 58, (gambar) turut mengakui Allahyarham Chek Hashim berjaya menukar paradigma masyarakat India yang selama ini menyokong bulat-bulat Umno BN.

Menurutnya, biarpun baru dua tahun, PAS melalui allahyarham menerajui Galas, sikap Chek Hashim yang ‘buat kerja bukan cakap kosong’ sangat disenangi hampir 200 masyarakat india di sini.

“PAS punya YB ni banyak tolong sama kita, bagi bantuan pada orang tua, ibu tunggal semua dia bagi.

“Umno dulu dia macam ni. Lepas datang tengok, mesyuarat, dia kata dia akan buat, lepas tu tak ada buat. Tengok kita pun tak ada.

“YB PAS ni sekali sahaja saya undi, dia dah tolong,” katanya yang kini senang bekerja sendiri.

Tambahnya lagi, untuk bertemu Allahyarham Chek Hashim juga tidak banyak protokol mahupun birokrasi.

Sesiapa sahaja masyarakat di sini katanya boleh menghubungi beliau pada bila-bila masa untuk menceritakan masalah.

” Satu hari saya call sama dia, bagitahu kita orang India mahu buat sembahyang.

“Dia terus tolong kita, dia bagi khemah dan kerusi untuk kita.

“Kita memang sangat senang sama dia,” katanya menceritakan pengalaman berurusan dengan Allahyarham Chek Hashim.

Oleh sebab itu jelasnya lagi, pemergian allahyarham sangat dirasai masyarakat Galas termasuk kaum India.

Berdepan Pilihan Raya Kecil Galas 4 November ini, beliau berkata undi masyarakat India tetap kepada calon PAS.

Menurutnya, hanya PAS mampu menyelami permasalahan kaum mereka dengan baik, serta menghormati mereka sama seperti kaum-kaum lain di sini.

“Kita mahu PAS jadi YB kita. Kita mesti tolong PAS. PAS dah banyak tolong sama kita,” jelasnya.

Chek Hashim Sulaima meniggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang 21 September lalu akibat kanser usus.

Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, manakala 26 Oktober hari penamaan calon.

Secara tradisi, kerusi Dun tersebut adalah milik BN, namun berjaya dirampas PAS pada tsunami politik PRU ke-12 lalu.

* Siri ketiga akan mendekati orang kuat di belakang Allahyarham Chek Hashim Sulaima, selama beliau sakit.

Militan Chechen serang Parlimen


BEBERAPA anggota keselamatan mengawal bangunan Parlimen di Grozny, Chechnya semalam.


 

GROZNY, Rusia – Seramai empat orang militan Chechen menyerbu bangunan Parlimen Chechnya pada awal pagi semalam. Mereka menahan tebusan, menembak mati dua orang polis dan seorang orang awam sebelum empat pejuang tersebut dibunuh oleh anggota-anggota pihak berkuasa.

Peristiwa penuh dramatik itu nyata memberi tamparan hebat kepada Rusia yang sebelum ini mendakwa Chechnya sudah kembali stabil selepas kejatuhan Soviet Union.

Para pegawai memberitahu semua militan itu terbunuh selepas menawan bangunan Parlimen selama sejam.

Dua orang daripada mereka ditembak mati manakala bakinya membunuh diri dengan meletupkan diri dengan bom.

“Kami terdengar tembakan di halaman bangunan. Kami tahu mereka cuba menjadikan kami sebagai tebusan. Kami bagaimanapun berjaya melarikan diri ke tingkat tiga dan bersembunyi di sana sehingga semuanya berakhir,” kata jurucakap Parlimen Chechen, Zelim Yakhikhanov.

Pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov memberitahu agensi berita Interfax bahawa pihak keselamatan Chechen melakukan operasi selama 20 minit untuk membunuh militan dan membebaskan ahli Parlimen serta pekerja bangunan terbabit.

Kejadian itu juga menyebabkan 17 yang lain cedera.

Militan-militan itu menuju ke dalam bangunan Parlimen dengan menggunakan sebuah kereta dan berjaya melepasi kawalan keselamatan dengan mengikut sebuah kereta yang dipandu oleh seorang ahli Parlimen.

Speaker Dukuvakha Abdurakhmanov terpaksa dikeluarkan daripada bangunan Parlimen dengan menaiki sebuah kenderaan bersenjata dan beliau tidak cedera.

Menteri Dalam Negeri Rusia yang kebetulan dalam lawatan ke Grozny, Rashid Nurgaliyev menganggap operasi pasukan keselamatan untuk membebaskan ahli Parlimen sebagai berjaya selain mendakwa Chechnya adalah stabil dan selamat. – AFP

100 tingkat beza dengan 100 keluarga


http://dragsuperstar.blogspot.com
Najib dengan angkuh mengatakan kerajaan akan membina Menara Warisan yang bernilai RM 5 Billion. Menara yang kononnya akan menjadi kembar kepada KLCC. Menara yang dikatakan akan menjadi tarikan pelancong.

