YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang’s Photos – Penamaan Calon PRK N45 Galas.

Wan Nasiruddin’s Photos – Sekitar Penamaan Calon PRK GALAS – II –

101027_Galas_kerajaan negeri akan selesai isu tanah -tvpas

Candu hiburan agar rakyat lalai petaka rasuah

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 27 Okt: PAS kesal terhadap cadangan kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini adalah petanda pemimpin negara sudah bankrap idea dan muflis akhlak sehingga sanggup memperjudikan moral rakyat di negara ini.

“Kenapa pemimpin BN sanggup untuk mencadangkan idea yang melawan arus dan berpaling ke belakang seolah-olah tidak ada jalan lain untuk menjana kewangan di negara ini?” soalnya.

Katanya, ketika semua pihak memikirkan mengenai keruntuhan akhlak seperti buang bayi, perzinaan, gadis hilang, gadis lari rumah, pembunuhan, lumba haram dan sebagainya, tiba-tiba kerajaan boleh mencadangkan program yang boleh diibaratkan seperti meletak baja di sebelah tangan kanan dan mencurah racun di sebelah kiri.

“Apakah ini sabahagian daripada cadangan APCO Yahudi yang memang hendak menawan dunia melalui penaklukan moden tanpa pertumpahan darah sebaliknya dengan membunuh benih iman dan akhlak di negara ini,” soalnya lagi.

Mereka, ujarnya mencari jalan pintas dengan mencadangkan perkara tersebut untuk meningkatkan pendapatan negara sebagai sebuah negara maju 2020.

Tambahnya, lebih mengejutkan lagi Projek Penggerak Ekonomi (EPP) juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

“Walaupun projek ini untuk menarik pelancong luar negara berhibur dan berbelanja, namun kesannya tetap akan dirasai oleh rakyat di negara ini.

“Sebenarnya rancangan ini untuk menjadikan rakyat lalai dengan hidangan ‘candu hiburan’ dan melupakan malapetaka rasuah yang terus mencengkam negara di tangga ke 56,” ujarnya.

Buktinya, kata beliau Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4. Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

Laporan Ketua Audit Negara 2009, ujarnya menggambarkan kegagalan kerajaan umno BN berterusan tidak menunjukkan kebolehan mengurus sehingga banyak berlaku ketirisan di banyak kementerian.

Menurutnya, walaupun dengan berbagai slogan yang dikemukakan seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP), namun hasilnya adalah sama sahaja.

Beliau berkata, semuanya akibat kejahilan dan rosaknya integriti di kalangan pemimpin negara menyebabkan pelabur luar meluat untuk datang ke negara ini.

Buktinya, kata beliau laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara Asean, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD1,381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD7,318 juta pada 2008.

Katanya, kejatuhan nilai pelaburan itu adalah yang tertinggi berbanding negara Asean lain.

Ubah Seri Perdana: RM65j besar bagi rakyat Galas

Hafiz Irwan
GUA MUSANG, 27 Okt: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya berfikir dengan bijaksana terhadap tindakan kerajaan seterusnya menilai sendiri sejauh mana ketelusan kerajaan BN yang sebelum ini mengatakan membela rakyat.

Katanya, pengubahsuaian Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri yang dianggar menelan belanja puluhan juta ringgit membuktikan pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) tidak berhemah dalam menangani sistem pengaliran ekonomi negara.

“Kita bayangkan alangkah besar nilai RM65 juta itu jika digunakan untuk bantu rakyat. Kalau di Galas ini sudah berapa ramai rakyat akan dapat faedah dari jumlah yang sebesar itu.

“Tapi malangnya keutamaan pemimpin BN yang lebih berkepentingan sendiri hanya suka ikut citarasa masing-masing sehingga sanggup melihat rakyat jelata dibelenggu kesusahan,” katanya ketika menyampaikan ceramah umum di Kampung Kerinting, dekat sini malam tadi.

Beliau berkata, bertindak tatkala fenomena kewangan tidak menunjukkan perkembangan positif kepada negara adalah satu langkah tidak bertanggungjawab.

“Inilah dasar kerajaan yang lebih pentingkan satu pihak. Mereka seolah-olah tidak fikir tentang ekonomi rakyat.

