Galas: Calon PAS ada kelebihan, kata Hadi

October 23, 2010

KUALA TERENGGANU, 23 Okt – PAS yakin calon mereka mempunyai kelebihan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas walaupun pernah dua kali tewas ketika bertanding kerusi Parlimen Gua Musang menentang Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kali terakhir bertanding kerusi Parlimen Gua Musang iaitu pada pilihan raya umum 2008, undi yang diperoleh Dr Zulkefli Mohamad di DUN Galas melebihi undi tokoh veteran Umno itu.

“Pada pilihan raya umum lepas Dr Zulkefli mendapat 300 majoriti undi di kawasan Galas walaupun beliau kalah di kerusi Parlimen Gua Musang kepada Tengku Razaleigh.

“Ini bermakna tidak mustahil untuk PAS menang di Galas pada pilihan raya kecil ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtima’ Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata bagaimanapun, PAS hanya meletakkan keyakinan 48 peratus peluang untuk menang pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyat dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, akibat kanser usus pada 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Okt sebagai tarih penamaan calon manakala pengundian pada 4 November. – Bernama

ROS: 20 parti politik baru tunggu kelulusan

October 23, 2010

KAPIT, 23 Okt – Sebanyak 20 parti politik baru di negara ini masih menunggu kelulusan  Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk didaftarkan, menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Ketua Pengarah JPPM Datuk Md.Alias Kalil berkata sehingga ini mereka masih belum meluluskan permohonan pendaftaran parti politik baru itu.

“Walaupun semua permohonan itu telah mematuhi kriteria yang ditetapkan, tetapi ROS memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji setiap permohonan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutupan kursus pengurusan bagi 53 pertubuhan di sini hari ini.

Adalah difahamkan antara 20 parti politik baru itu, dua daripadanya adalah dari negeri Sarawak iaitu Parti Ekonomi Rakyat Sarawak (PERS) dan Parti Peace.

Md Alias juga berkata ROS tidak sewenang-wenangnya membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan tanpa memberi peluang dan masa yang cukup untuk memperbetulkan masalah atau peraturan dalam pertubuhan tersebut.

Setakat ini, sebanyak 2,843 pertubuhan berdaftar di Sarawak dan tahun lepas 37 pertubuhan dibatalkan dan sehingga bulan lepas tahun ini, kurang 10 pertubuhan dibatalkan pendaftarannya.

Sementara itu, pada sidang sama, pembantu khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Loo Yeng Peng berkata Kementerian Dalam Negeri sedang dalam proses meminda atau memansuhkan beberapa akta termasuk Akta Kediaman Terhad, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat.

“Ini kerana akta seperti Akta Kediaman Terhad di mana seseorang yang disyaki melakukan kegiatan jahat dibuang daerah tidak berkesan ekoran dengan kemajuan teknoloji maklumat dan komunikasi (ICT) dan Internet,” katanya.

Loo berkata demikian ketika menjawab permintaan Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, yang hadir pada majlis itu, supaya kementerian itu menghentikan tindakan membuang daerah penjenayah ke Kapit dan bandar di kawasan pedalaman seperti Song dan Belaga.

Alexander berkata jika orang jahat tidak sesuai di tempat asal mereka maka mereka juga tidak sesuai di Kapit, Song atau Belaga atau mana-mana tempat di negeri itu. – Bernama

Mahathir tak yakin PRU-13 waktu terdekat

October 23, 2010

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat pilihan raya umum ke-13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat meskipun terdapat gesaan daripada Presiden parti Datuk Seri Najib Razak agar perubahan-perubahan parti dilakukan dengan segera.

“Saya tak ingatlah akan cepat. Ada masa lagi,” katanya ringkas ketika ditemui selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2010 di sini hari ini.

Menyentuh mengenai ucapan penggulungan Najib selaku presiden parti, Dr Mahathir berkata ia bukan sahaja membangkitkan semangat Umno yang dahulu malah turut menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan dan menghapuskan kekeliruan.