Tapi pernahkah Najib memikirkan nasib keluarga – keluarga miskin yang berada di negeri – negeri yang bernaung di bawah bendera Malaysia ini. Pernahkah Najib melawat negeri – negeri yang masih punyai kemiskinan tegar di negara ini. Najib tidak pernah merasai kesusahan orang kampung terpaksa menoreh getah dan membuat bermacam – macam kerja untuk menyara anak bini mereka.

5 Billion jika digunakan secara telus dan jujur, sudah pasti ramai keluarga – keluarga yang susah dapat manfaat tersebut. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung yang masih punyai jalan merah. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung tidak punyai signal syarikat telekomunikasi seperti Maxis dan lain – lain. Jangan nafikan. Ini adalah fakta yang boleh kita perolehi jika kita rajin merantau di negeri – negeri yang berada dalam Malaysia ini. Saya orang Semenanjung boleh melihat kemiskinan tegar tersebut. Bagaimana pula dengan mereka yang berada di Sabah dan Sarawak.

Apa salahnya 5 Billion itu disalurkan kepada makanan ruji. Kebanyakkan rakyat Malaysia bekerja sebagai pekerja sektor swasta. Masih ramai diantara mereka jika adanya kenaikan harga gaji, sudah pasti teramat sedikit. Sedangkan harga barang semakin naik menggila. Harga makanan semakin naik. Poket kami semakin kering. Jika benar Belanjawan ini untuk rakyat, salurkan 5 Billion itu kepada makanan ruji. Ini bukan mental subsidi, tapi sebuah kerajaan yang baik adalah sebuah kerajaan yang memikirkan masalah rakyat. Subsidi jika kena pada tempatnya mampu melahirkan rakyat yang sihat dan tidak kebuluran. Bagi mereka yang sudah kaya – raya pasti akan menganggap subsidi makanan mentaliti yang kuno. Tapi cuba teropong ke bawah, lihatlah orang kampung yang masih ada lagi yang makan makanan yang tidak sihat. Kerana apa? Kerana makanan yang sihat tidak mampu mereka beli kerananya semua sudah mahal.

5 Billion jika disalurkan kepada kos perubatan sudah pasti ianya menyenangkan hati rakyat. Hanya ini mampu membuatkan mereka merasa selesa. Hanya ini mampu membuatkan mereka yakin bahawa kerajaan ini sememangnya mahu melihat rakyatnya sihat. Perbanyakan klinik kesihatan desa. Hanya ini cara mereka mendapat rawatan yang kualiti. Tingkat servis atau perkhidmatan di klinik – klinik desa agar mereka yang sedang sakit demam atau sebagainya tidak menunggu lama. Ini sepatutnya dilakukan oleh kerajaan.

5 Billion jika disalurkan kepada bangunan 100 tingkat hanyalah pembaziran nyata. Jika dibuat pada ketika ekonomi kita sedang gagah dan kuat tidak mengapa. Dalam waktu sekarang, disaat masih ramai lagi yang menagih bantuan kepada 5 Billion itu tidak disalurkan kepada mereka. Kita orang bandar jangan angkuh. Sila lihat apa yang terjadi kepada saudara – mara kita yang berada di kampung. Baik yang Melayu, Cina, India, Iban dan lain – lain.

5 Billion jika disalurkan kepada 100 orang keluarga yang susah. Sudah pasti nilainya lebih bermakna daripada bangunan 100 tingkat. Bangunan yang boleh dibina kemudian hari. Yang penting adalah rakyat. Rakyat yang menjadi aset penting kepada negara. Tanpa rakyat hilanglah Malaysia. Tanpa rakyat siapalah Rosmah?

Malu jika sebuah kerajaan negeri mampu memberi pelbagai bantuan. Kerajaan pusat sepatutnya mampu buat lebih daripada itu.

Buat rakyat Malaysia yang punya otak dan akal. Berfikirlah dengan baik. Kita sebagai rakyat Malaysia semakin terdesak. Kita semakin kurang duitnya dalam poket kita. Apa yang perlu kita buat. Ubah sebelum parah!!

