PRU 13: Bagaimana kalau Anwar-Ku Li bergabung?


http://kalamperantau.wordpress.com
Tidak ramai pemimpin yang berjaya memerintah selama 2 dekad mentadbir sesebuah pemerintahan kerajaan di Malaysia. Diperingkat pusat setakat ini hanya Tun Dr. Mahathir sahaja yang berjaya melakukannya dengan memerintah selama 22 tahun, satu rekod yang mungkin sukar dilakukan lagi selepas ini.

Tetapi diperingkat negeri, terdapat beberapa pemimpin kerajaan negeri yang berjaya melakukannya, iaitu Tan Sri Osman Saat (bekas Menteri Besar Johor), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (bekas Menteri Besar Terengganu) dan Tun Lim Chong Eu (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) serta Datuk Patinggi Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak) dan Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan).

Rekod semasa Menteri Besar atau Ketua Menteri paling lama berkuasa setakat ini masih dipegang oleh Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud, 74 yang juga Presiden Parti PBB, sebuah komponen BN dari Sarawak selama hampir 30 tahun yang memerintah negeri Sarawak sejak dari tahun 1981 hingga sekarang.

Manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya baru memerintah Kelantan sebagai Menteri Besar hampir 20 tahun sejak 20 Oktober, 1990 dijangka berjaya memasuki tempoh tersebut jika pilihanraya umum tidak diadakan secara mengejut sebelum 20 Oktober tahun ini.

Kejayaan PAS memerintah Kelantan ketika itu adalah kerana sikap PAS yang bersedia bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li bersama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), serpihan UMNO berjaya mengembelengkan kekuatan pembangkang Melayu/Islam membentuk  Angkatan Perpaduan Ummah dengan PAS-Berjasa-Hamim-Kimma dan membentuk Gagasan Rakyat dengan DAP-IPF-PRM-PBS.

Kemampuan Ku Li menyakinkan PBS komponen BN yang memerintah negeri Sabah ketika itu keluar BN beberapa hari menjelang pilihanraya umum1990 untuk bersama dengan Gagasan Rakyat ternyata memberikan kejutan yang besar kepada BN. Kegagalan pembangkang terutama PMS46 di Pulau Pinang dan lain-lain negeri adalah disebabkan serangan saat-saat akhir terhadap Ku Li oleh media BN yang gagal ditangkis oleh pembangkang.

Tetapi hasilnya cukup memberangsangkan di seluruh negara walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Selain negeri Sabah yang berada dalam genggaman pembangkang, pembangkang (APU) Berjaya mencipta yang rekod yang tidak pernah dicipta dari dulu hingga sekarang, yakni menyapu bersih semua kerusi di Kelantan (APU:39, BN:0).

Saya tidak berapa ingat berapa lama Lim Chong Eu dari Gerakan memerintah Pulau Pinang tetapi lebih 20 tahun dan beliau hanya berjaya diundurkan dengan rakyat menolaknya dalam pilihanraya umum tahun 1990. Walaupun Gagasan Rakyat (GR) tidak mampu merampas Pulau Pinang tetapi berjaya menamatkan era pemerintahan Lim Chong Eu.

Begitu juga dengan Tan Sri Wan Mokhtar dan UMNO/BN yang memerintah Terengganu juga terselamat dalam pilihanraya umum tahun 1990 tersebut tetapi rakyat berjaya menolaknya dalam pilihanraya umum 1999 akibat kezaliman melampau UMNO/BN terhadap Anwar Ibrahim setelah  lebih 25 tahun Wan Mokhtar memerintah Terengganu menyebabkan rakyat muak.

Tetapi BN cepat menyedari mood rakyat yang sudah menolak Tun Mahathir pada tahun 1999 menyebabkan mereka mengambil tindakan drastik menggantikannya dengan muka baru, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesranya dipanggil Pak Lah yang dianggap Mr.Clean menyebabkan rakyat memberikan peluang kepadanya dengan mengembalikan Terengganu kepada BN dan Kelantan pun hampir-hampir tumbang dalam pilihanraya umum tahun 2004.

Tetapi disebabkan Pak Lah yang leka dengan kemenagan yang terlalu besar dalam sejarah politik politik Malaysia dan tidak menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat menyebabkan rakyat bangkit memberikan pengajaran kepadanya dan sekalgus tidak lagi mempercayai UMNO/BN pada pilihanraya umum tahun 2008.

Jika tahun 1990 ekoran tekerlibatan Ku Li bersama pembangkang, menyebabkan negerinya Kelantan berjaya di tawan dari UMNo/BN, keterlibatan Anwar pula pada tahun 2008 menyebabkan bukan sahaja negerinya Pulau Pinang tumbang tetapi merebak kepada Kedah, Perak dan Selangor.

Selepas 20 tahun Kelantan diperintah PAS, Ibrahim Ali bercita-cita jadi MB?

PAS dijangka akan menyambut ulangtahun ke-20 pemerintahan mereka pada bulan oktober akan datang ini. Selain daripada mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang berjaya mengemudi Kelantan selama 20 tahun, saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan rakyat Kelantan yang berjaya menabalkan seorang Sultan baru mengikut perlembagaan tidak seperti apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO/BN yang juga menabalkan Sultan baru yang dengan dengan kontroversi dalam tahun 1990’an dulu.

Ketika pemimpin-pemimpin PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk terus menerajui Kelantan selepas ini, dilaporkan Ibrahim Ali, Presiden sebuah NGO dikenali sebagai PERKASA mula memberitahu rakyat bahawa beliau bersedia menjadi Menteri Besar Kelantan.

Dilaporkan beliau berkata, “PAS selama ini tidak buat apa-apa. Sebagai contoh masalah air di negeri ini sehingga sekarang masih belum selesai. Jadi kalau nak Kelantan maju, ikut saya. Kalau nak Kelantan maju, saya adalah orangnya kerana saya boleh membawa perubahan kepada negeri ini. Kelantan akan menjadi lebih baik sekiranya beliau menjadi Menteri Besar”

Dalam pilihanraya umumyang lepas, beliau diberikan ‘ehsan’ bertanding kerusi PAS di Parlimen Pair Mas setelah puas mengekori Tuan Guru Nik AbdulAziz dan dan memujuk PAS memberikan laluan kepada beliau bertanding dalam Pilihanraya Umumtahun ke-12 tahun 2008.