Beliau turut menyokong rancangan Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk turun padang melawat lebih 20,000 cawangan Umno di negeri-negeri kerana ia akan merapatkan perhubungan antara pemimpin dengan rakyat.

Mengulas mengenai pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan yang diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, Dr Mahathir berkata ia adalah perubahan yang baik namun ia perlu dilaksanakan dengan tegas. Muhyiddin, dalam sesi penggulungan perhimpunan antara lain mengumumkan bahawa mata pelajaran Sejarah dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013, selain dijadikan mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah.  – Bernama

Ulama muda Umno patut nasihat, bukan kipas

Rusli Yasmin
KUALA LUMPUR, 23 Okt: “Ulama muda Umno sepatutnya menasihati pemerintah dan pembesar, bukan mengipasnya dalam perkara yang beliau sendiri tahu ia salah,” kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan ketika memberi respons kepada kenyataan Fathul Bari yang berucap dalam perhimpunan Agung Umno di PWTC, hari ini.

Nasrudin berkata, semua orang yang menyaksikan bentuk persembahan Festival Busana Muslim (Islamic Fashion Festival) itu melihat pertunjukan tersebut bercanggah dengan Islam.

“Apa yang kita bantah ialah pertunjukkan fesyen  yang kita saksikan melalui satu siaran yang disiarkan oleh CNN dan juga melalui laman web IFF sendiri,” katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau memberitahu bahawa Pemuda PAS dan NGO Islam bukanlah bertindak melulu tetapi Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaung yang hadir dalam majlis tersebut mesti bertanggungjawab, memohon maaf, bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan tersebut.

“Sering kali orang pertikai kenapa bantah mungkar itu, kenapa tidak tanya dulu penganjur dan penaungnya?

“Kalau saya tanya kembali masa putuskan (untuk) menganjurkannya mengapa tidak tanya ulama dahulu?

“Sepatutnya sebelum buat kena tanya dulu, bukan dah buat orang kena tanya mereka (penganjur dan penaung) mengapa mereka buat,” katanya.

Beliau juga melihat tindakan Fathul Bari mempertahankan Rosmah itu sebenarnya akan terus mengheret pemimpin itu kekal dalam maksiat.

Ulama muda Umno tersebut juga dilihat cuba membersihkan Rosmah yang menaungi penganjuran itu agar kesalahan itu ditanggung oleh penganjur.

“IFF boleh terus berkarya menghasilkan reka fesyen selama mana ia tidak bertentangan dengan Islam dan Datin Seri Rosmah boleh menaunginya tanpa halangan selama mana ia tidak mengulangi penganjuran seperti di Monte Carlo,” tambahnya.

Dewan Pemuda PAS juga, ujarnya akan memberikan pandangan bertulis yang berasaskan Islam kepada penganjur mengenai perkara itu.

Timbalan Ketua Lajnah Ulama Pelapis Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Azhar Yahya dalam kenyataannya pula menganggap tindakan IFF itu secara spontan telah mengguris perasaan para pecinta Rasulullah s.a.w. dan pendokong syariat Islam.

Katanya, sekiranya Rosmah tidak mahu bertanggungjawab jangan sesuka hati hendak menjadi penaung kepada program seperti itu.

“Fathul Bari bila dikalungkan sebagai ulama muda, maka pastinya akan mempertahankan pengalungnya.

“Kini isteri pengalungnya sedang dipaliti najis yang dinamai kononnya Islamik, maka tidak hairanlah Fathul Bari muncul dengan megahnya di PWTC membelai manja para perwakilan kononnya pembangkang tidak berakhlak Islam,” katanya.

Realisasi agenda PAS ganti Umno

Harakahdaily
KUALA TERENGGANU, 23 Okt: Agenda PAS menggantikan Umno hendaklah direalisasikan oleh pendukung parti dengan menekankan kepada gerakan dakwah terhadap golongan Umno dan golongan atas pagar, mengelakkan serangan peribadi dan memperbanyakkan aktiviti penerangan melebihi serangan. 

Demikian antara resolusi Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu ke-14 yang diadakan di perkarangan Surau Kampung Tanjung Batu Rakit, yang berakhir petang ini.