Membangun Bersama Islam: Kelantan menerajui perubahan

Wan Nik Wan Yussof dan Mazlan Jusoh
Siri 2Sesungguhnya, berkat usaha gigih dan komitmen tinggi pemimpin PAS dan Tok Guru Nik Aziz sepanjang berhadapan kekalahan sejak 1978 telah membuahkan  hasil. Rakyat mula memberi perhatian kepada apa yang disampaikan oleh PAS.  Sebahagian timbul kesedaran untuk bersama perjuangan Islam yang dibawa PAS. Tok Guru Nik Aziz dan beberapa ulama’ serta pemimpin PAS sering diundang menyampai kuliah dan ceramah ke segenap Dun dan Parlimen di Kelantan. Sehinggalah PAS mendapat sokongan padu golongan rakyat semasa pilihan raya umum 1990.  PAS mencapai kemenangan mutlak bersama-sama dengan Angkatan Perpaduan Ummah. Mandat daripada kemenangan mutlak itu, menjadi kekuatan bagi parti PAS menerapkan dasar peruangannya di dalam pentadbiran negeri. Justeru dasar Membangun Bersama Islam dijadikan pakaian rasmi di dalam mentadbir kerajaan negeri. Inti pati kepada dasar pentadbiran ini adalah amar maaruf nahi munkar yang berpaksikan ketakwaan kepada Allah. Oleh itu, rekod kemenangan PAS dan kejayaan memerintah Negeri Kelantan penuh berliku, dan liku-liku itulah yang telah mencorak senario politik rakyat Kelantan sehingga dua dekad ini rakyat kekal memberi mandat kepada PAS.

Dua dekad Membangun Bersama Islam: 1990–2010

Pada 21 Oktober PAS setelah dua dekad di bawah kepemimpinan ulama’ didapati Kelantan yang dipacu oleh asas-asas keagamaan terus maju ke hadapan.  Sejak 20 tahun lalu, perubahan ketara boleh dilihat, biar pun Umno masih mendakwa Negeri Kelantan dalam kemunduran, miskin dan tidak membangun. Namun, mata memandang sedia menjadi saksi bila mana susuk pembangunan berlaku di setiap pelosok negeri. Malah penyaksian itu turut merakamkan selama dua dekad ini, Negeri Kelantan menerajui perubahan dan mendahului di dalam beberapa aspek pembangunan.

Kerajaan BN tinggal hutang

Namun, di sebalik liku-liku itu ramai yang tidak tahu hakikat kemenangan dan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri. Misalnya, tatkala kemenangan berlaku kerajaan PAS yang mengambil alih tampuk pentadbiran turut mewarisi hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan BN terdahulu berjumlah RM760 juta. Hutang tersebut menjadi beban kepada rakyat dan kerajaan negeri untuk dilunaskan. Sehingga 2006 hutang tersebut mengecil kepada RM635 juta. Sehingga kini, beban hutang itu terus dibayar.

Apa pun, berkat pentadbiran negeri yang berteraskan Islam, keberkatan dan rezeki itu tetap disanadarkan kepada ketentuan Allah SWT. Meskipun beban hutang tertunggak sebanyak itu, ia tidak mematikan ikhtiar untuk menambahkan punca hasil baru. Sejak Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman (semasa menjawat Timbalan Menteri Besar) dan kini ahli Exco, Dato’ Husam Musa sebagai perancang kewangan, ia dilihat berjaya menguruskan kewangan negeri bersama-sama Pegawai Kewangan telah melaksanakan tadbir urus terbaik. Tunggakan cukai dan kutipan hasil dapat dipertingkatkan, di samping seni pengurusan kewangan yang berhemat terus dihayati. Hasilnya upaya kewangan negeri mampu membiayai semua peningkatan kos pentadbiran ekoran kenaikan harga minyak. Malah setiap kali pihak Kerajaan Pusat mengumumkan pembayaran bonus, maka tiadalah ketinggalan pihak Menteri Besar, Tok Guru Nik Aziz turut mengumumkan pembayaran bonus kepada semua pegawai dan kakitangan awam negeri.

Berdasarkan realiti kewangan sedemikian, ia telah dibuktikan oleh kajian Abd. Rahim Anuar dan Azizah Mohd Yusof  dari Universiti Utara Malaysia (2001) bahawa kesan pelaksanaan Membangun Bersama Islam terhadap hasil Negeri didapati telah memberikan kesan positif kepada hasil Negeri––hasil Negeri meningkat.

Kerajaan Pusat kontra federalisme

Konsep federalisme membelah kerajaan di Malaysia kepada dua entiti kuasa iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Pembahagian itu ditentukan berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Apa pun dalam konteks amalan serta kesannya kepada keutuhan Kerajaan Negeri Kelantan, didapati Kerajaan Pusat sedia melaksanakan tindakan-tindakan kontra dengan hukum federalsime yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Paling ketara tindakan itu adalah ketidakpatuhan amalan kewangan dan menafikan kuasa-kuasa Kerajaan Negeri mengurus projek yang disalurkan oleh kementerian di bawah Kerajaan Pusat. Ia menyimpang daripada amalan good governance dalam prinsip birokrasi yang demokratik!

Berpandukan perlembagaan tersebut Kerajaan Negeri diberi kuasa berkaitan hal ehwal agama, tanah di samping pertanian dan perhutanan. Kuasa pusat pula lebih dominan merangkumi hubungan luar, pertahanan, keselamatan, pentadbiran, keadilan, kewangan, perdagangan, perhubungan, pengangkutan dan banyak lagi. Manakala bagi perkara-perkara yang tidak dinyatakan dalam senarai di atas diletak di bawah Senarai Bersama. Kuasanya meliputi kebajikan masyarakat, biasiswa, perlindungan hidupan liar, kebudayaan, sukan, perumahan dan perlembagaan persekutuan.