Ibrahim Ali  memenangi kerusi Pasir Mas buat pertama kali pada pilihan raya umum 1986 diatas tiket UMNO dengan memperoleh 55 peratus atau 15,711 undi dan mempertahankan kerusi itu empat tahun kemudian (1990) atas menggunakan tiket S46. Selepas itu tidak pernah memenangi sebarang kerusi parlimen atau DUN sehinggalah beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-12 atas tiket PAS setelah menewaskan calon Umno dengan majoriti 8,991 undi

Apa yang menarik dalam analisa sepintas lalu ini, Ibrahim Ali tidak ada kekuatan politik di Kelantan hatta di Pasir Mas sendiri yang dikatakan kubunya  kerana hanya memenangi kerusi parlimen Pasir Mas tersebut atas tiket UMNO (1986) dan Semangat 46 (1990) serta PAS (2008).

Beliau bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir tetapi hanya mendapat sekitar 500 undi sahaja dan kalah dengan hilang deposit kepada calon UMNO, Hanafi Mamat selepas pilihanraya umum 2004 dalam pertandingan 3 penjuru. Begitu juga dalam pilihanraya umum 2004 bertanding di kerusi parlimen Pasir Mas tetapi tewas kepada Calon PAS Ismail Noh dalam pertandingan 3 penjuru.

Tidak dapat dipastikan bagaimana beliau akan menjadi Menteri Besar Kelantan? Kalau inilah calon Menteri Besar Kelantan yang hendak menggantikan Nik Abdul Aziz, beliau akan mengikut jejak Awang Adek, calon Menteri Besar Kelantan dalam pilihanraya umum yang lepas.

Apakah PERKASA ini akan ditukarkan menjadi sebuah parti politik seperti BERJASA yang beliau juga menjadi perancangnya pada penghujung tahun 1970’an dahulu ketika krisis Asri-Mohd Nasir dahulu? Kita lihat dahulu rentak dan tarinya bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Presiden UMNO yang sudah tidak mendapat tempat dalam UMNO sama seperti IbrahimAli juga.

Bagaimana agaknya politik Malaysia jika Ku Li yang juga sudah tersisih dalam UMNO bergabung dengan Anwar dalam pilihanraya umum ke 13 nanti? Jika Anwar dikatakan berjaya memujuk SAPP keluar BN selepas PRU ke-12 pada 2008, mampukah Ku Li sekali lagi memujuk PBS keluar BN jika beliau memilih untuk bergabung dengan pembangkang menjelang PRU-13 nanti?

Zunar, Malaysiakini dapat kebenaran cabar KDN

Hafiz Yatim
Okt 8, 10
11:07amPenulis kartun, Zunar dan Malaysiakini hari ini diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bahagian rayuan dan kuasa khas) untuk mencabar keputusan Kementerian Dalam yang mengharamkan buku kartun Perak Darul Kartun dan 1Funny Malaysia.

Dalam semakan kehakiman, kebenaran untuk mencabar keputusan berkenaan perlu dipohon kerana ia bukan hak automatik.

Kebenaran itu diberikan oleh hakim Datuk Mohd Zawwawi Salleh di kamarnya setelah mendengan hujah kedua-dua pihak – peguam K Shanmuga dan pendakwa raya kanan persekutuan Noorhisham Ismail.

Noorhisham tidak membantah permohonan kebenaran berkenaan.

Shanmuga berkata hakim Zawawi kemudiannya menetapkan 4 November bagi tarikh sebutan kes.

Shanmuga mewakili pemohon, MKINI Dotcom Sdn Bhd dan syarikat penerbitan, Sepakat Efektif Sdn Bhd, manakala Noorhisham mewakili Menteri Dalam Negeri dan timbalannya.

Pada 26 Julai lalu, MKINI Dotcom, yang mengendalikan Malaysiakini dan kartunis Zulkiflee atau lebih dikenali sebagai Zunar memfailkan dua saman berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buku kartun politik.

Tindakan pengharaman buku 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun – kedua-duanya karya Zunar – didakwa tidak sah dan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Pengharaman buku tersebut juga didakwa melanggar undang-undang sejagat dan tidak dilakukan dengan adil kerana Zunar ataupun Malaysiakini tidak diberi alasan terhadap tindakan tersebut.

Kedua-dua pihak menuntut mahkamah mengeluarkan arahan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan bayaran kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut.

Ketua setiausaha kementerian berkenaan, Tan Sri Mahmood Adam dipetik media sebagai berkata buku-buku itu diharamkan kerana kementerian dalam negeri mendapati ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

Beliau dipetik berkata bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan.

Menurutnya lagi, ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam,” kata Mahmood.

1Funny Malaysia, diterbitkan pada Disember tahun lalu adalah satu kompilasi kartun Zunar yang diterbitkan oleh Malaysiakini sejak 2005 hingga 2009.

Perak Darul Kartun pula diterbitkan oleh syarikat Zunar – Sepakat Efektif Sdn Bhd dan memapar karya beberapa kartunis Malaysia yang lain, termasuk Zunar.

MKINI berkata kartun dalam buku itu telah diterbitkan di laman web berkenaan lebih dua tahun dan buku itu telah berada di pasaran selama tiga bulan sebelum dirampas.

Sepakat Efektif pula mendakwa buku ‘Perak Darul Kartun’ telah berada di pasaran selama enam bulan sejak November 2009 dan mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai buku itu mengancam ketenteraman awam.

Pemohon menuntut antara lainnya perintah membatalkan pengharaman buku itu dengan alasan pengharaman itu tidak sah kerana melanggar Seksyen 7 Akta Mesin etak dan Penerbitan 1984 dan juga bertentangan dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Dakwaan BTN guna buku perlembagaan palsu disiasat

Biro Pengaduan Awam akan menyiasat dakwaan bahawa Biro Tata Negara (BTN) menggunakan buku perlembagaan palsu semasa mengendalikan satu kursus di Johor baru-baru ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah.

Beliau berkata kerajaan memandang serius perkara itu kerana isi kandungan perlembagaan itu menyentuh sensitiviti kaum.

“Kerajaan telah mengarahkan BPA untuk menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti penulis buku berkenaan. Buku tersebut dipercayai diedar dan digunakan sebagai rujukan dalam ceramah anjuran BTN itu.

