Jam 1.20 pagi…suasana di R&R gua musang-Khalil Idham Lim’s Photos

Jam 1.20 pagi…suasana di R&R gua musang, org ramai dari biasa….

Ketua Audit: Hutang negara pada paras tertinggi

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang hari ini mendedahkan bahawa hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion, iaitu paras yang paling tinggi dalam tempoh lima tahun.

Hutang itu mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK), kali pertama keadaan itu berlaku dalam sejarah negara, kata beliau dalam laporan tahunan terbaru yang di bentangkan di Parlimen hari ini.

Hutang RM362.39 bilion ringgit yang disebut dalam laporan audit itu juga jauh lebih tinggi daripada RM233.92 billion yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Jun lalu.

Ketika itu Najib juga mendakwa hutang itu hanya mencakupi 34.3 peratus KDNK.

Dalam laporannya hari ini, Ketua Audit Negara menjelaskan hutang kerajaan meningkat dengan mendadak kerana hutang dalam negara yang semakin membesar.

Hutang kerajaan di dalam negara (domestic debt) pada tahun lalu adalah RM348.60 bilion atau 96.2 peratus keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan

Galas: Bandar Gua Musang mula sibuk

Nazri Abdullah
GUA MUSANG, 25 Okt: Menjelang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas esok, bandar Gua Musang mulai sesak.

Biarpun hujan lebat mula turun siang tadi, kenderaan dari luar tidak putus-putus membanjiri pekan Gua Musang, sejak petang tadi.

Kenderaan dijangka bertambah menjelang pagi esok.

Bukan sahaja penyokong dari luar, malah penyokong tempatan dari seluruh Kelantan juga mula berkampung di sini sejak beberapa hari lalu.

“Petang ni baru jam ni, pagi tadi, tengahari tadi OK lagi.

“Beraya la orang Gua Musang sekali ni,” kata Azman Said, seorang penduduk tempatan di sini.

Sementara itu, penyokong PAS dan Pakatan Rakyat diminta berkumpul di perkarangan Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra seawal jam 7 pagi esok bagi memudahkan urusan mengiringi calon PAS ke pusat penamaan.

Pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk calon, Dr Zulkefli Mohamad dijangka tiba jam 8.00 pagi.

Sebelum bergerak ke pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan jajahan Gua Musang, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka mengimamkan solat hajat di masjid berkenaan.

Perarakan mengiringi calon dijangka bermula jam 8.30 pagi sejurus selesai solat hajat.

Dalam pada itu, PAS malam ini mengadakan beberapa program menjelang esok.

Di peti undi Pulai, Tuan Guru Nik Aziz menghadiri  satu majlis makan malam bersama masyarakat Cina.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub pula dijadual menyampaikan ceramah di Pasti Terasil.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad pula berceramah di Kampung Baru Gua Musang bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa.

Manakala di Pusat Sivik pula berlangsung forum Bertani Satu Ibadah anjuran kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Noordin Che Ngah mengingatkan penyokong parti bertanding supaya mematuhi laluan yang ditetapkan bagi penyokong parti masing-masing.

Penyokong calon BN akan berkumpul di bilik gerakan parti di Bukit Cekati kira-kira 180 meter dari Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, tempat penyokong calon Pakatan Rakyat berkumpul.

Urus tadbir ekonomi negara pincang

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 25 Okt: Urus tadbir kewangan negara tetap dianggap pincang walaupun kerajaan pada 2009 berjaya menyimpan baki tunai RM6.32 bilion berbanding 2008 hanya RM1.541 bilion.

Menurut Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, baki tunai tersebut tidak wajar dianggap sebagai suatu kejayaan kerana jumlah pinjaman tunai yang dibuat Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I pada tahun lepas sebanyak RM107.171 bilion.

Sedangkan katanya, pinjaman tunai kerajaan pada tahun 2008 hanya RM75.156 bilion.