Di samping itu, Dewan Himpunan Penyokong PAS hendaklah diperkasakan sebagai wahana untuk menjadikan saluran bagi menolak fahaman asabiah perkauman tokok pimpinan Umno BN dan NGO upahan seumpama Perkasa yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia seterusnya berintima’ dengan perjuangan PAS bagi menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

“Marilah kita sama-sama meletakkan komitmen untuk melaksanakan resolusi-resolusi yang mewakili hampir keseluruhan cadangan dan lontaran idea yang telah diberi oleh perwakilan dan ulasan pimpinan bertunjangkan kepada ucaptama Tuan Guru Presiden,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Resolusi ijtimak, Mohd Draman ketika membacakan resolusi itu.

Berikut ialah resolusi penuh.

Menyedari bahawa Barisan Nasional (BN) sedang berada di ambang keruntuhan dalam menghadapi pelbagai masalah luaran dan dalaman, sedang PAS Negeri Terengganu terus melangkah memperkasakan kekuatannya bagi memenuhi harapan besar yang diberikan oleh rakyat bagi membawa perubahan kepada negeri Terengganu.

Berasaskan hakikat ini, Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu kali ke-14 yang diadakan pada 23hb Oktober 2010, bersamaan 15 Zulkaedah 1431H yang bertemakan “Demi Kedaulatan Islam; Perkasakan Jihad” dengan sebulat suara membuat gagasan dan resolusi bahawa saf kepimpinan PAS Negeri Terengganu di semua peringkat beriltizam untuk:

Bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke-13, maka jentera pilihan raya mestilah digerakkan bermula dari sekarang di semua peringkat mengatasi perancangan dan gerak kerja Umno BN dengan memberi tumpuan kepada pengemaskinian urusan pemilih dan keahlian serta penguasaan ke atas pengundi sasaran.

Meningkatkan kefahaman dan penghayatan petugas-petugas PAS di semua peringkat bagi mengikis penyakit atau budaya negatif seperti futur, isti’jal, ukhuwah yang longgar dan seumpamanya.

Menegaskan bahawa setiap anggota jemaah sama ada pemimpin, petugas atau ahli parti, hendaklah memperkukuhkan sifat-sifat kualiti peribadi dan meningkatkan keupayaan diri dalam memperkasakan jihad dengan memperkukuhkan wala’, thiqah dan intima’ terhadap pimpinan dan jemaah.

Merealisasikan agenda PAS mengganti Umno dengan menekankan kepada gerakan dakwah terhadap golongan Umno dan golongan atas pagar, mengelakkan serangan peribadi dan memperbanyakkan aktiviti penerangan melebihi serangan.

Menyokong, meneruskan dan memperkukuhkan kerjasama politik di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat melalui kaedah tahaluf siyasi tanpa menggadai prinsip perjuangan di samping menjadikannya sebagai satu ruang dakwah.

Menerus sumbangan dan komitmen semua petugas dan kepimpinan yang sedia ada dalam memperkasakan PAS benar-benar sebagai sebuah gerakan Islam yang syumul.

Meneruskan proses pembudayaan petugas-petugas PAS dengan gerak kerja berasaskan kepada perancangan yang sistematik dan berstrategi membina keyakinan masyarakat terhadap PAS sebagai kerajaan alternatif ataupun kerajaan menunggu.

Memperkasakan Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai wahana untuk menjadikan saluran bagi menolak fahaman asabiah perkauman tokok pimpinan Umno BN dan NGO upahan seumpama Perkasa yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia seterusnya berintima’ dengan perjuangan kita bagi menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

Jangan takut gertakan Najib

Mohd Sabri Said
BUTTERWORTH, 23 Okt: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, biarlah Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap ikut rentaknya sendiri sebelum bersara sebagai Perdana Menteri yang keenam apabila Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya.