“Bagaimanapun kesahihan perkara itu hanya akan dapat ditentukan sebaik selesai siasatan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Ipoh hari ini.

Murugiah berkata beliau mengetahui perkara itu berikutan laporan seorang peserta yang mengikuti kursus berkenaan.

“Peserta terbabit berasa keliru apabila penceramah kursus itu menggunakan perlembagaan palsu yang menyentuh isu sensitif sesuatu kaum.

“Perkara ini akan merencatkan usaha melaksanakan wawasan perdana menteri dalam membentuk gagasan 1Malaysia, dan boleh menimbulkan rasa kurang senang kaum yang dikaitkan dalam perlembagaan palsu itu,” katanya.

– Bernama

Kedudukan PMR, UPSR diumum ‘bila-bila masa’

Abdul Rahim Sabri
Okt 8, 10
5:40pmKeputusan sama ada untuk memansuh atau mengekalkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dibuat pada “bila-bila masa”, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Puad Zarkashi.

Katanya, pengumuman rasmi berhubung keputusan itu akan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran.

“Ia akan dibuat pada bila-bila masa sahaja…Sebab (perkara) ini kita tidak perlu buat secara terburu-buru.

“(Kita) perlu buat secara berhati-hati untuk memastikan keputusan yang kita buat itu, adalah keputusan yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita.

“Kita belum buat keputusan yang terakhir. (Perkara) ini terserah kepada menteri untuk buat keputusan. Kita telah dimaklumkan laporan itu sudahpun disiapkan. Dan pada saya, elok kita tunggu keputusan (daripada beliau),” katanya dalam satu media di ibu negara pagi ini.

Puad berkata keputusan itu juga perlu mengambil kira objektif pendidikan negara yang mementingkan pembangunan modal insan.

Beliau yang juga ahli parlimen Batu Pahat berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Muhyiddin bahawa pengumuman keputusan untuk memansuhkan atau mengekal PMR dan UPSR akan dibuat selepas raya.

Sebelum itu Puad merasmikan majlis penutupan Kerjasama Malaysia-Australia untuk projek Pendidikan Afghanistan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) di Lembah Pantai.

Menurutnya, projek kerjasama itu bertujuan untuk memperbaiki kaedah pengajaran pensyarah dan guru dari Afghanistan.

Malah katanya, projek selama 14 minggu ini juga bertujuan memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris dan penguasaan maklumat dan teknologi di kalangan pendidik di negara tersebut.

Mokhtar Mat Saman, aktivis PAS Selayang meninggal dunia


Khaulah Azwar
SELAYANG, 8 Okt: “Manusia mati tinggalkan nama, harimau mati tinggalkan belang”. Pepatah yang sinonim bagi seorang yang berjasa dimasa hayatnya.

Perginya seorang aktivis PAS yang telah banyak menabur budi di persada dunia politik perjuangan ISLAM merupakan 1 kehilangan yang besar di kawasan tersebut.

Almarhum Hj. Mokhtar Mat Saman, 65,  meninggal dunia semalam akibat sakit jantung, kanser usus dan kencing manis yang dialaminya sejak beberapa tahun yang lalu.

Beliau meninggalkan seorang balu Pn. Hasrinah dan 3 orang anak. Ketika usianya masih ada beliau dan isteri begitu terkenal dalam dunia urutan bagi merawat pesakit yang mengalami sakit urat saraf, patah tulang, bersalin dan sebagainya.

Beliau merupakan aktivis PAS yang telah berkecimpung dunia politik sejak usianya masih remaja sehingga kini.

Beliau merupakan setiausaha kerja PAS kawasan selayang, Pembantu Pendaftaran SPR dan banyak lagi jawatan yang disandang diperingkat negeri dan pusat.

Walaupun usianya yang semakin lanjut dan mengalami berbagai penyakit, namun ia bukan penghalang padanya untuk menjalankan tugasan dengan baik untuk perjuangan ISLAM.

Pesuruhanjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali merangkap Adun Gombak Setia turut hadir memberi pengohormatan buat kali terakhirnya sekaligus menguruskan jenazah, mengimamkan solat jenazah sehingga dikebumikan ditanah perkuburan Islam selayang.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehillangan besar pada kita. Beliau banyak berjasa dalam melakukan kerja-kerja parti. Allahyarham cukup dikenali ramai dengan sifatnya yang ramah dan suka membantu orang lain,” katanya.

Semasa hayatnya juga, Allahyarham tidak lokek dan sering menginfaqkan harta, tenaga, masa dan diri dalam menegakkan Islam melalui perjuangan dalam PAS.

Beliau bersama isteri sering hadir dalam majlis-majlis di peringkat pusat, negeri dan kawasan.

“Setiap kali pilihanraya kecil diadakan, beliau dan isterinya tidak ketinggalan untuk bersama membantu kerja-kerja pilihanraya.

“Saya difahamkan di saat-saat akhir meghembuskan nafas, beliau masih berada di hadapan komputer untuk melakukan penyemakan daftar-daftar pemilih baru yang boleh mengundi dalam PRU ke -13,” kata Dr Hasan lagi.

Beliau turut merakamkan takziah buat isteri dan anak-anak Allahyarham dan mendoakan keluarganya tabah menghadapi ujian ini dan meneruskan kehidupan ini untuk bersama membantu perjuangan Islam.

Sementara itu, Hasrinah sebagai isteri almarhum telah menerima sumbangan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) daripada kerajaan negeri sebanyak RM1500 dan RM2000 daripada PAS kawasan bagi membantu ahli keluarga untuk menguruskan jenazah.

Cerita Rahimi menurut versi peguam

Cerita Rahimi menurut versi peguam

Masih banyak yang belum diketahui tentang akuan bersumpah Rahimi Osman yang ‘penting’ itu, antaranya ia didakwa hanya setebal dua hingga tiga halaman sahaja.

Setelah bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tampil mendakwa dipaksa menandatanganinya oleh dua peguam – Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli – kelmarin, lebih banyak persoalan berbanding jawapan yang timbul.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, Latheefa yang juga ketua penerangan PKR menceritakan semula apa yang beliau tahu tentang proses merangka akuan tersebut daripada mula hingga akhir.