“Maka tak ada ertilah kalau kerajaan berjaya mendapatkan kurangan (baki) RM6.32 bilion kalau pinjaman kerajaan bertambah lebih RM35 bilion (RM35.015 bilion),” ujarnya petang tadi di lobi Parlimen.

Bagaimanapun, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang kerana telus mendedahkan kelemahan di sebalik urus tadbir kewangan negara pada majlis taklimat bersama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pagi tadi.

“Ketua Audit Negara telah menjalankan tugas mereka untuk mendedahkan segala kelemahan ini, maka perlu diambil iktibar dan ditangani serta-merta oleh kerajaan,” ujarnya yang juga menganggotai PAC.

Bajet defisit 14 tahun berturut-turut

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menyelar Bajet 2011 yang menunjukkan defisit secara 14 kali berturut-turut.

Khalid sewaktu membahaskan bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini berkata, Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) sudah kehilangan idea dan tidak mampu menghasilkan bajet yang mengandungi kaedah menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara.

“Walaupun kerajaan menyebut defisit hanya 5 peratus lebih sedikit sahaja, hakikatnya peratusan itu bukan berdasarkan kepada jumlah bajet tetapi ianya berdasarkan kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 5.2 peratus atau 2 atau 3 peratus atau 4 peratus daripada KDNK, ia merupakan angka yang cukup besar,” katanya.

Menurut beliau juga, berdasarkan bajet yang dibentangkan, pinjaman kerajaan menunjukkan angka yang sangat besar iaitu sebanyak RM46 bilion.

“Kalau kita lihat dalam buku ucapan Bajet 2011, kita akan melihat di muka surat yang mengadungi carta pai jumlah penjaman dan penggunaan daripada aset-aset kerajaan, ianya adalah sebanyak 22 peratus adalah daripada pinjaman.

“Jumlah pinjaman ini adalah sebanyak RM46 bilion. Ini merupakan satu jumlah yang cukup besar dan apabila kita lihat bahawa kita pun pada masa yang sama membayar hutang negara sebanyak RM18 bilion.

“Ini bermaksud kita pinjam untuk bayar pinjaman negara. Ini merupakan satu keadaan yang sangat parah kerana kalau tidak ada pinjaman RM46 bilion itu dengan cara pengurusan kewangan yang dilakukan oleh BN, kita tak akan ada duit untuk membayar pinjaman yang telah kita buat sebelum ini,” jelasnya.

Tegasnya juga, kerajaan telah menunjukkan cara pengurusan kewangan yang sangat tidak bertanggungjawab apabila hutang negara melonjak melebihi RM400 bilion dalam keadaan pendapatan kerajaan dan negara semakin berkurangan.

“Hutang bertambah, peratusan wang yang kita gunakan untuk servis pinjaman semakin bertambah, pendapatan semakin menguncup,” katanya lagi.

Ujarnya juga, meskipun laporan audit negara dikeluarkan pada setiap tahun, namun kerajaan tidak menunjukkan kesungguhan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Bajet ini tidak mengambil kira masa depan anak cucu kita. Kita telah dianugerah Allah satu negara yang begitu kaya dengan hasil minyak dan sebagainya tapi kerana boros, pengurusan yang tidak cekap, penuh ketirisan, walaupun dilaporkan ketua audit negara setiap tahun, tapi tak ada kesungguhan BNuntuk mengubah keadaan ini,” katanya.

Ke mana RM3 bilion untuk pengangkutan awam

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman mempersoal status RM3 bilion yang sepatutnya dibelanjakan oleh kerajaan untuk membangunkan prasarana pengangkutan awam negara.

“Persoalan sekarang ini adalah RM3 bilion baki dari wang penjimatan hasil kenaikan harga minyak pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi jadi Perdana Menteri dulu, ke mana perginya,” ujarnya di lobi Parlimen yang ditujukan kepada Najib.