“Sedangkan kepada rakyat mereka nasihatkan supaya berbelanja secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata, pengubahsuaian Seri Perdana dengan peruntukan yang begitu tinggi dianggap satu pembaziran dana rakyat.

Seri Perdana dibina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya.

Bangunan itudiubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta.

Tak percaya kerajaan, PM pun boleh menipu

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 27 Okt: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mendakwa Bajet 2011 yang dibentang Perdana Menteri tidak seimbang.

Berucap membahaskan bajet di Dewan Rakyat beliau berkata, bajet tersebut hanya memfokuskan pembangunan di Lembah Klang dan mengenepikan pembangunan di negeri-negeri lain.

Beliau memberi contoh peruntukan pembangunan sebanyak RM6 bilion kepada Kuala Lumpur ekoran jangkaan peningkatan 6 juta penduduk menjelang 2015.

Sedangkan, katanya jumlah itu adalah bersamaan peruntukan pembangunan untuk 40 tahun negeri-negeri lain.

“Rakyat semua negeri bayar cukai, sepatutnya tumpuan sama diberikan.

“Saya kira kerajaan perlu mencari formula baru dalam pemberian peruntukan ini,” katanya yang memberi contoh Kanada yang menggunakan formula berasaskan sumber yang terdapat di negeri.

Ketidakseimbangan ini juga jelasnya akan terus meletakkan negeri-negeri yang rakyatnya miskin, terus miskin biarpun mempunyai sumber dalam negeri.

“Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak terus terabai. Empat buah negeri ini rakyatnya paling ramai miskin, sedangkan negeri-negeri ini mempunyai sumber petroleum.

Some thing has gone wrong some where (sesuatu yang buruk berlaku di mana-mana),” katanya.

Negara pada tahun 2009, katanya memperolehi pendapatan sebanyak 42% daripada sumber petroleum dari keempat-empat buah negeri tersebut.

Maka ujarnya, sangat wajar jika hak bayaran royalti khususnya terhadap Kelantan dan Terengganu diberikan.

“Saya masih ingat janji Perdana Menteri pada PRK Kuala Terengganu dua tahun lepas nak bagi semula bayaran royalti Terengganu, tapi sampai sekarang tak bagi.

“Sekarang berlaku krisis keyakinan, orang tak percaya kerajaan, PM pun boleh menipu,” katanya.

DAP dakwa kerajaan diskriminasi bina SJK Cina

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 27 Okt: Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming mendakwa kerajaan mengamalkan diskriminasi dalam pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina apabila hanya menyiapkan dua daripada 19 buah yang dijanjikan.

Kor Ming yang juga Penolong Bendahari DAP Kebangsaan berkata, kerajaan juga telah mengurangkan 48 buah SJKC sedangkan sekolah berkenaan mengalami pertambahan murid.

“Saya berasa sangat kesal walaupun kerajaan dalam manifesto pilihan raya telah berjanji untuk memindah enam buah sekolah dan membina 13 buah sekolah jenis kebangsaan Cina yang baru. Setakat hari ini hanya dua buah sahaja yang siap yang 17 buah masih belum dalam operasi.

“Jumlah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina telah berkurangan sebanyak 48 buah. Bayangkan jumlah murid sekolah di sekolah jenis kebangsaan telah bertambah daripada 320 ribu menjadi 640 ribu dan antaranya 75 ribu bukan Cina, tapi Melayu dan India.

“Ini bermaksud sekolah jenis kebangsaan adalah sekolah yang diiktiraf dan menerima semua rakyat tanpa mengira kaum,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau turut menggesa kerajaan memansuhkan tiga surat pekeliling dan garis panduan yang didakwa mengamalkan diskriminasi terhadap SJK (C).

Salah satu garis panduan yang dipersoalkan mengenai tindakan kerajaan hanya membenarkan tapak sekolah rezab milik kerajaan dibina sekolah kebangsaan sahaja kecuali mendapat pengecualian daripada menteri.

“Mengapa tapak sekolah rezab kerajaan, tidak  boleh dibina semua sekolah tanpa mengira SJK (C) atau SJK (T) dan perkara ini tidak adil adil sama sekali?” soalnya.

