‘Tawan’ bangunan Umno simbolik tawan Putrajaya

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 20 Okt: Dengan ‘tertawan’nya bangunan Umno Bahagian Kota Bharu yang kini menjadi hak milik Dewan Pemuda PAS Kelantan, diharap ia menjadi simbolik untuk ‘menawan’ Putrajaya nanti.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sekiranya bangunan milik Umno Bahagian Kota Bharu itu dapat ‘ditawan’ Pemuda PAS semoga ianya dijadikan perangsang untuk menawan negara pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan bangunan baru Dewan Pemuda PAS yang bernilai RM4.5 juta, pagi tadi.

Katanya, kejayaan itu hasil kemenangan perjuangan yang didokong semua pihak khususnya golongan pemuda dalam menggalas tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam.

“Kalau kita dapat menawan Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan, diharap pada masa akan datang kita dapat menawan Putrajaya,” ujarnya.

Majlis perasmian bangunan yang dinamakan Asy-Syabab Point itu berlangsung  dengan penuh gilang gemilang apabila Tuan Guru diarak ke pejabat berkenaan dari JKR 10 dengan menaiki motosikal yang diiringi 20 orang pemuda.

Tarikh 20 Oktober dipilih tarikh perasmian dan 20 orang pemuda mengiringi Tuan Guru menaiki motosikal klasik diketuai Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa sebagai simbolik sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, pada sidang media berkata dana pembelian bangunan tersebut diperolehi dari sumbangan orang ramai.

Katanya, ianya telah dikumpul menerusi empat kepimpinan Dewan Pemuda bermula Datuk Takiyuddin Hassan lagi.

“Namun yang lebih penting kita juga turut membuat pinjaman bank,” ujarnya.

Kedah cadang jadi pusat ilmu dunia

Mohd Ali Hashim
ALOR SETAR, 20 Okt: Kerajaan Negeri Kedah bercadang untuk menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah pusat ilmu dunia yang berteraskan Islam dengan menjadikan Kolej Universiti Insaniah (KUI) sebagai ikon dalam pengajian Islam yang akan dirangkumkan bersama dengan pengajian profesional tidak lama lagi.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika berucap pada majlis konvokesyen kolej tersebut, semalam.

Menurutnya, aspirasi ini mampu untuk dijadikan realiti apabila dilihat kepada percambahan pelajar dalam dan luar negara pada kemasukan tahun ini.

Katanya, sehingga ini jumlah penuntut antarabangsa yang mengikuti kursus pengajian mereka di KUI adalah dari 32 buah negara termasuklah pelajar dari Eropah, Rusia, Afrika dan juga Amerika Syarikat.

“Sebagai bukti dalam tempoh dua tahun program di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang yang diperkenalkan ia telah berjaya menarik minat sehingga lebih dari 300 pelajar.

“Selain dari itu Bank Pembangunan Islam atau IDB sedang bekerjasama dengan KUI untuk melancarkan program Ijazah Sarjana Perbankan Islam menerusi e-learning yang akan dilancarkan pada awal 2011 yang akan datang,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Insaniah berkata, inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah ini adalah sebagai satu usaha bagi menobatkan Kedah sebagai pusat ilmu dunia.

Tambahnya lagi, melalui institusi seperti KUI, ia mampu untuk ditingkatkan sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf dunia dalam bidang pengajian Islam dan juga profesional.

“Kerajaan negeri yakin kerjasama erat dan fokus yang sepenuhnya yang diberikan bagi memartabatkan Kedah sebagai pusat kecemerlangan tamadun Islam akan menjadi realiti yang mampu untuk membawa reformasi bukan saja kepada negara bahkan kepada peringkat global,” tegasnya lagi.

Pemuda PAS berhimpun bantah Rosmah


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat akan mengadakan himpunan aman sebagai membantah tindakan Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah s.a.w. pada penganjuran Festival Busana Muslim di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Himpunan tersebut akan diadakan di masjid negeri seluruh Malaysia selepas solat Jumaat, 22 Oktober ini.

“DPPP mengecam sekeras kerasnya tindakan Rosmah Mansor yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

“Kita desak Rosmah bertaubat dan minta maaf kepada umat Islam secara terbuka,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Pada festival tersebut, perkataan “Muhammad” dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

Tambahnya, pakaian yang diperagakan itu bukan pakaian Islam tetapi pakaian wanita jalang dan jahiliah.