Ini kerana penyata Parlimen hari ini mendedahkan bahawa sebanyak RM1.436 bilion telahpun diperuntukan oleh kerajaan untuk pembangunan prasarana pengangkutan awam negara sejak tahun 2006 hingga 2009.

Penyata Dewan Rakyat menjelaskan, kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta pada 2006 untuk Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengakutan Awam (JKKMPA) membangunkan prasaranan pengangkutan awam.

Pada 2007, sebanyak 569 juta diperuntukan untuk tujuan yang sama.

Manakala pada 2009, kerajaan sekali lagi memperuntukkan RM250 juta pada tahun 2009.

Turut dilaporkan, sebanyak RM567 juta telah disalurkan kepada projek-projek prasarana pengangkutan awam termasuk terminal pengangkutan, kajian pelan induk pengangkutan pengangkutan awam dan pembelian pelbagai jenis rolling stock keretapi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan suatu khabar bahawa Kementerian Pengangkutan bercadang membeli suatu model keretapi dari China yang menurutnya tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh kerajaan.

Lanjutan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa wujud unsur penyelewengan di sebalik pengurusan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pengakutan Awam (KWAPA) di bawah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

“Banyak kali isu kereta api yang nak dibeli dari China ini dibangkitkan (seperti) tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, mungkin ini juga suatu penyelewengan yang cuba dilakukan,” ujarnya.

Isu tanah: Umno BN mesti ditumbangkan

PAS Tawau
SANDAKAN, 25 Okt: Kekejaman dan ketidakadilan dalam urus tadbir tanah di Sabah menjadi satu bukti kukuh mengapa Umno dan Barisan Nasional (BN) mesti ditumbangkan.

Umno BN yang menjanjikan “Sabah Baru” dan membawa perubahan dalam tempoh 100 hari melalui manifesto yang mereka canangkan pada pilihanraya lalu berubah menjadi mimpi ngeri yang tidak pernah dibayangkan oleh rakyat di negeri ini.

Rumah penduduk pribumi dibakar, kampung halaman dimusnahkan dan tanah yang telah diusahakan puluhan tahun dirampas.

Inilah menjadi sebab utama Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS) berjaya menarik ribuan rakyat Sabah hadir di Dewan Hakka Sandakan, semalam.

Program yang dianjurkan oleh Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Sabah telah dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Mengikut Islam, kerajaan adalah pemegang amanah bukan pemilik tanah kerana dalam Islam yang memiliki tanah hanya Allah SWT ,” katanya dalam ucapan perasmian.

Menurutnya, di dalam Islam, barangsiapa yang meneroka, membuka tanah, sama ada mendirikan rumah kediaman, kedai atau bercucuk tanam, maka wajib kerajaan memberikan geran tanah kepada mereka.

Kecuali, katanya kalau ada kepentingan umum seperti mahu dibina jalan raya atau membina hospital dan sebagainya, maka bolehlah ianya diambil dan digantikan dengan yang tanah lain atau nilai yang setimpal.

“PAS akan melaksana hukum ini dan meminta parti parti lain dalam Pakatan Rakyat mengikut hukum ini jikalau dapat memerintah negara kelak,” ujarnya.

AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman pula berkata: Kita berhimpun pada hari ini untuk menyalurkan maklumat dan memberi kesedaran kepada rakyat Sabah agar bangun berjuang untuk menuntut hak dan membuktikan komitmen PAS dan Pakatan Rakyat dalam membela nasib rakyat Sabah dalam menuntut hak dan keadilan buat semua yang telah teraniaya”.

Katanya, jkalau majoriti rakyat Sabah berani untuk berjuang, kerajaan yang zalim akan dapat ditumbangkan dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tambahnya lagi, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang menjangkakan himpunan itu tidak akan berjaya dan kononnya hanya akan dihadiri sekitar 200 orang.