Berikut apa yang terjadi bermula pada 28 Jun 2008, seperti yang diceritakan semula oleh Lahteefa:

Pada 28 Jun 2008, PKR mengadakan seminar kepimpinan di Hotel Quality Shah Alam, melibatkan hampir semua pemimpin dan wakil rakyatnya.

Laporan polis Saiful Bukhari

Sehari selepas itu, ketua kakitangan pejabat Anwar, Ibrahim Yaakob mendengar desas-desus khabar bahawa terdapat Mohd Saiful Bukhari Azlan akan membuat laporan polis terhadap bekas bosnya. Maka Rahimi dipanggil untuk mendapatkan maklumat berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, dia tidak dapat dihubungi buat masa itu dan hanya hadir lewat malam itu. Di hotel berkenaan ketika itu ramai penyokong dan petugas media mula berkumpul kerana khabar angin Anwar akan ditahan semula seperti di zaman reformasi sepuluh tahun sebelum itu.

Ramai ‘pengawal peribadi’ dan anggota parti menempah tinggal di hotel berkenaan. Anwar pula bersetuju ‘bersembunyi’ seketika di kedutaan Turki di Kuala Lumpur.

Rahimi tiba pada malam 28 Jun itu dengan gementar dan ketakutan. Beliau menceritakan semula apa yang beliau dengar daripada Saiful Bukhari.

Rahimi juga minta tinggal di hotel itu kerana takut dicari polis berikutan kemungkinan namanya turut disebut dalam laporan polis Saiful Bukhari. Pasukan peguam itu bersetuju memberikan perlindungan kepada Rahimi.

Rahimi kelihatan kembali tenang semula setelah beberapa hari Saiful Bukhari membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar.

Bukan di bilik hotel

Beberapa pemimpin PKR yang kebetulan bertugas sebagai peguam ditugaskan menemuramah Rahimi bagi mendapatkan gambaran besar apakah sebenarnya yang berlaku ketika itu.

Selain Latheefa dan Saiful Izman, R Sivarasa turut terlibat.

Proses mendengar penjelasan Rahimi tidak dilakukan dalam bilik hotel, tetapi sebuah lounge peribadi di hotel tersebut. Bagaimanapun, semua draf akuan bersumpah dibuat dan drangka di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Akun bersumpah pertama dibuat secara tidak terperinci kerana mungkin Rahimi tidak bersedia memberitahu banyak perkara, terutamanya pembabitan Mumtaz Jaafar yang juga ibu kepada seorang kenalan sekolahnya.

Tiada pengurungan, Rahimi bebas keluar dan masuk. Malah beliau ada keluar daripada hotel beberapa kali, termasuk bagi menonton perlawanan bola sepak dengan beberapa ‘pengawal peribadi’.

Selepas Rahimi dipanggil memberikan kenyataan kepada polis. Dia memberitahu tidak ditanya banyak soalan tetapi diberitahu ada kemungkinan dipanggil semula.

Tidak dapat dihubungi

Kemudian, selepas dipanggil kali kedua, Rahimi memberitahu bahawa dia ditanya sama ada pernah berjumpa dengan Rosmah dan Mumtaz.

Selepas dinasihatkan oleh peguam peribadinya ketika itu Stanley Sinnapan supaya bercakap benar, beliau menceritakan apa yang beliau tahu. Semua ceritanya tiada percanggahan dengan akuan bersumpah yang pertama.

Setiap perjumpaan dengan Rahimi tidak semata-mata berbincang soal akuan bersumpah tetapi bagi membantu pasukan pembelaan Anwar mengumpulkan maklumat.

Rahimi kemudian masuk dan keluar pejabat Anwar seperti biasa dan diberikan beberapa tugas kecil kerana dia tidak lagi bekerja secara rasmi. Dia juga terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh di mana Anwar bertanding.

Tetapi bila perbicaraan hampir bermula, apabila ketua pasukan pembelaan ditukar kepada Karpal Singh, Rahimi tidak dapat dihubungi. Dia tidak menjawap panggilan telefon dan SMS.

Kali terakhir Latheefa dan pemimpin PKR berhubung dengan Rahimi menjelang perkahwinan Rahimi hujung tahun lalu.

Selain Rahimi, terdapat beberapa orang yang berpotensi jadi saksi turut diminta membantu memberikan maklumat.

Tentang akuan bersumpah Rahimi

Akuan bersumpah itu tidak tebal. Ia hanya dua atau tiga halaman sahaja. Sebelum ditandatangan, Rahimi diminta menyemak semula drafnya beberapa kali supaya apa yang dia rasa tidak selesa boleh dibuang.

Ia ditandangan di depan pesuruhjaya sumpah di Petaling Jaya State, bukan Petaling Jaya Old Town seperti yang dinyatakan dalam laporan polis Rahimi kelmarin.

Dia tidak diberikan salinan dokumen itu “sebab tidak memintanya”. Kemungkinan sekarang Rahimi sendiri sudah lupa apa yang terkandung dalam akuan bersumpahnya.

Akuan bersumpan itu mengandungi dua bahagian, bahagian pertama tentang bagaimana dia mengenali Mohd Saiful dan pengalaman mereka bersekolah dan bekerja bersama.

Manakala bahagian kedua menceritakan tentang pertemuan Mohd Saiful Bukhari dengan Najib dan Rosmah.

(Latheefa tidak dapat ingat sepenuhnya kandungan akuan bersumpah itu kerana dokumen itu didakwa telah hilang daripada simpanannya).

Musnah jika terus jadi hamba Umno BN


Warta Rakyat
KUALA TERENGGANU, 8 Okt: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahu rakyat Terengganu bangkit menentang Umno BN kerana masanya telah tiba untuk berbuat demikian.

“Sekiranya rakyat masih mahu membiarkan diri mereka menjadi hamba Umno BN, tunggulah kemusnahan yang amat teruk di masa akan datang,” ujarnya ketika berucap pada majlis ceramah di Kuala Ibai, dekat sini malam ini.

Turut berucap ialah Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Mohamad Sabu.

Ini, katanya kerana rakyat di bandar telah menolak Umno BN, jadi sudah sampai masanya rakyat luar bandar juga menolak kepimpinan BN.

Baginya, Umno adalah parti perkauman dan rasis dan tibalah masanya rakyat menjadikan Umno BN sebagai pembangkang di Parlimen selepas PRU 13 nanti.