“Sungguh memalukan dan jelas menunjukkan Rosmah jahil dan berniat jahat terhadap Islam,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu katanya, DPPP menggesa seluruh ummat Islam bangkit membantah tindakan Rosmah dan mendesak isteri Perdana Menteri itu bertaubat dan mohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.

Rosmah merupakan Penaung Festival Busana Muslim atau Islamic Fashion Festival.

Perbahasan Bajet 2011-Datuk Seri Anwar Ibrahim

Bajet 2011 tidak mesra orang muda

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 20 Okt: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mendakwa Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Jumaat lalu tidak mesra belia dan orang-orang muda yang mewakili sebahagian besar penduduk di negara ini.

Firdaus sewaktu membahaskan Bajet 2011 petang tadi berkata, Kementerian Belia dan Sukan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan pewaris negara ini tergolong di antara kementerian yang menerima peruntukan terkecil.

“Kementerian ini di tempat ketiga terakhir dalam senarai kementerian yang ada dengan jumlah peruntukan hanya RM730 juta,” kata beliau.

Menurutnya, golongan belia memerlukan sahsiah yang tinggi kerana mereka merupakan golongan harapan untuk mewarisi pemerintahan negara.

Namun ujarnya, mutakhir ini terlalu banyak masalah sosial yang membabitkan remaja.

Justeru, Firdaus yang juga Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat mencadangkan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan memberikan keutamaan bagi membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai murni kemanusiaan serta agama untuk pembentukan belia dan remaja di negara ini.

“Kerajaan mesti menghalang konsert dan hiburan-hiburan yang melampau seperti artis Amerika, Adam lambert yang mana aksinya amat bertentanagn dengan budaya kita dan syariah Islamiah,” katanya.

Tambahnya juga, permasalahan yang melanda belia hari ini sangat mencemaskan dan tindakan mengawalnya sudah sampai ke tahap yang dianggap terdesak.

“Kerajaan harus sedar, fungsi Kementerian Belia dan Sukan bukan sekadar mempersiapkan ahli sukan bagi mengejar pingat emas kepada negara, tetapi tanggungjawab utama kementerian adalah membentuk dan membina pewaris yang akan membawa negara ke mercu kejayaan dan kegemilangan,” katanya.

Sehubungan itu tegasnya, peruntukan untuk kementerian ini tidak seharusnya dilihat setanding dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar kerana belia adalah aset kekayaan semula jadi yang bakal memainkan peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini.

“Kegagalan kerajaan mengatasi masalah di kalangan remaja dan belia adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang,” katanya.

3 projek utama gagal kerana kronisme

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 20 Okt: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melaksanakan transformasi ekonomi seperti yang diwar-warkan sebaliknya masih mengamalkan kronisme dan rasuah dalam pentadbiran.

Ini terbukti dengan pendedahan ahli Parlimen Pakatan Rakyat mengenai tiga projek yang mengalami kegagalan dalam kepada kroni Umno BN mengaut keuntungan.

Tiga projek berkenaan ialah pembinaan Hospital Shah Alam, Institut Kanser Negara dan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2 dari Jabor ke Gemuruh, Terengganu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang sebelum ini mendedahkan mengenai penyelewengan dalam projek berkenaan memberitahu, Umno BN masih menyerahkan pembinaan hospital itu kepada syarikat kroni walaupun subkontraktor sedia ada, GM Health Sdn Bhd bersedia memberikan diskaun RM3 juta serta menjamin hospital disiapkan dalam tempoh yang lebih awal.

“Ini adalah kontraktor Bumiputera kelas A tetapi ditamatkan kontraknya oleh kontraktor utama, Sunshine Fleet kerana pertikaian berhubung pembayaran progresif. Lalu GM Health menawarkan kepada kerajaan untuk meneruskan projek ini dengan diskaun RM3 juta dan sanggup menyiapkan projek dalam tempoh 18 bulan.

“Walaupun syarikat itu telah membayar komisen kepada Sunshine Fleet tetapi ia masih sanggup untuk menerukan projek tersebut,” kata beliau dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Saifuddin Nasution (PKR-Machang) pula mendedahkan, kos pembinaan Institut Kanser Negara meningkat dua kali ganda daripada tawaran asal RM340 juta kepada RM690 juta.