“Rakyat Sabah buktikan sebaliknya dengan kehadiran memeranjatkan dari seluruh Sabah sebagai tanda sokongan dan perjuangan mereka menentang kerajaan yang zalim,” ujarnya.

Dari Sandakan hingga ke Nabawan, dari Tawau hingga ke Pensiangan, penduduk pribumi diperlakukan seperti makhluk yang tiada nilai dan status kemanusiaan.

Di Sandakan, Kampung BDC yang diasaskan oleh Pertubuhan Islam (USIA) yang dahulunya dipenuhi hutan paya bakau akhirnya berkembang menjadi sebuah penempatan penduduk pribumi dengan keluasan melebihi 100 ekar dengan jumlah penduduk dianggarkan tidak kurang 20,000 orang telah dimusnahkan sekelip mata oleh kerajaan Umno BN pada tahun 2002.

Tanah yang telah diusahakan berpuluh tahun sejak tahun 80-an di Ulu Landau dan Cenderamata Merotai Tawau dirampas pada awal tahun ini.

Turut dimusnahkan ialah Kg Lupak Meluas, Kg Sundang, Kg Gas, Kg Koyah di Kinabatangan, perkampungan penduduk pribumi di Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran, Ranau, Kg Labuan dan Kg Wakap di Kota Belud, Kg Bakau dan Kg Telipok di Kota Kinabalu.

Ini merupakan sebahagian kes yang pernah berlaku di Sabah.

Sehubungan itu, perhimpunan itu telah mencatatkan sejarah yang gemilang dan berjaya membuka mata rakyat Sabah diharap dapat menjadi senjata ampuh dalam menghadapi pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November nanti dan pilihanraya umum ke-13 yang akan datang.

Atasi guru dibebani tugas kakitangan sokongan

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 25 Okt: Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden meminta kerajaan memberikan perhatian terhadap masalah kekurangan kakitangan sokongan di sekolah-sekolah sehingga menyebabkan guru-guru dibebani dengan tugas pentadbiran.

Taib ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini memberitahu, di Kedah sahaja, lebih 3,000 pegawai dan kakitangan bukan guru diperlukan untuk melakukan tugasan di pejabat namun masih belum dapat dipenuhi.

“Kita terima bahawa kerja-kerja profesional memberikan nilai tambah kepada seseorang guru dalam perkhidmatan.

“Tetapi kita lihat ada dengan sebab mengutamakan nilai tambah ini menjejaskan tugas-tugas utama mereka sebagai seorang guru dan pendidik,” kata beliau.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat turut mendakwa belum ada satu penyelarasan dari pihak kementerian mengenai pengambilan guru-guru di seluruh negara.

“Kita belum nampak satu penegasan atau satu ketetapan terutama sekali dari segi perangkaan guru-guru yang diperlukan di seluruh negara dan saya minta apakah kerajaan sedar dan akan mengatasi keadaan ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau dalam soalan asalnya meminta Mentri Pelajaran menyatakan adakah kerajaan sedar beban tugas guru-guru di sekolah bukan sahaja mendidik dan mengajar, tetapi juga dibebankan dengan tugas pengkeranian dan penjagaan stor.

Beliau ingin tahu sama ada perkara tersebut termasuk dalam bidang tugas perguruan dan langkah selanjutnya untuk mengatasinya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Fuad Zarkashi dalam jawapannya memberitahu, KPM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas menangani isu beban tugas guru (JKMIBTG) 2010 yang bertanggungjawab untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan beban guru bertambah dan mencadangkan langkah-langkah penyelesaian bagi isu tersebut.

Mengapa tiada kaedah tangani defisit fiskal

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 25 Okt: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Bajet 2010 tidak mampu memacu Program Tranformasi Ekonomi (ETP) kerana tidak menjelaskan kaedah kerajaan untuk menangani defisit fiskal dalam urus tadbir ekonomi negara.