Bagaimanapun dalam amalan rule of law (berperlembagaan) kerajaan pusat melakukan tindakan over rule. Contohnya kewujudan Putrajaya di Prang Besar, Selangor tanpa mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja dan Dewan Undangan Negeri Selangor. Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusof (1995) menyifatkan tindakan tersebut sebagai quasi-federal, iaitu tidak menepati kehendak federalisme.

Sebenarnya bukan sekadar kes Prang Besar yang mencerminkan tindakan over rule kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap negeri, malah banyak lagi kes lain. Antaranya turut melibatkan hubungan Pusat dengan Kelantan. Contoh yang berada di hadapan kita sekarang iaitu pencabulan perjanjian penyerahan hak cari gali petroleum Kelantan kepada Petronas pada 1975 yang jelas tidak mematuhi Akta Pembangunan Petroleum.  Kerajaan Pusat telah mengkhianati perjanjian setelah tidak membayar bayaran wang tunai (royalti) hasil cari gali itu kepada kerajaan Kelantan.

Lihat afidavit Tun Abdul Rahman Yakub dalam kes kerajaan Terengganu lawan Petronas dan kerajaan Malaysia pada 2001. Kerajaan Pusat secara terang-terangan telah melakukan over rule.

Namun, anehnya beberapa pemimpin Pusat dari Kelantan (pemimpin parti Umno) seperti Dato’ Seri Mustapa Mohamed dan Dato’ Dr Awang Adek Hussin menafi berkali-kali perairan negeri Kelantan ada menghasilkan minyak. Mereka menegak hujah seumpama menegak benang basah, dengan menukar hak royalti kepada wang ihsan. Lalu mendakwa wang ihsan diberi atas nasihat Peguam Negara.

Biar pun banyak kemucup politik melekat di kaki, Kelantan tetap melangkah jauh ke hadapan. Malangnya ketika langkah semakin deras, masih ada lagi pemimpin Umno menganggap PAS gagal mentadbir Kelantan sepanjang 20 tahun ini.

Imbas sejenak tahun 1990

Menjelang pilihan raya umum ke-8, Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) berjaya dibentuk. Kemudian PAS telah menjalin kerjasama dengan Angkatan. Angkatan pula mengandungi kerjasama tiga parti, iaitu Semangat 46, Berjasa dan Hamim. Semuanya adalah akibat pergolakan dalaman Umno pada 1987 menjadi detik permulaan sehingga lahirnya Semangat 46. Pertembungan antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh merebut jawatan presiden Umno ketika itu membawa Umno yang ditubuh pada 1946 diharamkan Mahkamah Tinggi. Dr Mahathir kemudiannya menghidupkan Umno Baru, manakala Tengku Razaleigh menubuh Semangat 46. Ini bermakna Umno yang ditubuh Dato’ Onn Jaffar pada 1946 sudah tidak wujud lagi. Umno yang ada hari ini ialah Umno Baru dipelopori Dr Mahathir.

Hasil kerjasama erat PAS bersama Angkatan, menyaksikan pilihan raya umum 21 Oktober 1990, kekalahan teruk BN dan terpaksa meninggalkan pejabat pentadbiran yang dirampas melalui MAGERAN pada 1978. Ketika itu PAS bertanding di 24 Dun dan enam parlimen, Semangat 46 bertanding 13 Dun serta tujuh kerusi parlimen. Manakala Berjasa dan Hamim masing-masing bertanding di satu kerusi Dun.

Maka pada tanggal 21 Oktober 1990 mencatatkan sejarah baru di Malaysia, apabila Umno gagal memenangi sebarang kerusi di Kelantan. Ia suatu sejarah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara. Angka keramat dengan agregat 39-0 (Dun) dan 13-0 (parlimen) menjadi saksi penerimaan terhadap PAS dan penolakan Umno oleh rakyat ketika itu. Bermula dari detik 1990 itu, kerajaan BN bertunjangkan parti Umno yang selama 12 tahun 7 bulan berkuasa di Kelantan akhirnya roboh. Dua hari selepas 21 Oktober, majlis angkat sumpah pembentukan kerajaan Angkatan diadakan. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (Dun Semut Api) sebagai Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (Dun Banggol) dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar I dan Rozali Isohak (Dun Dabong) dari parti Semangat 46 sebagai Timbalan Menteri Besar II. Di ikuti dengan saf ahli majlis mesyuarat kerajaan (Exco), iaitu tiga Adun dari PAS––Ustaz Yahya Othman (Dun Banggol Judah), Ustaz Idris Ahmad (Dun Tawang) dan Dato’ Halim Mohamad (Dun Bunut Payong), dari parti Semangat 46 pula Zianon Abdin Ali (Dun Panglima Bayu) dan Daud Jaafar (Dun Jelawat) dan Dato’ Wan Hashim Wan Ahmad (Dun Padang Garong) dari parti Berjasa turut dilantik sebagai Exco.