Ini berlaku kerana Umno BN masih mengamalkan budaya kronisme dan ‘untung atas angin’ (rent seeking) walaupun menjanjikan kepada rakyat pendekatan tender secara terbuka akan diamalkan dalam Model Ekonomi Baru.

Menurut Saifuddin, acara pecah tanah telah dilakukan oleh Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 9 Januari 2007 di Putrajaya dan menjadi sebahagian daripada projek dalam Rancangan Malaysia Ke-9.

Projek tersebut yang merupakan inisiatif kerajaan untuk pesakit kanser dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

“Pada 10 Mac 2009, Timbalan Menteri Kesihatan pada waktu itu, Datuk Dr Latiff Ahmad menyebut kerajaan berada di tahap akhir untuk membina institut tersebut dengan kos sebanyak RM700 juta.

“Ertinya, selepas 24 bulan diumumkan, harganya sudah pun meningkat 100%,” ujar beliau.

Menurut Saifuddin, pihaknya telah melakukan siasatan dan mendapati projek itu telah diberikan kepada Kiara Teratai Sdn Bhd dan dalam penyata akaun tahunan syarikat tersebut pada tahun 2009 mengesahkan ia telah memperolehi surat tawaran untuk membina institut pada Januari 2008.

Satu lagi projek yang menjadi mangsa salah laku Umno BN iaitu pembinaan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) 2 apabila dua pakej projek pembinaan bernilai RM59.2 juta gagal disiapkan oleh sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang ahli jawatankuasa Umno Hulu Terengganu.

Abdul Wahid Endut (PAS-Kuala Terengganu) dalam sidang media sama berkata, syarikat kepunyaaan kroni Umno itu hanya menyiapkan 15.1 peratus sahaja Pakej 9B yang diberi dalam tempoh lebih dua tahun sejak 2007.

“Apa yang syarikat ini berminat ialah menebang semua balak di dalam kawasan pembinaan lebuh raya itu dan menjualnya untuk keuntungan mereka.

“Apabila projek terbengkalai kerajaan sekali lagi membuka tender dan serahkan kepada satu lagi syarikat kroni dengan kenaikan kos pembinaan sebanyak 20 peratus,” kata Abdul Wahid

Tambah beliau, sehingga Jun LPT2 yang bermula dari Jabor di Terengganu hingga Temerloh di Pahang hanya siap 70.4 peratus berbanding 82 peratus dalam perancangan awal.

“Sebab lambat ialah kerana kerajaan memberi projek secara rundingan terus dan kemudiannya syarikat berkenaan meninggalkan projek,” ujarnya.

Katanya, LPT2 membabitkan kos yang tinggi iaitu RM3.7 bilion dan lebih 50 peratus kosnya datang daripada dana khas negeri Terengganu.

Projek itu, ujarnya mempunyai 17 pakej dan dua daripadanya diberi kepada sebuah syarikat, Arah Jitu Sdn Bhd milik  AJK Umno Hulu Terengganu.

“Beliau diberi Pakej 9B dan Pakej 8. Di Terengganu, Umno selalu beri projek kepada OKU, bukan orang kurang upaya tapi ‘Orang Kuat Umno’,” ujar beliau.

De Palma lancar Akademi Syariah

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 20 Okt: Selepas berjaya dengan syariah compliant, hotel De Palma bergerak setapak lagi apabila menubuhkan Akademi Syariah di cawangan Sepang.

Pengurus Besarnya, Datuk Mokd Ilyas berkata, akademi latihan yang berteraskan syariah ini akan dibuka pertengahan November nanti.

“Melalui akademi ini, kita akan menawar khidmat latihan berteraskan syariah kepada para kakitangan kerajaan dan swasta untuk mendalami pelbagai jenis ilmu dalam suasana yang selesa ala hotel dan resort,” katanya kepada Harakahdaily.

Latihan ini akan dibuat di hotel De Palma cawangan Sepang yang mempunyai segala kemudahan hotel itu.

“Bagi setiap masa kita boleh melatih sehingga ke 200 orang peserta yang boleh tinggal terus di hotel kita,” kata Mohd Ilyas.