“Atas matlamat mengurang defisit fiskal, nyata bahawa Menteri Kewangan I (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak mensasarkan perbelanjaan untuk mencapai penurunan defisit,” ujarnya ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Najib, Perdana Menteri turut dikatakan demikian kerana beliau ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hanya memberikan ‘janji manis’ bahawa defisit pada tahun depan akan berkurang 5.4 peratus dari Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“(Najib berkata) dengan mengambil kira hasil dan perbelanjaan, defisit kerajaan bagi tahun 2011 dijangka terus berkurangan 5.4 peratus dari KDNK berbanding 5.6 (peratus dari KDNK) pada tahun 2010.

“Hanya begitu saja disebut, nyata bahawa Menteri Kewangan I tidak mensasarkan perbelanjaan untuk mencapai pengurangan defisit, janji-janji manis saja,” ujarnya.

Disebabkan itu, katanya para penganalisis umum melihat bajet yang dibentangkan Najib pada  15 Oktober lalu adalah tidak cermat dan tak masuk akal.

Akibat dari urus tadbir ekonomi negara secara pincang, katanya petadbiran Najib, Presiden Umno bakal mengulangi insiden pengucupan pelaburan asing langsung (FDI) ke dalam negara sebanyak 81 peratus dari RM23.47 bilion pada tahun 2008 pada RM4.43 bilion pada tahun 2009 kelak.

Berbeza dengan Singapura, katanya kerajaan tersebut mempunyai kaedah yang jelas untuk mencapai sasaran penurunan defisit 2.6 peratus dari KDNK.

Begitu juga dengan Indonesia, katanya kerajaan tersebut mempunyai kaedah yang jelas untuk mencapai sasaran penurunan defisit 1.7 peratus dari KDNK.

“Maka pakar ekonomi dan penganalisis menyindir: ‘supaya jangan hairanlah kalau Malaysia tidak menjadi destinasi pelaburan impian dan terbabit’,” ujarnya.

Difahamkan, belanjawan negara sehingga tahun ini mengalami defisit 14 tahun berturut-turut.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya cadangan kerajaan membina transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) bernilai RM40 bilion; Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) bernilai RM26 bilion; menara Warisan Merdeka 100 tingkat bernilai RM5 bilion dan sebagainya tidak akan menjamin pada pertumbuhan FDI.

“Para penganalisis berpandangan bahawa pihak swasta ini tidak mempunyai kutipan dana dalam pasaran saham dan kewangan yang lain dengan tidak ada jaminan (prospek pelaburan yang sihat) daripada kerajaan,” ujarnya.

“Maka, akhirnya ia akan melebarkan defesit apabila projek-projek ini gagal dilaksanakan dan kerajaan menanggung segalanya atas sebab menyelamatkan kepentingan kerajaan.”

Tuntas dari itu, beliau menjangkakan bahawa defisit fiskal akan terus melebar sehingga 6 peratus dari KDNK kelak.

Undi untuk Pakatan tidak pecah di Batu Sapi

Harakahdaily
RAWANG, 25 Okt: PKR yakin, undi untuk Pakatan Rakyat tidak akan pecah di Batu Sapi walaupun Parti Progresif Sabah (SAPP) turut bertanding melawan BN dalam pilihan raya kecil kawasan itu.

William Leong, Bendahari PKR dan juga ketua perunding Pakatan untuk penentuan parti yang bertanding di Batu Sapi berkata, pihaknya yakin pengundi Batu Sapi akan memilih PKR dalam pilihan raya ini.

“Ramai ingat Batu Sapi kawasan majoriti Cina kerana anggota Parlimen sebelum ini adalah Cina. Sebenarnya Cina hanya 38 peratus sahaja di sini dan 60.1 peratus pengundi adalah beragama Islam.