Menurutnya, perbuatan Umno Besut melabelkan DAP anti Islam sebagai perbuatan rasis serta menyebarkan perasaan perkauman yang bahaya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Datuk Seri Hishammuddin sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu dan Menteri Dalam Negeri untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kepimpinan Umno Besut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur memberi jaminan kuasa Melayu tidak akan hilang jika Pakatan Rakyat berkuasa nanti.

“Tapi kuasa Umno yang hilang dan ini amat menakutkan Tun Mahathir serta pemimpin Umno BN,” ujarnya lagi.

Lim menegaskan DAP menerima Perlembagaan Persekutuan dan Hak-hak orang Melayu yang menjadi dasar dan asas Pakatan Rakyat.

Lim turut menyentuh kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani masalah rasuah di negara ini.

Ini, katanya kerana dalam tempoh dua tahun ini, SPRM gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

“SPRM hanya menjadi alat kepada Umno untuk menekan Pakatan Rakyat. Contoh yang paling ketara bagaimana SPRM menjadi dalang menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak,” ujarnya.

Ini, katanya ditambah dengan kedudukan Malaysia di tangga ke-53 dalam indeks rasuah antarabangsa membuktikan SPRM telah gagal menjalankan peranannya itu.

Topeng Perak Unmasked’s Photos – Sultan Muhammad ke-V Sembelih Lembu Korban (Updated)

Bagaimana Transaksi Wang Haram?


Nasrudin Hassan at-Tantawi
Hukum menerima bantuan
dari wang yang haram.

Muqaddimah

Isu ini bukanlah perkara baru di dalam Islam. Ini kerana hal ini juga pernah berlaku pada zaman Nabi saw apabila Saidina Abu Bakar ra merujuk kepada Baginda saw mengenai wang haram yang diperolehinya.

 

ولما نزل قوله تعالي: {ألم * غُلِبَتِ الرُّومُ * فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ} [الروم:1-3]، كذبه المشركون وقالوا للصحابة: ألا ترون ما يقول صاحبكم، يزعم أن الروم ستَغلب. فخاطرهم أبو بكر رضي الله عنه، بإذن رسول الله صلي الله عليه وسلم، فلما حقَّق الله صدقه، وجاء أبو بكر رضي الله عنه، بما قامرهم به، قال عليه الصلاة والسلام: “هذا سحت، فتصدَّق به”. وفرح المؤمنون بنصر الله، وكان قد نزل تحريم القمار بعد إذن رسول الله صلي الله عليه وسلم له في المخاطرة مع الكفار

Mafhum daripada hadith ini adalah Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a pernah bertaruh [di awal Islam sewaktu perjudian belum diharamkan secara menyeluruh] dengan seorang Musyrik [yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah al-Rum ayat 1 dan 2 yang mengisyaratkan kejatuhan Rom] bahawa Kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh maka Saidina Abu Bakar ra telah memperolehi harta pertaruhan itu [ianya haram kerana judi dan tujuan Saidina Abu Bakar ra hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran], apabila Abu Bakar datang kepada Rasulullah SAW menceritakan perihal harta haram yang diperolehi melalui hasil taruhan [judi] itu,

Rasulullah bersabda : “Ini kotor, sedekahkanlah ia“. Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir.

 

Menginfaqkan harta yang diperolehi dari cara yang haram

Pendapat pertama
Dibolehkan untuk menginfaq harta yang diperoleh dari hasil yang haram. Pendapat ini adalah pendapat jumhur.
Sheikh Dr Yusof al-Qardhawi [1]
“Kebenarannya adalah bahawa harta tersebut adalah kotor [ haram ]  dengan dinisbahkan kepada orang yang memperolehinya dengan cara yang tidak halal akan tetapi ianya baik [ halal ] dengan dinisbahkan kepada faqir miskin untuk tujuan kebaikan
Haram ke atas orang yang memperolehinya dengan cara yang tidak halal tetapi dibolehkan kerana tujuan kebaikan tadi seperti menyedekahkannya. Ini kerana,  harta tersebut tidak haram bagi zatnya akan tetapi ianya haram hanya kerana individu tertentu kerana sebab yang tertentu.
Transaksi harta haram biasanya berlaku dalam 4 keadaan ;

I.               Individu tersebut mengambil harta haram itu untuk kegunaan dirinya dan keluarganya. Keadaan ini telah jelas pengharamannya

II.                Harta haram [Harta riba’ yang diperolehi melalui system perbankan] dibiarkan kekal dalam bank yang berurus niaga secara riba’. Perbuatan ini juga adalah haram

III.               Harta yang diterima atau diperolehi melalui hasil yang haram ini dimusnahkan [dibakar dll]. Hal ini ada di dalam riwayat yang menceritakan hal keadaan salafus-soleh yang wara’.  Akan tetapi perkara ini telah ditolak oleh al-Imam al-Ghazali rhm di dalam kitab al-Ihya’.

IV.           Harta tersebut digunakan dalam transaksi yang bertujuan kepada kebaikan seperti untuk disedekahkan kepada orang-orang faqir miskin, anak-anak yatim, ibnu al-Sabil ataupun mana-mana pertubuhan kebajikan, dakwah dan kemasyarakatan Islam. Perkara sebegini adalah dibenarkan.

 

Al-Imam al-Ghazali rhm

Sekiranya ada yang bertanyakan apakah dalil yang membolehkan untuk disedekahkan dengan sesuatu yang haram?, dan bagaimana pula bersedekah dengan sesuatu yang bukan miliknya[2] ?. Sedangkan di sana terdapat sekumpulan [ulamak] yang tidak membenarkan perkara tersebut kerana ia adalah haram. Sememangnya di sana terdapat satu riwayat yang menyatakan al-Fudhail tidak menerima sedekah yang diterima dari hasil yang haram.

 

Sheikh Atiyyah Saqor [3]

“Wajib melupuskan harta yang haram ketika bertaubat, ia boleh dilakukan dengan memulangkan kembali harta itu kepada tuannya (jika diketahui) atau kepada warisnya, dan jika tidak mampu diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri darinya [harta yang haram] dan bukannya bagi meraih pahala (dari serahan itu).