“Berbeza dengan universiti dan kolej, kami akan sediakan latihan dengan bantuan penuh alat bantuan pengajaran dan praktikalnya di samping boleh tinggal di hotel ala resort kami,” kata Ustaz Azlan Jalil (gambar), salah seorang Pakar Runding Motivasi yang bakal menjadi pakar rujuk dalam akademi ini.

Turut serta bersama beliau adalah Ustaz Heryanto Rizal Rokman.

Hotel De Palma Sepang terletak di bandar baru Salak Tinggi. Hotel ini mempunyai 30 bilik dan kemudahan lain yang baik untuk menjadi pusat latihan.

Salah seorang pengarah Biztel yang menguruskan kumpulan hotel milik PKNS ini, Encik Ramzan Resat telah dilantik untuk memimpin akademi ini.

Sebelum ini, kumpulan De Palma telah melancarkan program memperkukuhkan syariah compliant yang dilancarkan dua tahun lalu.

Ia bertujuan untuk memastikan amalan hotel ini mematuhi sepenuhnya syariah Islam.

Dengan Akademi Syariah ini, ia telah bergerak setapak lagi dalam memenuhi keperluan umat Islam di negara ini.

Mukhriz hina pelabur tidak datang ke Malaysia

Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 20 Okt: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menghina para pelabur apabila mendakwa mereka tidak datang ke negara ini akibat hasutan pembangkang.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu berkata, Mukhriz memalukan Malaysia kerana beliau boleh mengakibatkan orang luar menghina Malaysia kerana mempunyai menteri yang tak cerdik.

“Jangan hina pelabur. Mereka tidak bodoh seperti orang menjawab tidak pakai akal.

“Bila pelabur hendak buat keputusan sama ada hendak melabur atau tidak ke negara ini, mereka tidak tanya Presiden PAS. Mereka tanya badan-badan yang diiktiraf seperti Economic Intelligence Unit atau Moody’s,” katanya mengulas dakwaan Mukhriz di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) mengenai kejatuhan pelaburan asing sehingga 81 peratus ke negara ini, Mukhriz mendakwa kejatuhan berlaku akibat tindakan pembangkang memburuk-burukkan negara ini di luar negara.

“Dalam keadaan sebahagian besar pelabur sudah tak ada selera untuk melabur di negara ini, tiba-tiba muncul pula seorang yang bertaraf timbalan negeri di negara ini yang nampaknya cuba membayangkan para pelabur bodoh sangat untuk membuat keputusan tentang pelaburan mereka,” kata Mohamad.

Katanya, Mukhriz juga kelihatan menyifatkan rakyat terlalu bodoh untuk menelan jawapan seperti itu.

“Saya rasa akhirnya Mukhriz sendiri yang akan dianggap berada dalam tahap kebodohan yang teramat bodoh dengan jawapan itu. Jangankan ahli-ahli Dewan Rakyat di mana beliau memberikan jawapan itu, orang-orang Kampung Kandis di Jerlun pun mentertawakan beliau,” katanya.

Mengenai tuduhan Mukhriz bahawa pembangkang tidak patriotik, Mohamad berkata, pihak yang tidak patriotik ialah kaki rasuah yang dilihat oleh rakyat berduyun-duyun di dalam Umno sehingga ayah Mukhriz  sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat bahawa Umno sudah jadi parti perasuah.

“Bila rasuah, untuk mengelakkan hukuman, kuasa disalahgunakan, kebebasan kehakiman dinodai dan pelbagai kejahatan lagi dilakukan.

“Kaki-kaki rasuah itulah, termasuk di dalam Umno, yang tidak patriotik dan menyebabkan pelabur tidak mahu datang ke negara ini,” katanya.

NGO Islam digesa kaji festival fesyen Rosmah

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 20 Okt: Para pemimpin NGO Islam disarankan agar mengkaji tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang disifatkan sebagai menghina Islam ketika menganjurkan Islamic Fashion Festival (IFF).Bagi anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, IFF jelas menghina islam apabila menggunakan nama agama untuk mengesahkan tindakan penganjuran pertunjukan yang tidak wajar itu.