Menurutnya, dua lagi garis panduan dan  surat pekeliling yang ditetapkan kementerian juga  tidak munasabah, antaranya terpaksa mengumpulkan sendiri dana sebanyak 80 peratus bagi SJK untuk membina bangunan baru.

“Semua lembaga pengelola sekolah SJK (C) dan SJK (T) yang  ingin membina sekolah baru atas kesesakan bilik darjah perlu mengumpul sendiri dana 80 peratus baru boleh mengemukakan permohonan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya masyarakat Cina dalam negara ini perlu menangung perbelanjaan RM 100 juta setahun sebagai sumbangan peribadi kepada sekolah jenis kebangsaan sejak negara merdeka.

Beliau juga mempertikai tindakan kementerian yang tidak membenarkan murid yang belajar di sekolah kebangsaan bertukar ke SJK.

“Saya menerima pelbagai rayuan daripada ibu bapa tetapi masih tidak dibenarkan pertukaran  biarpun rayuan demi rayuan dikemukakan.

“Alasan Kementerian Pelajaran prestasi sekolah kebangsaan diukur berdasarkan berapa ramai  murid bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan tidak masuk akal,” katanya.

Beliau dalam sesi soal jawab dalam Dewan sebelum itu meminta Menteri Pelajaran menyatakan secara terperinci satu demi satu status terkini pembinaan 19 buah Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (C) yang diumum serta dijanjikan oleh kerajaan pada 31 Januari 2008 serta kos terlibat dalam menyiapkan sekolah-sekolah tersebut.

Calon PAS syor tubuh Urusetia Orang Asal

Mohd Nor Yahya
GUA MUSANG, 27 Okt: Keprihatinan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad terhadap nasib masyarakat Orang Asal jelas terbukti apabila beliau berhasrat untuk mencadangkan penubuhan sebuah urusetia yang khusus bagi menjaga kebajikan masyarakat berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Markas Besar PAS di Bandar Lama Gua Musang, pagi ini.

Pada masa ini, kerajaan negeri telahpun mempunyai tiga urusetia iaitu Urusetia Penerangan Negeri, Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO serta Urusetia Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Keluarga.

Tambahnya, tujuan utama penubuhan urusetia tersebut adalah untuk memastikan pelbagai hal ehwal yang berkaitan dengan masyarakat Orang Asal akan diuruskan secara cepat dan cekap.

“Dengan adanya urusetia seperti ini, ia boleh membantu secara langsung kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli milik Persekutuan dalam meneruskan pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli ini,” ujar beliau.

Pemuda PAS mahu Jakim jadi kementerian

Rusli Yasmin
PUTRAJAYA, 27 Okt: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menghantar memorandum kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantah program-program mungkar yang telah berlaku di dalam negara.

Pemangku Ketua DPPWP, Herman Samsudin yang mengetuai delegasi tersebut mencadangkan agar Jakim diangkat menjadi sebuah kementerian agar boleh membuat penguatkuasaan bagi mengawal program-program itu.

Memorandum diterima oleh Pegawai Perhubungan Jakim, Puan Asiah Al-Kharib Shah di luar pejabat Ketua Pengarah Jakim, di sini.

Menurut Herman, Jakim dilihat tidak mempunyai kuasa bagi menghentikan sebarang program yang menyalahi etika Islam dan budaya timur di dalam masyarakat.

“Kita jumpa PUSPAL (Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) dia bagi tahu Jakim antara yang terlibat dalam jawatankuasa meluluskan konsert Adam Lambert baru-baru ini antaranya ialah Jakim,” kata Herman.

Malangnya, kata beliau program-program mungkar tetap berjalan tanpa ada pemantauan dari pihak yang berwajib seperti Jakim.

Ditanya mengenai pelan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan, Herman bersetuju tetapi hiburan itu mestilah sesuai.

DPPWP memuji sekiranya artis seperti Maher Zain ditonjolkan dan dijadikan ikon anak muda dalam membudayakan imej yang positif.

Herman berharap program Festival Fesyen Muslim (IFF) yang bakal diadakan di Malaysia pada awal November ini betul-betul bertepatan dengan ciri-ciri Islam.