Adun Semangat 46 keluar parti

Biar pun rumah tangga Angkatan utuh, namun cabaran dan mehnah politik dan pentadbiran tidak dapat dielak. Semangat 46 mulai dilanda masalah dalaman apabila dua Adunnya, Nordin Salleh (Sungai Pinang) dan Wan Mohamad Najib Wan Mohamad (Limbongan) melompat parti. Kedua-dua Adun terbabit mendapat sokongan Setiausaha Perhubungan Semangat 46, Kassim Mohamad dan Ketua Penerangan, Yaakub Mohamad bagi menentang kepemimpinan Tengku Razaleigh.

Ekoran tindakan mereka, persidangan Dun pada 25 April 1991 telah meluluskan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri bagi menggugurkan mana-mana Adun yang melompat parti.

Pada 3 Julai 1991 Speaker Dun mengisytiharkan kedua-dua kerusi terbabit kosong kerana melanggar perlembagaan negeri. Ekoran itu pada 24 Ogos 1991 pilihan raya kecil diadakan di Sungai Pinang dan Limbongan. Keputusan pilihan raya kecil berpihak kepada calon Semangat 46. Sungai Pinang diwakili Mahmud Yaakub dan Limbongan pula Samat Mamat.

Bagaimanapun Umno telah mencabar pindaan perlembagaan negeri ke Mahkamah Tinggi. Pada 8 November 1991 Mahkamah Tinggi memutuskan pindaan tersebut sebagai tidak sah. Kemudian pada 22 Januari 1992 Mahkamah Tinggi juga memutuskan pengisytiharan kekosongan kerusi Dun Sungai Pinang dan Limbongan sebagai tidak sah.

Kes tersebut akhirnya dibawa Mahkamah Agung. Pada persidangan mahkamah tertinggi terbabit tanggal 3 April 1992 telah memihak kepada Umno. Nordin dan Wan Najib mendapat semula kedudukan sebagai Adun. Keputusan mahkamah tersebut menyebabkan rakyat Kelantan menggelarkan mereka sebagai wakil mahkamah dan bukannya wakil dipilih rakyat.

Kerajaan Negeri sekali lagi berdepan dengan ujian pilihan raya kecil berikutan kematian Adun PAS di kawasan Dun Lundang, Ustaz Mawardi Ahmad. Pilihan raya kecil yang diadakan pada 29 Mac 1994. PAS diwakili Ustaz Mohamad Daud Iraqi. Keputusannya berpihak kepada calon PAS dan sekali gus membuktikan sokongan rakyat terhadap dasar-dasar Kerajaan Negeri tetap utuh.

Apa yang menariknya pada pilihan raya kecil Lundang itu, tok Guru Nik Aziz bertindakan secara berstrategi dengan mengungkap kata-kata ‘tak dok sebab demo nak lawe kawe’ di samping melancarkan perang psikologi melalui ungkapan ‘beri kain pakai, beri gula kacau, bila undi, undi bule’ sehingga menyebabkan jentera kempen BN terperangkap dan gagal melaksanakan pendekatan kempen kebendaan.

Bangunan Umno kini milik Pemuda PAS Kelantan

Wartawan Kita
KOTA BHARU, 19 Okt: PAS Kelantan mencatat satu lagi sejarah sempena genap usia 20 tahun pemerintahan apabila berjaya memiliki bangunan empat tingkat yang pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu.

Tentunya maruah Umno Kelantan sekali lagi tergadai kerana bangunan yang pernah dimiliki Umno Kota Bharu kini menjadi milik Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bangunan tersebut yang pernah terbengkalai dalam tempoh begitu lama berjaya disiapkan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun selepas Zaid digugurkan daripada jawatannya atas dakwaan terbabit dengan rasuah politik ketika pemilihan di peringkat bahagian tersebut, bangunan itu menjadi lengang semula.

Ketika jawatan Zaid digantung, Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh gagal memasuki bangunan berkenaan.

Bangunan tersebut yang difahamkan dimiliki sepenuhnya Zaid selepas berjaya menyiapkan bangunan yang lama terbengkalai.

Ketika itu signboard Umno Kota Bharu dipasang di puncak bangunan yang boleh dilihat dengan jelas dari jambatan Sultan Yahya Petra pada waktu malam.

Pada April lalu, Umno Kota Bharu yang diketuai anggota jawatankuasanya, Datuk Kamaruddin Abdullah mengadakan perhimpunan di pekarangan bangunan terbabit di Jalan Sultanah Zainab menuntut Zaid menyerahkan bangunan berkenaan.

Zaid kini Penyelaras Pakatan Rakyat tetap tidak berganjak dan enggan tunduk terhadap desakan Umno Kota Bharu.