“Biarkan Najib bercakap ikut rentak sendiri kononnya mahu menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dengan nyawa dan badannya. Ini menunjukan dia dah bimbang, cuma takut nak khabarkan,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Tabung DAP di Raja Uda, malam tadi.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, jika rakyat mahukan pembaharuan dalam pentadbiran, mereka perlu berani ke hadapan mengundi Pakatan Rakyat untuk ke pusat pentadbiran negara buat pertama kali dalam sejarah.

Katanya, kemegahan seorang Perdana Menteri harus dikikis seandainya mahu menjiwai rakyat jelata, bukan menambah parah kewangan negara dengan memperelokan penginapan rumah sehingga RM65 juta.

“Rakyat sudah muak dengan kelakuan Perdana Menteri sama ada yang lepas atau pun yang kini sedang memerintah negara.  Habis wang rakyat digunakan untuk kepentingan diri dan keluarga,” tegas beliau.

Sekarang ini, kata Anwar, bukan isu pengubahsuaian rumah Perdana Menteri sahaja hangat diperkatakan malahan tanah perkuburan baru sebelah Makam Negara yang menempatkan 250 orang Islam dan kenamaan bukan Islam menelan belanja RM70 juta.

Najib akui tuduhan terhadap PR karut

Abd Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 23 Okt: Ucapan dasar Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno kelmarin jelas membuktikan, tuduhan bahawa Pakatan Rakyat akan mencabar hak Melayu jika memerintah adalah karut.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, ucapan Najib selaku Presiden Umno itu juga menjelaskan bahawa hak-hak orang-orang Melayu terjamin di bawah perlembagaan walau siapa pun yang memerintah.

“Jaminan di dalam perlembagaan yang dinyatakan oleh Najib dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno Ke-61 itu dengan sendirinya mendedahkan pembohongan dan khurafat Umno untuk menakut-nakutkan orang-orang Melayu kononnya mereka akan hilang kuasa jika parti yang disebut sebagai parti perasuah oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) itu tidak memerintah,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Dengan pengakuan Najib tentang jaminan dalam perlembagaan itu, Mahfuz yakin orang-orang Melayu tidak akan dapat lagi diperbodohkan oleh Umno yang tidak henti-henti mengugut kononnya mereka akan kehilangan kuasa jika pemerintahan Umno ditamatkan.

“Kita akan menjelajah seluruh negara untuk menggerakkan orang-orang Melayu supaya dengan tegas menyatakan “tidak” kepada penghinaan terhadap mereka.

“Umno menghina orang-orang Melayu melalui tindakan tanpa batasannya memperbodoh-bodohkan mereka semata-mata untuk menyalahgunakan kuasa dan meragut harta kekayaan negara dengan kuasanya sebagai pemerintah.

“Kita akan menyedarkan orang-orang Melayu bahawa hakikatnya mereka tidak ada apa-apa kuasa walaupun hanya sedikit di bawah pemerintahan Umno kerana semua kuasa terpusat di tangan para pemimpin parti yang dikatakan busuk hingga ke usus itu,” katanya.

Malah, kata Mahfuz lagi, jika PR memerintah, hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan itu akan diperkukuhkan lagi dengan memberikan apa yang tidak diberikan oleh Umno kini, iaitu siri-siri reformasi yang bersifat institusional (institutional reforms) terutama pembebasan badan kehakiman, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lain-lain pihak yang selama ini disalahgunakan oleh parti yang memerintah.

“Perkara itu telah lama dilaksanakan dalam negara-negara demokrasi yang lain tetapi Umno enggan melaksanakannya dalam negara ini demi kepentingan cengkaman kuasanya,” kata beliau.

Dalam ucapannya itu, Najib yang memberikan penjelasan panjang lebar termasuk mengimbas sejarah moden negara dan Kesultanan Melayu Melaka berkata, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezaban kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

UMNO Seperti Kambing Gurun Tanduk Bukit- Tok Guru Nik Aziz.

Sidang Media -Tuan Guru Haji Hadi (Presiden Pas)-terkini dun galas

20tahun Kerajaan kelantan Bersih Dari Rasuah-Yb Dr Fadzli (exco Negeri Kelantan)