 

Imam Ibnu Qayyim[4]

Jika sesuatu harta yang didapati dari sumber haram itu diketahui pemiliknya (seperti harta haram hasil curi dan diketahui pemiliknya), cara melupuskannya adalah dengan memulangkan kembali wang curi itu kepada tuannya serta meminta maaf dan kemudian melakukan taubat kepada Allah swt. Sekiranya dia gagal memulangkan kepada tuannya maka hendaklah dia memulangkan kepada warisnya. Sekiranya dia gagal juga, barulah harta itu disalurkan kepada sedeqah

 

Dalil yang membenarkan
فأمر رسول الله صلي الله عليه وسلم، بالتصدُّق بالشاة المصلية التي قدِّمت إليه فكلَّمته بأنها حرام، إذ قال صلي الله عليه

وسلم: “أطعموها الأساري”

Mafhum hadith
Hadith ini menceritakan bahawasanya pernah dihidangkan kepada Nabi saw daging kambing. Lalu daging tersebut menyatakan kepada Nabi Muhammad saw bahawa ia adalah haram. Lalu Nabi saw menyuruh sahabat untuk memberikan ia kepada orang lain untuk dimakan [menyedekahkannya].

Rasional hadith
Perbuatan Nabi saw yang menyedekahkan daging kambing [yang haram] untuk disedekahkan.

 

al-Athar Saidina Hasan ra
وسئل الحسن رضي الله عنه، عن توبة الغال (مَن يأخذ من مال الغنيمة قبل أن يقسم، وما يؤخذ منه بعد تفرُّق الجيش)،
فقال: يتصدَّق به.

Mafhum athar
Athar ini menceritakan mengenai taubat bagi orang yang mengambil ghanimah sebelum ianya dibahagikan. Saidina Hasan ra mengatakan bersedekah dengan apa yang diambilnya tadi membuktikan taubat bagi perbuatannya yang mengambil harta dengan cara yang haram.
Rasional athar
Walaupun athar ini menceritakan mengenai ghanimah yang pada asalnya halal, tetapi sekiranya ia diambil dengan cara yang tidak betul maka hukumnya tetap haram kerana harta ghanimah bukanlah pemilikan dia seorang. Ianya perlu dibahagikan mengikut apa yang diajarkan oleh Allah swt. Tuntasnya, apabila ia tidak diambil dengan kaedah yang telah digariskan oleh Allah swt maka ianya tetap haram. Justeru, bagi mereka yang melakukan dosa besar [melakukan sesuatu yang haram] wajib bertaubat dan Saidina Hasan ra menyatakan salah satu cara membuktikan dia bertaubat adalah dengan menyedekahkan apa yang telah diambilnya dengan cara yang salah.
Persamaan hal ini dengan kes di atas adalah kedua-kedua harta tersebut adalah diperolehi melalui hasil yang haram. Hukum haramnya tetap ke atas orang yang melakukan iaitu dia tidak
boleh membelanjakan wang tersebut demi dirinya atau kepentingan keluarganya. Penyelesaiannya adalah wang tersebut perlu diberikan kepada orang lain [faqir miskin] kerana wang tersebut tidak haram pada zatnya untuk orang lain.

 

Qiyas
Sheikh Dr Yusuf al-Qardhawi menyatakan bahawasanya harta sebegini berada dalam timbangan samada untuk dimusnahkan atau digunakan untuk jalan kebaikan. Ini kerana harta tersebut telah menjadi rosak di sisi pemiliknya. Secara dharuri melalui pengetahuan kita, menggunakan harta tersebut kearah kebajikan adalah lebih baik dari membuangnya ke dasar lautan [memusnahkannya]. Ini kerana, sekiranya kita membuang ia ke dasar lautan maka sesungguhnya benda tersebut hilang dari sisi kita tanpa kita memperoleh faedah daripada perbuatan kita tadi.
Akan tetapi, sekiranya kita menginfaqkan ia kepada faqir miskin nescaya mereka akan mendoakan pemiliknya keberkatan daripada Allah swt. Selain itu, mereka yang faqir tadi boleh memenuhi tuntutan keperluan mereka di samping tuan [harta haram] yang menyedekahkannya tadi memperolehi ganjaran di sisi Allah swt.
Di dalam masalah yang berkaitan penerimaan bantuan dari hasil judi dan situasinya adalah penerima mengetahui wang bantuan tersebut adalah datang dari hasil judi maka wang tersebut perlulah dikembalikan kepada orang yang memberikan atau wakil kepada yang memberikan kerana wang yang diperolehi dari hasil yang haram perlu [wajib] dilupuskan [6]. Ini kerana hukum asal menggunakan wang yang diperolehi dari hasil yang haram hukumnya juga adalah haram. Hal ini dikuatkan dengan kaedah “ bahawa menolong dan menyebarkan yang haram itu juga adalah haram “[7].

 

Pendapat kedua
Segala bentuk wang yang haram perlu disimpan [dibekukan]. Ini kerana ditakuti harta tersebut jatuh ke tangan mereka yang zalim bukan kepada mereka yang adil. Justeru, dengan menyimpan [membekukan] wang tersebut, ia dapat memelihara harta tersebut daripada jatuh ke tangan orang yang zalim. Antara yang menggunakan pendapat ini adalah Sheikh al-Islam Ibn Taimiah[8]
Dalil bagi pendapat kedua adalah

1.     Firman Allah swt di  dalam Surah al-Baqarah
Wahai orang-orang Yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu Yang baik-baik, dan sebahagian dari apa Yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. dan janganlah kamu sengaja memilih Yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil Yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali Dengan memejamkan mata padanya. dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji “

 

2.     Daripada al-Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud ra[9]
ما رواه ابن مسعود – رضي الله عنه – أن رسول الله – صلى الله عليه وسلم – قال: “والذي نفسي بيده لا يكسب عبد مالاً من حرام فينفق منه فيبارك له فيه، ولا يتصدق فيقبل منه ولا يتركه خلف ظهره إلا كان زاده إلى النار”
Rasional dalil
Secara umumnya, dalil di atas menunjukkan bahawasanya Allah tidak akan menerima sedekah melainkan hal keadaan pemberian itu adalah baik. Jadi sedekah dengan harta ini tidak akan diterima melainkan dengan harta yang halal dan diperolehi melalui cara yang mengikut syarak. Syarat untuk amalan yang baik itu diterima [sedekah] adalah melalui infaq harta yang halal.