Dan hari ini berlangsung sejarah yang mengejutkan Umno Kelantan dan pusat apabila bangunan pejabat yang pernah menjadi pejabat Umno bertukar tangan menjadi milik PAS.

Dewan Pemuda PAS Kelantan membeli bangunan berkenaan dengan harga RM4.5 juta.

Majlis penyerahan geran hak milik oleh Zaid telah dilakukan tengah hari tadi di Gua Musang sempena kempen pilihan raya kecil Dun Galas.

Ia dibeli dengan harga RM4.5 juta yang bakal menjadi pejabat Pemuda PAS negeri dan pusat komersial.

Perjanjian jual beli ditandatangani antara Zaid dengan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan juga kepimpinan Pemuda PAS negeri yang diketuai, Abdul Latif Abdul Rahman yang disaksikan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bangunan empat tingkat itu mempunyai dewan di bahagian atas yang boleh memuatkan seramai 700 orang, manakala dua tingkat lagi dijadikan pejabat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, majlis bersejarah bagi menaikkan bendera PAS di hadapan bangunan tersebut akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi esok.

Katanya, majlis yang penuh bersejarah itu diadakan sempena genap 20 tahun usia kerajaan PAS dan bahang kempen pilihan raya kecil Galas sekarang.

“Kita bersyukur kerana Dewan Pemuda PAS Kelantan akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri di lokasi yang begitu strategik.

“Ini satu kejayaan besar dalam sejarah PAS yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lebih-lebih lagi bangunan itu pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi di Gua Musang.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, banyak kemudahan yang ada di bangunan berkenaan termasuk pendawaian elektrik dan kemudahan lain telah dirosakkan.

Katanya Dewan Pemuda terpaksa memperuntukan kira-kira RM500,000 lagi bagi memasang sistem pendawaian elektrik dan kemudahan lain yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya juga, Dewan Pemuda PAS yang kini berpejabat di Perhubungan PAS Negeri di Jalan Datuk’ Pati akan berpindah ke bangunan baru selepas kerja-kerja membaikinya siap dalam masa terdekat.

Jana ekonomi tidak perlu menara 100 tingkat

Hafiz Irwan
KOTA BHARU, 19 Okt: Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa menyifatkan Bajet 2011 sebagai kosong dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah dan orang kampung.

Katanya, Bajet 2011 tersasar daripada temanya kerana tidak menunjukkan transformasi ekonomi untuk lonjakan pendapatan rakyat sebagaimana dijanji Menteri Kewangan I.

“Bajet ini adalah gula-gula untuk orang kampung. Bagi masyarakat pelabur yang lebih sofistikated, bajet ini kosong.

“Saya baca begitu, orang lain saya tak tahu, tidak ada kaitan dengan transformasi yang nak dibawa, pengurangan cukai bagi seluar dalam, rambut merah, itu tiada kena mengena sangat kepada rakyat jelata, itu lebih fokus kepada pelancong,” katanya pada sidang media, di sini.

Mengulas pembinaan menara 100 tingkat, Husam tidak nampak rasionalnya bagaimana ia mampu menjana ekonomi.

“Beberapa negara mengalami kemerosotan ekonomi selepas bina menara-menara kerana resources ditumpu kepada projek yang tidak produktif kepada ekonomi secara makro, dalam kes KLCC Tun M (Tun Dr Mahathir) guna petronas untuk biayai pembiayaian menara.

“Tapi dalam kes menara 100 tingkat ini, kalau tidak berfungsi kelak program ini akan jadi satu pembaziran. Dan saya tak nampak negara kita perlu menara baru, malah ekonomi negara tak semestinya dijana dengan membina menara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan seolah-olah kekeringan idea apabila hendak menjana ekonomi mesti melalui projek mega.

Federalisme: Najib jauh beza dengan bapanya

Nazri Abdullah & Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 19 Okt: Semangat federalisme zaman Datuk Seri Najib Razak didakwa sangat berbeza dengan zaman pentadbiran bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, Abdul Razak sewaktu menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-2 banyak membuat jasa kepada rakyat dan dikenang sehingga hari ini.

Beliau merujuk isu tuntutan royalti Kelantan dan hak peneroka Felda yang dinafikan zaman Najib sehingga kedua-duanya terpaksa diselesaikan melalui saluran mahkamah.

“Saya rakamkan di sini ucapan Tun Razak pada 12 November 1975 ketika duduk dibangku itu berkata, tiap-tiap negeri menerima 5% dari petroleum yang dijumpai sama ada di dalam atau di luar kawasan perairan negeri tersebut.

“Malangnya rakyat dan kerajaan negeri Kelantan tiada pilihan lain, terpaksa guna saluran mahkamah setelah semangat federalisme dilanggari,” katanya ketika membahaskan Bajet 2011.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, di zaman Tun Razak semangat federalisea sangat subur dengan hasrat mahu mengeluarkan rakyat dari belenggu kemiskinan.