Lebih malang, tulisan “Muhammad” dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

“Kita berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark, di sini di Malaysia, seluruh maruah Islam ditelanjangkan oleh IFF tersebut,” kata Lo’ Lo’ kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas IFF yang dianjurkan oleh Rosmah baru-baru ini. Walaupun dinamalkan Islamik tetapi fesyen yang diperagakan tidak sesuai dengan Islam bahkan Rosmah sendiri tidak memakai pakaian yang sesuai dengan Islam ketika merasmikan program IFF itu.

Lo’ Lo’ juga kesal dengan sesetengah NGO Islam yang dipergunakan untuk menyokong bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

“Saya dapat maklumat ada beberapa NGO Islam diminta membuat memo menyokong bajet PM.

“Saya nak tanya NGO-NGO Islam ni, tak terasa langsung ke nak bantah penghinaan terhadap Islam oleh Rosmah atas penganjuran Islamic Fashion Festival yang penuh dengan kemungkaran dan kemaksiatan terhadap Allah serta pengkhianatan atas muslimah seluruhnya?” tanya Lo’ Lo’.

PAS dahului Umno gerak kerja di Galas

Wartawan Kita
GUA MUSANG, 20 Okt: PAS terus mendahului Umno dalam melaksanakan gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas apabila melancarkan jentera pilihan rayanya malam tadi.Sedangkan Umno masih lagi tenggelam dalam kemelut dalaman apabila difahamkan wujud dua nahkoda di Galas.

Pertembungan team Tengku Razaleigh Hamzah dengan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian mulai kelihatan sekarang.

Selain itu kehadiran ribuan penduduk tempatan pula memberi satu isyarat Dun Galas seakan-akan sukar digugat Umno biar pun mempertaruhkan veteran parti itu, Tengku Razaleigh sebagai pengarah jentera pilihan raya BN di Galas.

Di antara ribuan yang hadir dengan bersesak-sesak di hadapan Markas Besar PAS Dun Galas kelihatan ramai masyarakat bukan Islam termasuk orang Cina dan India.

Situasi itu kelihatan berlainan berbanding dengan pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai tahun lepas kerana tiada ragam kaum yang hadir pada pelancaran jentera pilihan raya PAS.

Pelancaran jentera pilihan raya PAS dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadir sama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, kepimpinan PAS negeri dan wakil-wakil rakyat.

Permulaan yang baik itu disifatkan kalangan petugas media memberi kelebihan kepada PAS berbanding dengan Umno yang hanya mengharapkan bantuan sepenuhnya jentera kerajaan persekutuan.

Datuk Nasuruddin Daud menyifatkan kehadiran begitu ramai malam tadi membayangkan kehendak rakyat Galas bagi mengekalkan momentum Mac 2008.

Katanya dari awal lagi sudah kelihatan semangat pengundi di Galas bagi meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Husam pula menyifatkan tiada rungutan ditimbulkan penduduk bukan Islam di Galas terhadap kerajaan negeri di mana ia menggambarkan penerimaan mereka terhadap kerajaan PAS.

“Orang Cina dan Orang Asli nampaknya berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan kerajaan negeri. Masalah pemilikan tanah di kalangan masyarakat Orang Asli diselesaikan.

“Biar pun masyarakat Orang Asli berada di bawah pengurusan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, namun kerajaan negeri berusaha menyelesaikan masalah tersebut,” katanya pada ceramah sempena pelancaran jentera pilihan raya PAS Dun Galas.

Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, kehidupan masyarakat di Dun Galas, Gua Musang mencerminkan  keadaan sebenar rakyat Malaysia kerana mempunyai komposisi pelbagai kaum dan budaya.

Katanya, penduduk di Galas terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta rakyat yang mengundi Allahyarham Chek Hashim pada pilihan raya umum lalu terus kekal mengundi PAS bagi membolehkan perjuangan ditinggalkan wakil rakyat terbabit dapat diteruskan.

“Teruskan apa yang telah kita lakukan pada pilihan raya umum lalu, manakala bagi yang belum mengundi PAS hendaklah sama  membantu bagi mengekalkan kemenangan pada pilihan raya lepas,” katanya.

Timbalan Presiden PAS pula membayangkan pilhan raya umum ke-13 diadakan lebih awal memandangkan usaha menggula-gulakan rakyat dilakukan perdana menteri ketika membentang Bajet 2011 pada persidangan parlimen Jumaat lalu.