“Oleh itu tidak berbangkit apabila PKR bertanding dan SAPP bertanding, undi Cina akan pecah kerana sasaran kita berbeza,” kata William kepada Harakahdaily ketika ditemui dalam majlis dialog dengan penduduk Bandar Tasik Puteri yang menuntut laluan ke lebuhraya semalam.

(Gambar: William bersalam dengan penduduk Bandar Tasik Puteri yang berkumpul Sabtu lepas)

Wlliam telah mengetuai pasukan perunding dari Pakatan Rakyat untuk berbincang dengan SAAP bagi menentukan parti dan calon yang hendak bertanding melawan BN di Batu Sapi.

Menurut William, SAPP berkeras mahu bertanding di Batu Sapi dan mahu menjadi parti alternatif kepada BN di Sabah.

Sebelum ini, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan undi untuk Pakatan Rakyat tidak akan berpecah di Batu Sapi kerana SAPP tidak bertindak sebagai pembangkang samada di Sabah atau peringkat nasional.

Parti itu, kata Anwar, lebih bersifat bebas.

SAPP telah menamakan presiden mereka, Datuk Yong Teck Lee sebagai calon di Batu Sapi.

Pakatan Rakyat pula telah menamakan ketua bahagian PKR Tuaran yang juga seorang peguam, Ansari Abdullah sebagai calon mereka.

BN pula telah menamakan Linda Tsen Thau Lin, balu Edmund Chong Ket Wah, bekas anggota Parlimen kawasan itu, sebagai calon di Batu Sapi.

Edmund meninggal ekoran kemalangan jalan raya baru-baru ini. Beliau menjadi anggota Parlimen kawasan itu sejak 2004 selepas menang tanpa bertanding. Dalam pilihanraya umum 2008, Edmund menang dengan mengalahkan calon Bebas ekoran kegagalan PKR meletakkan calon di stu.

PAS turut berminat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil ini ekoran 60.1 peratus pengundinya beragama Islam, namun memberikan sokongan kepada calon PKR selepas Pakatan memutuskan calon PKR yang akan bertanding di situ.

Perlembagaan tidak jamin hak Orang Asal Semenanjung

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 25 Okt: Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menegaskan, kedudukan Orang Asal di Semenanjung Malaysia tidak akan terjamin pada masa akan datang sekiranya hak mereka tidak dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Azmin ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, tiada langsung peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kepentingan Orang Asal di Semenanjung walhal mereka merupakan kaum pribumi yang telah lama menetap di negara ini.

Menurutnya, Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan Orang Asli adalah Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu manakala dalam artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, ianya hanya merangkumi Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja.

“Perdebatan yang berlaku pada hari ini ialah pengiktirafan Orang Asli sebagai Bumiputera berdasarkan takrifan Orang Asli yang termaktub dalam Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan juga keperluan memaktubkan secara jelas kedudukan istimewa Orang Asli sebagai Bumiputera dalam artikel 153,” kata beliau yang juga Naib Presiden PKR.

Sehubungan itu, Azmin meminta kerajaan menyatakan pendirian sama ada bersedia untuk memasukkan hak Orang Asli di Semenanjung ke dalam Perlembagaan.

“Adakah kerajaan bersedia untuk mengambil satu tindakan yang berani dan bertanggungjawab untuk menjamin kedudukan Orang Asli dan sekiranya tidak apakah alasan yang akan diberikan oleh kementerian?

“Kalau orang Turki yang duduk di Sembrong boleh dijamin oleh Perlembagaan dan diterima oleh Umno sebagai pemimpin tertinggi, kalau orang Jawa di Bagan Datuk boleh dijamin oleh Perlembagaan, kalau orang lanun di Semporna boleh termaktub dalam Perlembagaan, mengapa Orang Asli ini tidak dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan?” soalnya disambut gelak tawa beberapa ahli Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di perhimpunan agung Umno minggu lepas ada menyebut tiga bangsa itu dengan merujuk kepada tiga naib presiden iaitu Datuk Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal yang mempunyai darah bangsa tersebut.