Ianya termasuk hasrat asal perjanjian Akta Petroleum 1974 dan penubuhan Felda itu sendiri.

“Di zaman YAB Pekan menjadi Perdana Menteri Malaysia, dua agensi ini menyaksikan rakyat terpaksa menggunakan mahkamah untuk mendapatkan hak mereka.

“Jauh nampaknya pendekatan dan hati budi dua beranak ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan perkara sama boleh berlaku bukan sahaja kepada Kelantan dan Terengganu, malah juga kepada Sabah dan Sarawak yang juga kaya dengan petroleum.

“Nampaknya semakin jauh kita meninggalkan garis kemerdekaan, semangat federalisme juga kian luntur,” tambahnya lagi.

Selain meminta penjelasan menteri berhubung beberapa dakwaan salah urus Felda, beliau juga mahu kerajaan menjelaskan berhubung kerugian RM8 bilion syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

Sebelum itu beliau turut mencadangkan agar kerajaan menggenapkan 5 tahun untuk sepenggal sebelum diadakan pilihan raya semula.

Katanya, amalan sekarang yang hanya dua tahun ke tiga tahun sepenggal, bukan sahaja tidak praktikal untuk wakil rakyat berkhidmat, malah meletakkan rakyat dalam tanda tanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof menggesa Kementerian Pelancongan turut memberikan perhatian terhadap pembangunan dan kemudahan di pekan Rantau Panjang yang merupakan tumpuan para pelancong untuk membeli-belah.

Siti Zailah sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap situasi yang berlaku di pekan itu iaitu pelancong lebih suka menaiki kenderaan awam yang masuk dari Thailand berbanding kenderaan Malaysia.

“Banyak kenderaan yang masuk dari Thailand dan menjalankan perkhidmatan membawa pelancong dan pelancong lebih suka menaiki kenderaan Thailand kerana lebih selesa,” kata beliau.

Tambahnya, perkara yang sama turut berlaku berhubung penginapan hotel.

Kebanyakan pelancong, katanya menginap di Hotel di negara jiran itu kerana mudah untuk didapati.

“Ini satu perkara yang seharusnya diberi pertimbangan di masa akan datang di sudut kemudahan dan penginapan,” katanya.

Zailah dalam soalan asalnya meminta Menteri Pelancongan menyatakan perancangan pembangunan di pintu masuk Malaysia-Thailand di Rantau Panjang agar setanding dengan pembangunan di pintu masuk negara yang lain serta perancangan penambahbaikan untuk menarik pelancong dan meningkatkan imej negara dalam RMK-10.

Ku Li, Tengku Amilin bukan lagi ahli MPN

Rizal Tahir
KOTA BHARU, 19 Okt: Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin Aisyah Puteri bukan lagi ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN) sejak 13 September lalu.

Keputusan itu dibuat oleh MPN selepas Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang  gagal hadir mesyuarat tanpa menyatakan penjelasan berhubung kegagalan mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiesri Alias pada sidang medianya ketika diminta mengulas berhubung perkara itu di Pejabat Sultan, Istana Negeri Kubang Kerian, petang ini.

Menurutnya, mengikut perkara 11(1) dan 11(2), mana-mana ahli yang tidak hadir tanpa mendapat kemaafan daripada pengerusi dan tanpa sebarang huraian di atas ketidakhadirannya itu akan gugur dengan sendiri.

“Maka ketidakkehadiraan Tengku Razaleigh pada hari itu tidak mendapat sebarang huraian dan kemaafan dari MPN,” ujarnya.

Jelasnya, walaupun hanya sekali anggota MPN tidak hadir bermesyuarat tanpa menyatakan huraian berhubung kegagalan serta tidak mendapat kemaafan dari Pengerusi MPN, secara ‘automatik’ mereka akan terkeluar dari majlis itu.

Orang Asli cadang bawa isu status ke Galas


Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 19 Okt: Badan Bertindak Tanah Orang Asli Selangor bercadang membantu calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Dun Galas nanti.

Timbalan Pengerusinya, Simpan Suda pada sidang media bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berkata, tindakan tersebut ekoran layanan Dewan Rakyat mengetepikan usul mereka; iaitu menuntut perkataan Orang Asli diletakkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

“Sudah semestinya, kalau Orang Asli bertanding, makin ramai,” ujarnya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Menurut beliau, isu membabitkan kepentingan Orang Asli sepatutnya telah selesai kerana Malaysia sudah merdeka lebih 50 tahun yang lalu.

Sekiranya isu berkaitan Pribumi di Sabah dan Sarawak boleh diselesaikan di dalam perlembagaan, beliau bertanya mengapa kerajaan tidak bersedia menyelesaikan tuntutan status Orang Asli di Semenanjung.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengetepikan usul tergemparnya atas alasan isu tersebut telahpun dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini.