 

Jawapan al-Imam al-Ghazali[10]
Adapun kata-kata : kita tidak bersedekah dengan harta melainkan dari harta yang baik [halal] adalah apabila kita mengharapkan pahala dari pemberian sedekah tersebut untuk diri kita. Perbincangan kita sekarang adalah pelupusan harta yang haram dari sisi kita bukan untuk kita mendapatkan pahala buat diri kita. Di antara melupuskan harta tersebut dengan dimusnahkan dan diinfaqkan maka kami cenderung pada pandangan untuk harta tersebut diinfaqkan.

 

Pendapat ketiga
Hasil dari harta haram perlu dimusnahkan. Sebahagian kecil daripada ulamak-ulamak salaf seperti Qadhi Fudhail al-‘Iyyadh

Walaupun sebahagian besar ulamak yang menerima pandangan bahawasanya duit haram yang diperolehi boleh disedekahkan, akan tetapi masih ada ulamak yang menolak menggunakan duit haram yang disalurkan sebagai sedekah / bantuan.

وحُكي عن الفضيل أنه وقع في يده درهمان، فلما علم أنهما من غير وجههما، رماهما بين الحجارة، وقال: لا أتصدق إلا بالطيِّب، ولا أرضي لغيري ما لا أرضاه لنفسي!

 

Cara untuk tassorruf [ transaksi ] dengan harta dari hasil yang haram

Pendapat pertama

Digunakan untuk maslahah[11] umum orang Islam dan ini adalah pendapat Sheikh al-Islam Ibnu Taimiah rhm


Pendapat kedua

Digunakan dengan memberi sedekah secara umum[12] dan ini adalah pandangan Hanafiah, Malikiah, Imam Ahmad dan ulamak-ulamak mazhabnya serta Imam Ghazali daripada mazhab Syafi’e


Pendapat ketiga

Digunakan untuk maslahah umat Islam yang faqir (dll) bukan untuk membina masjid. Pendapat ini adalah dari Suruhanjaya Fatwa Penerbitan di Arab Saudi[13] dan Penasihat Gedung Kewangan Kuwait

Pendapat keempat

Digunakan untuk jihad di jalan Allah swt dan ini adalah salah satu pandangan Sheikh al-Islam Ibn Taimiah

_________________________________________________________________________

 

Pencerahan [ Nota Tambahan ]

Apa yang dimaksudkan dengan harta itu haram

Harta yang haram adalah harta yang haram digunakan dan untuk dimanfaatkan oleh pemiliknya. Contohnya Abu terlibat dengan perniagaan yang berunsurkan riba’ dan dia mendapat keuntungan melalui riba’. Maka haram bagi Abu untuk menggunakan keuntungannya tadi demi kepentingan dan manfaat bagi dirinya dan keluarganya. Akan tetapi, sekiranya duit riba’ tersebut disedekahkan kepada faqir miskin untuk manfaat mereka maka itu adalah halal kerana pengharamannya adalah dengan sebab riba’ bukan kerana duit tersebut haram.

Allah tidak menerima sedekah melainkan dengan harta [pemberian] yang baik
Harta yang haram sudah tentu bukan dari hasil dan pemberian yang baik. Malah ia bukan dari milik kita. Bagaimana untuk kita memberi sedekah pada suatu benda yang bukan dari pemilikan kita?.
Secara mudahnya, memberi sedekah dari harta haram ini merupakan kewajipan untuk memisahkan diri pemilik dari harta yang haram. Perkataan sedekah itu diterjemah sebagai memberi bantuan kepada golongan faqir dan miskin. Orang yang menginfaqkan hartanya dari hasil yang haram tidak akan mendapat pahala kerana bersedekah tetapi dia akan mendapat pahala dari sudut yang lain[14] antaranya ;

1.       Menahan dirinya daripada harta tersebut dan mengambil manfaat daripadanya dalam apa jua keadaan.

2.       Meletakkan harta tersebut pada tempatnya iaitu ke jalan kebajikan.

3.       Melaksanakan kewajipan iaitu melupuskan harta haram disisinya dll.

____________________________________________________________________________________

Mulaahazah [ Perhatian ]
Membincangkan isu transaksi wang haram yang dibolehkan pada keadaan tertentu bukan bermakna ia menjadi satu keharusan untuk sebuah kerajaan mengekalkan atau menggalakkan sesuatu amalan [ muamalah ] yang diharamkan oleh Allah swt.  Sebaliknya persoalan ini , fokus kepada penerima seperti faqir miskin atau rakyat.
Sementara pihak kerajaan [ pemberi ] mempunyai sudut perbahasan yang berbeza dengan perbahasan mengenai penerima [ rakyat ] .
Ringkasnya, bagi sebuah kerajaan sayugia berikhtiar agar membebaskan diri dari sistem muamalah yang diharamkan oleh Allah swt sebagaimana menjadi kewajipan jua bagi sebuah kerajaan tidak menjalankan kegiatan – kegiatan yang diharamkan seperti industri perjudian . Ini bagi memastikan kerajaan tersebut diredhai oleh Allah swt pentadbiran dan pembendaharaannya .
Kerajaan yang terpaksa berurusan dengan sumber haram seperti melibatkan wang cukai dari industri arak [ yang diharamkan kepada orang Islam tetapi tidak kepada non muslim – berbeza isu judi ] maka…..
saya berpendapat , biarpun ada pandangan ulama’ yang mengharuskan wang itu di hulurkan kepada rakyat sebagai bantuan faqir miskin dan seumpamanya [ sebagaimana perbahasan panjang di atas ] dan rakyat harus menerimanya pula rakyat tidak wajib mengusul periksa sumber kewangan tersebut , namun adalah terlebih afdhal dan wara’ [ bagi pihak kerajaan – terutama kerajaan Islam ] mengasingkan tabung atau pembendaharaan yang di perolehi dari sumber yang tidak halal . Kemudiannya memastikan hanya wang yang jelas halal disalurkan [ disuap ] kepada rakyat . Ianya terlebih afdhal jika kerajaan boleh bertindak demikian .
Wallahualam bissowab.
Nasrudin bin Hassan At tantawi

Samy Vellu didesak Tun M atau contohi Keng Yaik


Mohd Nasir Awang
Semacam berpakat, dua pemimpin besar parti komponen Barisan Nasional (BN) memilih hari yang sama minggu lalu untuk mengumumkan pendirian menolak jawatan penasihat kepada parti yang pernah masing-masing terajui. Tanggal 4 Oktober 2010 akan dicatat sebagai salah satu tarikh penting dalam sejarah parti Gerakan apabila bekas presidennya, Tun Dr Lim Keng Yaik memaklumkan keputusannya melepaskan jawatan penasihat parti itu.