Di dalam memorandum yang dihantar, DPPWP mahu Jakim mengambil peranan secara bersungguh-sungguh serta melibatkan secara langsung sebagai penasihat syariah terhadap mana-mana program rasmi yang dianjurkan di dalam negara.

DPPWP juga berharap Jakim dapat mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana program yang berlaku dalam negara.

Dua program mungkar iaitu Konsert Adam Lambert dan Islamic Fashion Festival (IFF) di Monte Carlo menunjukkan program-program itu tidak dipantau oleh pihak sepatutnya.

Turut menyertai rombongan tersebut, Naib Ketua DPPWP, Suhaimi Abd Aziz, setiausaha, Kamarul Arif Ambak, Wakil Ulamak Pelapis, Ustaz Adha Buyong dan Exco DPPWP, Asrul Afendi.

Galas: Momentum rakyat untuk tawan Putrajaya

Yusri Amin
GUA MUSANG, 27 Okt: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menegaskan Galas adalah momentum dan lonjakan semangat rakyat dalam usaha menguasai pemerintahan peringkat Persekutuan.

Ini, katanya kerana banyak peluang boleh dilakukan sekiranya berjaya ‘menawan Putrajaya’ terutama mengenai royalti petroleum Kelantan.

Beliau berkata, walau pun Kelantan dikekang kewangan oleh Pusat namun berjaya membuktikan kemampuannya yang baik dalam tempoh dua puluh tahun.

“Kelantan berada pada tahap kedudukan ke enam negeri miskin berbanding Sabah berada pada pada tahap pertama negeri miskin.

“Negeri yang kedua dikategorikan miskin ialah Terengganu walau pun ada minyak,” katanya.

Beliau mendakwa, Sabah yang dikatakan ada minyak itu pun dikategorikan sebagai negeri miskin, justeru seolah-olah semua negeri yang ada minyak semuanya dikategorikan sebagai negeri miskin.

“Semua pemimpin Umno BN makan hasil minyak, manakala rakyat makan ‘tahi minyak’,” dakwanya sinis.

Oleh itu, katanya, PAS akan mempastikan apabila memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 serta menang pada peringkat Pusat, kebaikan diberikan kepada Kelantan dan akan ditadbirkan dengan baik.

“Bahkan kita akan menguruskan negeri ini dengan baik dan merupakan negeri yang selamat untuk rakyat mengundi,” katanya kepada media, semalam.

Mengulas perkembangan terbaru, beliau berkata pengalamannya dalam banyak siri pilihan raya kecil (PRK) yang dihadapi, maka Galas beliau rasa gembira.

“Saya tidak berapa runsing sangat terutama dari segi jentera kita.

“Dari segi calon itu sendiri, Pakatan Rakyat khususnya PAS mengemukakan Dr Zulkefli sebagai calon yang tepat.  Mempunyai kelulusan yang tinggi berbanding calon di pihak lawan,” ujarnya.

Selain itu, ujarnya performen yang ditunjukkan Allahyarham Che Hashim dahulu adalah sebagai orang yang telah pun menunjukkan wakil rakyat yang cukup baik.

“Dr Zul banyak masanya ditumpukan bersama dengan Allahyarham Chek Hashim, bahkan semasa Che Hashim uzur pun, Dr Zul antara orang yang banyak mengambil alih pengurusan dan tugas serta tanggungjawab wakil rakyat,” katanya.

Beliau menyifatkan Dr Zul calon yang dikemukakan PAS dan Pakatan Rakyat  adalah calon berwibawa sama ada dari segi personaliti, akhlak, peribadi serta mempunyai kelulusan tinggi sebagai doktor perubatan yang dikenali ramai khususnya dalam masyarakat Dun Galas.

Katanya, Dr Zulkefli sudah teruji dengan kemampuannya sebagai seorang mampu meneruskan aktiviti-aktiviti bagi mengukuhkan kerajaan kepimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kelantan.

“Tidak ada calon lain melainkan bagi rakyat yang berada di Dun Galas ini memilih Dr Zulkefli Mohamad yang mewakili PAS, parti Tok Guru kita.

“Inilah merupakan harapan daripada rakyat di Malaysia dan juga sebagai satu lonjakan untuk kita memberikan satu amaran kepada Kerajaan BN yang merampas royalti rakyat Kelantan,” katanya.