“Tuan Speaker (Pandikan Amin) telah tolak dalam kamar kerana perkara tersebut telah diperkatakan dalam Dewan,” ujarnya mewakili Sekretariat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Baginya, sepatutnya usul tersebut wajar diterima kerana permohonan secara bertulis telah pun dibuat lebih 24 jam yang lalu.

Bagaimanapun, katanya usaha memperjuangkan kepentingan Orang Asli akan diteruskan Pakatan Rakyat kelak.

“Semestinya ada tindakaan selanjutnya, kita akan berunding dulu.

“Perkara ini takkan berhenti di sini, apa yang dipohon adalah wajar,” beliau menambah.

Dr. Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, Dewan Rakyat sepatutnya memberi ruang untuk membahaskan usul tergempar itu.

“Ini menunjukkan reaksi pemerintah walaupun mereka (Orang Asli) datang dari jauh.

“Setelah malaysia merdeka lebih 51 tahun, tapi isu ini tertangguh,” ujarnya.

Katanya, tuntutan itu wajar memandangkan Orang Asli adalah penduduk asal di tanah air.

“Menerima kaum asal sebagai Bumiputera adalah sesuatu yang semulajadi,” ujarnya.

Manakala Datuk Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Tumpat merangkap AJK PAS Pusat pula merakamkan penghargaan kepada Kamarul Baharin kerana komited mewakili Pakatan Rakyat memperjuangkan isu-isu hak Orang Asli di Semenanjung.

“Kalau nak memperkatakan soal 1Malaysia, inilah isunya tetapi kerajaan tidak peduli hal mereka ini,” ujarnya.

Lebih 18 pemimpin suku kaum Orang Asli turut menyertai sidang media tersebut.

Felda: Ahmad Maslan menteri ‘putar alam’

Nazri Abdullah dan Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 19 Okt: Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan disifatkan sebagai ‘menteri putar alam’ apabila didakwa cuba memutar belit isu Felda.

Ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, Ahmad mendakwa Felda tidak pernah menipu peneroka berkaitan kadar perahan gred buah tandan sawit dalam kes Felda Kemahang 3.

Selain itu katanya, Felda kalah dalam kes tersebut kerana peguamnya tidak hadir pada hari perbicaraan tersebut.

Bagi kes Felda Sungai Koyan pula, beliau berkata Felda tidak kalah kerana keputusan mahkamah sama dengan pendirian Felda yang hanya akan membayar wang tanam semula kepada peneroka yang memenuhi syarat Felda.

Felda juga katanya tidak akan membuat rayuan kes tersebut.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang).

Penjelasan itu kemudiannya mengundang soalan bertalu-talu dari ahli parlimen pakatan rakyat khususnya dari Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena).

“Lawyer letak jawatan 2007, kes 2008 sepatutnya hantar lawyer lain lah.

“Dia tak bantah, dia tak rayu…kalau keputusan sama, patut tak hantar lawyer lawan la.

“Pusing…memang kuat putar alam…menteri kelam kabut,” katanya lagi.

Ahmad Maslan dalam responsnya bagaimanapun mengajak Mahfuz berjumpa di luar dewan termasuk di Galas untuk selesaikan pertelingkahan tersebut.

Sementara itu, bercakap dalam sidang medi di lobi Parlimen selepas itu, Mahfuz menggesa Felda diletakkan di bawah Parlimen dan mesti menghantar laporan terperinci mengenai permasalahan Felda dan peneroka.

“Saya minta supaya satu laporan terperinci tentang permasalahan hubungan antara Felda dan peneroka dibentangkan di Parlimen. Ini sangat penting untuk kepentingan peneroka,” katanya.

Ahmad Maslan turut dijemput ke sidang media tersebut, bagaimanapun beliau menolak dan mahu mengadakan sidang media berasingan.

Pada sidang media sama, Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) menggesa Felda mengakui kekalahan mereka dan menunaikan tanggungjawab sebaiknya kepada peneroka seperti yang diputuskan mahkamah.

“Bila Felda kalah ertinya kalahlah. Bukan kerana kes peguam tak datang. Dalam rayuan, saya yakin peguam Felda sudah memberikan segala hujah tapi kalah juga. Tapi tak mengaku kalah.

Khalid Samad (PAS-Shah Alam) pula menggesa Ahmad tidak memutar belit fakta sebenar berkaitan kedua-dua kes melibatkan Felda.

Yang dipertikaikan sekarang ini lawyer itu layak buat tuntutan atau tidak. Mahkamah kata layak tapi di Parlimen dikatakan seolah-olah tak ada isu. Kalau semua dah setuju kenapa nak bawa ke mahkamah.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah mengarahkan agar Felda membayar kepada peneroka Felda Kemahang 3 sebanyak RM11 juta kerana menipu berhubung menggred buah kelapa sawit.

Manakala dalam kes Sungai Koyan, Felda diarahkan membayar RM17 ribu kepada peneroka sebagai wang tanam semula.