Pada 19 Oktober lalu, Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar mengenai pengiktirafan kedudukan peribumi Orang Asli sebagai Bumiputera yang dibawa oleh Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) dalam jawapannya bagaimanapun mendakwa Azmin cuba mempolitikkan isu tersebut.

Sebelum itu, Azmin dalam soalan asalnya meminta menteri menyatakan jumlah peruntukan bajet yang disalurkan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) sepanjang dua tahun lalu.

Beliau juga meminta menteri menyenaraikan kesemua program yang telah dijalankan oleh JHEOA berserta pecahan bajet yang digunakan sepanjang dua tahun lepas.

Bekas ahli Usno tinggal BN, isytihar sokong Pakatan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Okt: Bekas Ahli Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) kini mengisytiharkan menyokong Pakatan Rakyat dan bersedia berkerjasama memenangkan calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Penaja pertubuhan itu, Datu Badaruddin Tun Datu Hj Mustapha memberitahu, mereka beralih angin menyokong Pakatan Rakyat akibat kecewa dengan sikap kerajaan khususnya bahagian Pendaftar Pertubuhan (ROS) Malaysia yang menolak permohonan mereka untuk menubuhkan Kelab Usno Sabah.

“Jesteru kami telah membuat ketetapan pada mesyuarat AJK Penaja Ex-Usno kali ke 12 hari ini, 24 Oktober, selaras dengan kehendak bekas ahli Usno untuk mentransformasi Usno ke arah pembangkang, maka hari ini kami ingin ucapkan sayonara kepada Barisan Nasional,” katanya.

Menurutnya, pelbagai usaha melalui rundingan telah dibuat sejak 2007 bagi merealisasikan hasrat 3000 ahli mereka untuk menubuhkan Usno dalam bentuk NGO, namun pendaftaran mereka ditolak oleh ROS.

“Kami telah berusaha menubuhkan Kelab Usno Sabah…kami telah temui Perdana Menteri, kami telah menemui Ketua Menteri Sabah bagi menerangkan hasrat kami yang tidak mengganggu kepentingan politik Umno di Sabah, bahkan memberikan sokongan terbuka kepada Barisan Nasional bagi mengelak syak wasangka, ” ujarnya kecewa apabila segala usaha tersebut gagal.

Sehubungan itu katanya, mereka bersedia mengadakan kerjasama dengan Pakatan Rakyat berdepan Pilihan Raya Umum Ke-13 dan akan memberi kerjasama kepada wakil pakatan di Sabah untuk PRK Batu Sapi.

Beliau juga menggesa pihak-pihak tertentu yang berhasrat menubuhkan semula Usno sebagai parti politik agar membatalkan niat tersebut kerana yakin ianya akan gagal dan sia-sia.

Malah mereka menyeru pihak tersebut, rakyat Sabah termasuk bekas ahli Usno agar menyertai mereka berganding bahu dengan Pakatan Rakyat.

“Bagi maksud Pilihan Raya Kecil Batu Sapi 4 November, Ex-Usno Sabah menyeru supaya semua ahlinya, semua bekas Usno yang berada dalam Umno di kawasan berkenaan, mengubah haluan memberikan undi dan sokongan kepada calon pembangkang,” katanya.

Usno ditubuhkan pada 23 Disember 196, diasaskan oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun, Ketua Menteri ketiga Sabah dan berjaya memerintah negeri selepas memenangi pilihanraya negeri 1967.

Bagaimanapun, penguasaan Usno di Sabah hanya berjaya sehingga tahun 1976 apabila tewas kepada Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya).

Selepas kekalahan itu, Usno seringkali meneruskan hasrat untuk menyertai pilihanraya negeri sehingga tahun 1990, namun hanya memenangi beberapa buah kerusi, dan tidak cukup untuk membentuk kerajaan semula.

Usno kemudian dibubar setelah bergabung dengan Umno pada tahun 1991.