Beliau yang menyerahkan kepemimpinan parti kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada April 2007, berkata tindakan itu ekoran kekecewaannya terhadap kegagalan penggantinya itu mengambil tindakan proaktif menyelesaikan berbagai isu dalaman Gerakan.

“Apa guna beri nasihat kepada seseorang yang enggan mendengar (nasihat),” media memetik katanya.

Sementara faktor pengunduran Keng Yaik agak jelas, apa yang mendorong Presiden MIC yang bakal berundur, Datuk Seri S. Samy Vellu mengambil keputusan serupa pula masih menjadi tanda tanya. Pada tarikh sama, Samy Vellu memaklumkan menolak cadangan supaya beliau dilantik menjadi penasihat kepada parti selepas menyerahkan jawatan kepada Timbalannya, Datuk G. Palanivel, Januari depan.

Beliau sebaliknya meluahkan keyakinan beberapa pemimpin lebih muda MIC yang kini menyandang jawatan Menteri dan Timbalan Menteri mampu membantu Presiden baru mengendalikan urusan parti itu.

“Saya tidak akan memberi nasihat kepada mereka kerana semua mereka orang yang berpengalaman dan tahu apa yang mereka lakukan,” media cetak pada Selasa memetik kata Samy Vellu.

Pada zahirnya, kenyataan itu kelihatan tulus. Namun, sejauh manakah ia tidak disirati perasaan kecewa dan unsur-unsur tekanan, sepertimana terzahir dalam kes dialami Keng Yaik itu?

Beberapa hari sebelumnya bekas Menteri Kerja Raya itu mencuri tumpuan media apabila mengumumkan peletakan jawatannya pada Januari depan bagi membolehkan kerusi nombor satu MIC itu dipangku Palanivel.

Pengumuman itu agak mengejutkan memandangkan sebelum ini Samy Vellu diketahui amat tegas menolak sebarang usaha memaksa beliau berundur. Lebih tidak diduga ialah apabila beliau akhirnya akur untuk berundur lebih awal dari apa yang diumumkannya sebelum ini.

Dalam kenyataannya kepada media, 18 Mei lalu, Samy Vellu memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan disandangnya lebih 31 tahun itu lapan atau sembilan bulan sebelum berakhir penggal perkhidmatannya pada Mei 2012.

Ertinya beliau sepatutnya menyerahkan jawatan sama ada pada Ogos atau September 2011. Justeru, apakah yang menyebabkan pelan peralihan kuasa MIC itu dipercepatkan tujuh atau lapan bulan lebih awal?

Samy Vellu melakar sejarah agak mengagumkan sepanjang terlibat dalam MIC. Beliau mula memangku jawatan Presiden MIC pada 1979 ekoran kematian penyandangnya, Tan Sri V. Manickavasagam. Dua tahun kemudian, beliau disahkan sebagai presiden dan kekal menyandangnya hingga kini.

Pengaruh dan kuasa politik Samy Vellu dalam segenap peringkat organisasi MIC amat mencengkam. Jarang ada pemimpin parti itu yang berani menyanggah pendirian dan keputusan dibuatnya kekal dalam parti.

Namun penolakan rakyat, khususnya pengundi India, terhadap MIC pada pilihan raya umum lalu benar-benar mencalar kehebatan Samy Vellu. Parti diterajuinya kalah di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ditandinginya. Paling memalukan ialah apabila Samy Vellu sendiri gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput yang dimenanginya sejak 1974.

Berikutan itu, MIC berdepan kecaman hebat dari pelbagai peringkat BN. Prestasi buruk parti itu dikatakan antara punca BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Samy Vellu sendiri selain hilang jawatan Kabinetnya turut dihujani desakan agar melepaskan jawatan presiden parti. Suara-suara menuntut reformasi dan perubahan kepimpinan dalam MIC berkumandang, terutama di kalangan para pendukung BN sendiri.

Apabila mantan Presiden Umno, Tun Abdullah Ahmad Badawi tunduk kepada desakan agar berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya, ia bagaikan isyarat kepada parti-parti komponen lain, termasuk MIC agar ikut berbuat serupa.

Salah seorang pemimpin ternama yang secara terbuka mengkritik Samy Vellu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagi Mahathir, MIC yang hilang sokongan orang India tidak akan dapat dipulihkan selagi Samy Vellu memimpinnya.

Tidak semua pemimpin dan pendukung MIC dapat menerima kritikan terhadap presiden mereka. Lebih-lebih lagi kenyataan yang secara jelas memperlihatkan usaha campur tangan dalam urusan MIC.

Bagaimana pun, kritikan balas seorang pemimpin bahagian MIC terhadap Tun Mahathir di atas hasrat membela Samy Vellu nampaknya bertukar menjadi sokongan membawa rebah. Gara-gara cadangannya mengalungkan selipar ke atas gambar bekas Perdana Menteri itu, Timbalan Ketua Bahagian MIC Paya Besar, M. Sukumaran dihujani kecaman keras pelbagai pihak.

MIC segera menggantung keahliannya. Beliau terpaksa mengakui keceluparannya dan meminta maaf secara terbuka kepada semua pihak, terutama Tun Mahathir sendiri.

Apakah episod itu tidak sedikit pun memberi kesan kepada Samy Vellu? Adakah beliau redha dengan tindakan ke atas seorang anak buah yang membelanya itu, atau terpaksa akur kepada pandangan sebaliknya yang lebih menguasai partinya?

Saya kira episod itu sedikit sebanyak mendorong Samy Vellu akur kepada “desakan” Tun Mahathir. Lalu akhirnya beliau memilih untuk mengikuti jalan cerita yang pernah dialami Tun Abdullah. Pada asalnya Presiden Umno itu menyatakan hasrat berundur pada 2010, tetapi dipaksa mempercepatkan peralihan itu ekoran desakan bertubi-tubi sebilangan anak buahnya sendiri.

Keadaan serupa kini menimpa Samy Vellu. Beliau didesak keadaan agar tidak menunggu terlalu lama, sebaliknya menyerahkan segera jawatan Presiden MIC kepada penggantinya.